Berdengkur : Punca, Bahaya, Rawatan & Cara Mengelakkannya
Pernahkah pasangan atau ahli keluarga mengadu anda berdengkur terlalu kuat pada waktu malam?
Biasanya perkara ini bukanlah masalah kesihatan yang serius. Ia juga seringkali berlaku disebabkan gaya hidup tidak sihat atau posisi tidur yang tidak betul.
Namun tabiat dengkur secara berterusan boleh menjejaskan kualiti tidur anda dan pasangan pada jangka masa panjang.
Bagaimana Bunyi Berdengkur Terjadi?
Menurut Portal MyHealth, berdengkur adalah bunyi bising semasa bernafas, apabila sebahagian daripada saluran pernafasan atas seseorang tersumbat.
Ia berlaku apabila terdapat sekatan pada aliran udara di dalam saluran pernafasan di bahagian belakang mulut dan hidung seseorang.
Bunyi itu dikeluarkan apabila tisu di bahagian atas saluran pernafasan bergesel dan bergetar di antara satu sama lain.
Berdengkur bertambah kerap mengikut umur dan biasanya tidak membahayakan.
Faktor / Punca Berdengkur
Antara punca-punca berdengkur juga boleh dikaitkan dengan faktor berikut:
1. Ubat-ubatan / Tidur Yang Nyenyak
Jika anda perasan, berdengkur biasnaya berlaku semasa waktu tidur yang nyenyak.
Ini kerana ketika ini otot-otot pada lidah, lelangit lembut dan tekak berada dalam keadaan lemah.
Selain itu, otot juga boleh menjadi tidak tegang akibat arak atau ubatan yang menyebabkan otot lemah.
Maka lidah akan tertolak ke belakang, menutupi aliran udara atau otot tekak tertarik masuk ke dalam tekak dan menyekat salur pernafasan atas.
2. Berlebihan Berat Badan / Tonsil
Tisu tekak yang besar dan tebal. Kanak-kanak yang mempunyai tonsil dan tisu adenoid yang membengkak selalunya berdengkur.
Orang yang berlebihan berat badan dan mempunyai leher yang pendek dan besar.
3. Saluran Pernafasan Tersekat
Saluran pernafasan tersekat. Hidung yang tersumbat dan sukar bernafas menyebabkan individu lebih kerap menyedut udara untuk bernafas.
Ini mengakibatkan ruang vakum yang berlebihan di dalam tekak, dan mengakibatkan tisu tekak yang lembut tertarik ke dalam dan mengakibatkan dengkuran.
Antara sebab lain adalah batang hidung yang bengkok, polip dan jangkitan sinus.
Baca juga: Punca Radang Sinus (Sinusitis) & Cara Atasinya Sebelum Lebih Teruk!
Cara Mengatasi Dengkuran Pada Waktu Malam
Untuk mengurangkan dengkuran pada waktu malam, apa kata anda cuba tips-tips ini sebagai permulaan :
1. Tidur Mengiring
Tidur terlentang kadangkala membuatkan lidah anda beralih posisi ke tekak. Ini akan membuatkan aliran udara terhalang dan bermulalah ‘orkestra’ sebaik sahaja anda terlelap.
Untuk mengelakkan situasi ini, anda bolehlah cuba tidur dalam posisi mengiring untuk melancarkan lagi aliran udara dan elakkan berdengkur.
Kredit Foto : manifatturafalomo.com
2. Kurangkan Berat Badan Berlebihan
Perasan tak masalah berdengkur biasanya berlaku pada orang yang alami obesiti? Ini adalah disebabkan oleh saiz tisu di tekak yang lebih besar pada orang obesiti sehingga menyebabkan masalah berdengkur.
Dengan mendapatkan berat badan yang lebih sihat, ia bukan sahaja baik dalam mengurangkan masalah dengkur, malah ia sangat membantu meningkatkan kualiti hidup di samping mencegah diri daripada pelbagai penyakit.
3. Tinggikan Sedikit Kepala Ketika Berbaring
Cara ini dapat menggalakkan lagi bukaan aliran udara dengan lebih luas. Anda boleh cuba gunakan bantal yang lebih tebal ketika tidur untuk tinggikan sedikit kepala.
4. Gunakan Nasal Strip
Produk ini merupakan antara yang paling popular dalam mengatasi masalah dengkur pada waktu malam. Nasal strip boleh dipasang pada tulang hidung bagi meluaskan ruang pernafasan di hidung.
Ini akan membantu anda untuk bernafas dengan lebih baik dan sekaligus mengelakkan masalah dengkur.
Kredit Foto : shopee.com.my
5. Berhenti Merokok
Tabiat merokok tidak mendatangkan apa-apa kebaikan buat kesihatan dan boleh menjadi punca bagi masalah dengkur.
Untuk membantu anda berhenti merokok, anda boleh dapatkan kaunseling daripada doktor atau gunakan produk berhenti merokok seperti nicotine patches, gula-gula getah atau lozenges yang boleh dibeli di farmasi.
6. Dapatkan Tidur Mencukupi Setiap Hari
Biasanya kita juga akan berdengkur apabila rasa terlalu penat. Badan juga akan mudah rasa penat jika kita tidak dapat rehat secukupnya melalui habit tidur yang tidak sihat.
Bagi mengatasi masalah dengkur, latihlah diri untuk dapat tidur sekurang-kurangnya 6 jam setiap malam untuk rehat yang berkualiti dan bagi mengelakkan masalah dengkur.
Kredit Foto : insider.com
7. Minum Air Mencukupi
Badan yang kekal hidrat bukan sahaja penting untuk kesihatan malah ia juga dapat membantu mencegah masalah dengkur. Jika badan anda kekurangan air, hidung dan tekak akan lebih cenderung untuk merembeskan mukus melekit.
Ini boleh mengakibatkan dengkuran lebih mudah terjadi ketika tidur. Oleh itu, banyakkan minum air demi kesihatan dan tidur yang lebih berkualiti.
8. Cuba Senaman Mulut
Sebuah kajian mendapati senaman mulut didapati berkesan dalam mengurangkan dengkuran sehingga 59%.
Ia melibatkan pergerakan lidah dan bahagian mulut lain serta mampu menguatkan otot lidah, tekak dan lelangit lembut.
Antara pergerakan yang anda boleh cuba bagi mengatasi masalah dengkur ialah :
- Tongue Slide – Sentuhkan lidah pada lelangit hadapan. Perlahan-lahan gerakkan lidah sampai mencecah lelangit belakang. Ulangi sebanyak 10 ke 15 kali.
- Tongue Stretch – Jelirkan lidah sebanyak mungkin. Kemudian cuba regangkan lidah untuk mencecah dagu sambil melihat ke atas. Tahan posisi selama 10 ke 15 saat. Ulangi pergerakan sebanyak 5 kali.
- Tongue Push-Up – Jelirkan lidah sambil mencecah lelangit. Kekal pada posisi ini selama 10 saat dan ulangi sebanyak 5 kali.
9. Gunakan Wap Air Panas Sebelum Tidur
Anda juga boleh cuba gunakan semangkuk air panas dan hidu wapnya sebelum masuk tidur.
Cara ini didapati membantu anda untuk bernafas tanpa sekatan lebih-lebih lagi jika anda sedang selsema atau sering alami masalah hidung tersumbat. Anda juga boleh cuba mandi air hangat sebelum masuk tidur.
10. Elakkan Makanan Yang Boleh Menyebabkan Keradangan Pada Hidung dan Tekak
Makanan dan minuman daripada sumber tenusu dan gluten seringkali dikaitkan sebagai punca keradangan pada hidung dan tekak.
Keradangan ini boleh menyumbang kepada masalah dengkuran ketika tidur. Anda tidak semestinya elakkan terus makanan ini, sebaliknya anda boleh elakkannya beberapa jam sebelum tidur.
Baca juga: 7 Tips Menghilangkan Kesan Kotoran & Bau Hancing Pada Tilam
Bila Perlu Berjumpa Doktor ?
Kebanyakan orang dapat atasi masalah dengkur dengan amalkan beberapa tips di atas.
Namun, bagi sesetengah kes yang lebih serius, anda perlulah berjumpa dengan doktor lebih-lebih lagi jika anda sering alami masalah seperti berikut :
- Dengkuran anda sering mengganggu pasangan anda pada waktu malam
- Sering berasa letih dan mengantuk pada siang hari
- Habit berdengkur yang sering membuatkan anda terbangun tengah malam kerana sukar bernafas.
- Berdengkur kerana masalah kesihatan lain seperti obesiti, kemurungan atau masalah jantung.
Simptom-simptom ini boleh menandakan masalah tidur yang lebih serius iaitu sleep apnea.
Ia juga boleh menandakan masalah kesihatan yang mungkin anda tidak sedari seperti sinusitis atau rhinitis yang mengganggu aliran pernafasan.
Rujuklah pada doktor segera bagi mengatasi masalah ini dan bagi memastikan anda dapat tidur yang lebih berkualiti setiap malam.
Sumber rujukan :
- 15 Remedies That Will Stop Snoring
https://www.healthline.com/health/snoring-remedies - Mouth And Throat Exercises to Help Stop Snoring
https://www.sleepfoundation.org/snoring/mouth-exercises-to-stop-snoring