Dapur

Boleh Jimat! Ahli Kimia Kongsi Kebaikan Air Fryer, Kurang Pakai Minyak Masak

3
SHARES

Baru-baru ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memutuskan harga kawalan si­ling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini telah mneggusarkan hati rakyat.

Minyak masak sangat penting dalam masakan kerana sering digunakan untuk menggoreng. Namun bagi bantu mengurangkan kerisauan anda dan berjimat apa kata cuba gunakan air fryer di rumah. Sebelum itu, jom baca penerangan daripada ChM Doktor Fatimah Salim iaitu seorang Ahli Kimia berkenaan kebaikan air fryer di bawah.

Baca juga: Rahsia Sambal Sotong Kembang ‘Power’ Berlemak & Petua Masak Sotong

AIR FRYER KURANG PAKAI MINYAK MASAK & BOLEH JIMAT!

Kredit gambar Google – Doktor Fatimah Salim.

Memandangkan harga minyak masak telah meningkat lebih daripada 43%, maka kita sudah patut mengurangkan penggunaan minyak masak dalam menggoreng.

Antara alternatif yang praktikal adalah dengan menggunakan penggoreng elektronik aka air fryer. Sebelum anda berhajat untuk membeli satu, jom baca ulasan yang saya pernah kongsikan dulu.

INOVASI LEBIH SIHAT DICIPTA IAITU AIR FRYER

Ramai yang sukakan makanan yang bergoreng disebabkan teksturnya yang ranggup dan rasanya yang sedap. Umum maklum yang makanan digoreng ini tinggi kandungan lemak yang mana dikaitkan (walaupun tidak konklusif) dengan penyakit terutamanya berkaitan jantung dan keradangan.

Maka, antara inovasi yang telah dicipta bagi memenuhi keperluan yang sama namun lebih sihat (dalam konteks menggoreng bahan masakan yang sama) adalah dengan menggunakan peralatan memasak seperti air fryer.

1. MENGURANGKAN PENGGUNAAN MINYAK MASAK SEHINGGA 70%-80%

Gambar hiasan: Philips

Air fryer merupakan convection oven bersaiz kecil yang direka khas untuk mendapatkan kesan menggoreng tanpa perlu menenggelamkan masakan dalam minyak mengoreng yang banyak.

Bergantung kepada selera masing-masing, masakan hanya perlu direnjis atau diselaput nipis dengan minyak untuk mendapatkan kesan gorengan yang diinginkan. Dan ini dapat mengurangkan penggunaan minyak masak sehingga 70-80%.

2. FUNGSI AIR FRYER

Bagaimana air fryer berfungsi?

Air fryer mempunyai kipas yang berfungsi mengitarkan udara panas pada kelajuan yang tinggi dalam ruang memasak yang disediakan. Udara panas yang boleh mencapai suhu setinggi 250 degree Celcius (bergantung kepada model) akan membenarkan kesan gorengan berlaku pada permukaan makanan dengan cepat dan sekata.

Suhu yang tinggi mencetuskan tindakbalas Maillard pada permukaan masakan lalu memberikan warna, bau, rasa dan tekstur masakan yang ranggup di luar dan lembab di dalam. Tindakbalas Maillard berlaku pada suhu 200 degree Celcius dalam air fryer (140-165 degree Celcius dalam proses menggoreng biasa).

Bergantung kepada kuantiti masakan dan kawalan suhu, air fryer dapat mengurangkan masa memasak sehingga 20% dibandingkan penggunaan ketuhar biasa.

Selain daripada menggoreng, air fryer juga digunakan untuk memanggang, membakar (biskut dan kek) dan juga boleh mendapatkan hasil telur rebus tanpa menggunakan air! (boleh lihat di ruangan komen antara hasilnya).

Terdapat pelbagai jenama, model dan jenis air fryer yang berada di pasaran. Pemilihan adalah bergantung kepada kegunaan, saiz dan kapasiti, penggunaan elektrik, rekabentuk, kualiti, jenama dan semestinya kemampuan masing-masing.

Maka, boleh pilih yang mana bersesuaian dengan tujuan penggunaan anda.

3. KEBAIKAN AIR FRYER

Antara kebaikan air fryer adalah:

  • Tanpa minyak tambahan/ sangat kurang penggunaan minyak menggoreng.
  • Masa memasak dapat dipendekkan.
  • Pelbagai guna (mini oven).
  • Mudah digunakan (digital vs analog).
  • Mudah dibersihkan jika dibandingkan oven.
  • Kurang berbau masakan.
  • Kurang haba panas jika dibandingkan oven biasa.
  • Tiada percikan minyak/ terkena minyak panas.
  • Kanak-kanak juga boleh menggunakannya dengan mudah apabila dilatih dengan betul.

4. MANA SATU KAEDAH MEMASAK LEBIH SIHAT?

Gambar hiasan: Science Meets Food

Adakah memasak dengan air fryer adalah lebih sihat jika dibandingan dengan kaedah memasak yang lain?

Bergantung kepada jenis masakan dan bahan masakan.

Sememangnya memanggang dan membakar adalah lebih sihat hasil masakannya daripada menggoreng. Dan masakan daripada bahan terproses seperti sosej, nugget, daging burger dan sebagainya juga tidak sihat jika dibandingkan dengan bahan segar seperti ayam, ikan, daging dan sebagainya.

Ingat, air fryer ialah peralatan memasak. Bukannya ‘magic pan’ yang boleh mengubah komposisi masakan!

5. KAWAL SUHU MASAK DALAM AIR FRYER UNTUK…

Benarkah memasak dengan air fryer boleh menghasilkan bahan kimia punca kanser?

Bergantung kepada suhu dan bahan masakan. Suhu dalam air fryer yang tinggi mampu menghasilkan bahan kimia punca kanser (kasinogen) seperti acrylamide, polycyclic aromatic hydrocarbons dan heterocyclic amines.

Namun bahan-bahan kimia ini BUKAN dihasilkan dalam air fryer saja. Mereka juga terhasil daripada proses memasak dengan kaedah menggoreng, memanggang dan membakar tradisional juga.

Contoh acrylamide terhasil daripada tindakbalas komponen dalam masakan yang mengandungi gula (boleh jadi gula tambahan atau semulajadi) dan asid amino (asparagine dan glutamine).

Sebenarnya pembentukan bahan kimia punca kanser dalam masakan tidak dapat dielakkan sepenuhnya, namun ianya boleh dikurangkan dengan MENGAWAL suhu memasak dalam air fryer.

6. KAJIAN: SEMAKIN GELAP WARNA MASAKAN…SEMAKIN TINGGI KANDUNGAN KIMIA ACRYLAMIDE

Gambar hiasan: AirFryDaily.

Kajian menunjukkan semakin gelap warna masakan yang dipanggang, dibakar atau digoreng, semakin tinggi kandungan bahan kimia acrylamide. Maka, pastikan masakan sebegini masak cuma cukup-cukup saja (kekuningan) dan elakkan terlebih masak.

Seperti yang selalu dipesan, bersederhanalah dalam apa juga jenis makanan yang kita ambil.

Neutralkan kesan risiko pelbagai jenis penyakit daripada pemakanan sebegini dengan pengambilan sayuran hijau yang kaya dengan fitokimia yang mana bersifat antioksida, antiradang, antikanser dan sebagainya.

Semoga bermanfaat.

ChM Dr Fatimah Salim,

Ahli Kimia yang suka masak.

Nota: Kawan-kawan boleh kongsikan menu dan tetapan air fryer anda di ruangan komen ya. Semoga dengan perkongsian anda membantu yang lain mendapatkan ilham dan beroleh ganjaran pahala yang setimpal.

Sumber: Facebook Fatimah Salim

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×