Setiap pasangan yang sudah hamil pasti mengimpikan untuk mempunyai zuriat terutama sekali kalau ada rezeki dapat anak kembar. Seperti kisah yang dikongsikan oleh seorang wanita ini, dia dan suaminya dikurniakan rezeki bayi kembar tiga dan ternyata, sangat seronok sekali!
Namun, kegembiraan tersebut dikejutkan dengan permintaan ibu mentua yang ‘meminta’ seorang bayi dari kembar tersebut untuk diberikan kepada kakak ipar yang sedang cuba hamil. Macam mana boleh meminta-minta diibaratkan seperti anak kucing?
Baca juga: 5 Jenis Rawatan Kesuburan Di Malaysia Ikut Bajet Paling Tinggi Hingga Harga Berpatutan
WANITA BERSALIN KEMBAR TIGA DIMINTA UNTUK BERI SEORANG BAYI KEPADA KAKAK IPAR
Kisah yang dilalui seorang warga maya ini selepas menimang cahaya mata tentunya mengundang rasa simpati daripada orang ramai. Menerusi video yang dikongsikan oleh pengguna TikTok, @meingl, seorang wanita meluahkan kesedihan dan terkilan yang dirasai apabila ibu mentua memintanya untuk menyerahkan salah seorang anak kembar tiganya kepada kakak ipar yang sedang TTC.
Wanita itu berkata, dia baru sahaja melahirkan anak kembar tiga pada bulan lepas, manakala kakak iparnya sudah tiga tahun menantikan cahaya mata pertama.
Apa yang mengejutkan lagi adalah wanita itu turut berkongsi bahawa ibu mentua mengatakan ‘tidak luak’ pun seandainya dia menyerahkan seorang daripada anak kembar itu kepada kakak ipar. Faham bahawa itu merupakan kakak iparnya namun, cadangan supaya menyerahkan darah daging sendiri untuk dibesarkan orang lain ternyata mengguris hatinya.
Tidak cukup dengan itu, ibu mentua turut meminta suaminya memujuk dia supaya bersetuju dengan cadangan tersebut.
Wanita ini dan suaminya takkan menyerahkan bayi mereka
Walau bagaimanapun, dia bersyukur kerana suaminya turut tidak bersetuju dengan cadangan ibu sendiri. Namun, inilah yang menjadi punca kepada pergaduhan apabila si suami mengundang kemarahan keluarga mentua sehingga digelar sebagai anak derhaka, anak tidak mengenang budi dan sebagainya.
“Kalau nak menumpang kasih anak, boleh datang rumah bila-bila masa dia nak. Tak perlu nak main ambil anak orang seperti anak kucing,” kata wanita itu lagi.
Wanita tersebut masih tidak tahu sama ada kakak iparnya terlibat atau tidak dalam perancangan ibu mentua untuk memberikan salah seorang anaknya itu. Menjengah ke ruang komen, rata-rata warga maya menyokong keputusan wanita itu untuk tidak akur dengan permintaan ibu mentuanya.
Kata mereka, setiap ibu sudah tentu mahu membesarkan anak sendiri dan tidak akan sesekali akan menyerahkan mereka kepada orang lain.
*Aneh-aneh permintaan makcik. Janganlah disebabkan ada anak sendiri tidak dapat berikan cucu, anda sanggup meminta-minta kepada orang lain pula!
Baca juga: Bukan Sunat & Eksklusif Untuk Para Nabi, Ini Hukum Beri Anak Nama ‘Muhammad’
Sumber: Tiktok @meingl