Tanggal 10 Oktober bakal menjadi hari istimewa buat penyanyi dan pelakon Bella Astillah apabila dia akan disatukan dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Pasangan itu kemudiannya akan mengadakan majlis resepsi di Muar, Johor pada 25 Oktober sebelum meneruskan sambutan di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober.
Baca juga: Bergaduh Dengan Teman Lelaki, Pelajar Perempuan 19 Tahun Ditemui Tidak Bernyawa Dalam Bilik
BELLA ASTILLAH & SYED SADDIQ SUMBANG RM300K KENDURI RAKYAT

Menariknya, perkahwinan mereka bukan sekadar diraikan bersama keluarga dan kenalan rapat apabila pasangan itu turut merancang Kenduri Rakyat sebagai sebahagian daripada sambutan hari bahagia mereka.
Syed Saddiq berkata, inisiatif berkenaan merupakan cara mereka berkongsi kegembiraan dengan masyarakat menerusi sumbangan bahan asas bernilai sekurang-kurangnya RM300,000.
Menurutnya, beliau mahu majlis perkahwinan itu menjadi contoh kepada golongan muda supaya tidak menjadikan kemewahan sebagai ukuran sebuah perkahwinan hingga sanggup berhutang dalam tempoh panjang.
Atas sebab itu, majlis resepsi utama turut dikecilkan kepada sekitar 200 tetamu, manakala peminat yang tidak dapat hadir berpeluang mengikuti kemeriahan tersebut menerusi siaran langsung.
Pesanan Allahyarham Tun Dr Hasmah jadi pegangan

Menjelang perkahwinan, Bella dan Syed Saddiq turut menerima nasihat istimewa daripada Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ketika berkesempatan bertemu dengannya tiga hari sebelum pemergiannya.
Pertemuan yang berlangsung lebih dua jam itu meninggalkan kesan mendalam kepada pasangan tersebut, dengan Allahyarham berkongsi pandangan mengenai kehidupan berumah tangga termasuk pentingnya toleransi dan kompromi.
Bella mengakui pesanan supaya menjadi wanita yang lembut tetapi tetap kuat di sisi suami akan sentiasa diingatinya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut bersedia memikul tanggungjawab sebagai bapa kepada dua anak Bella, Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.
Dia mendedahkan sudah mula membaca buku berkaitan keibubapaan sejak tahun lalu dan memuji cara Bella membesarkan anak-anak mereka.
Walaupun bakal bergelar isteri, Bella akan terus aktif dalam bidang seni. Syed Saddiq juga menegaskan dia tidak akan menghalang kerjaya profesional bakal isterinya.
Baca juga: Hukuman Rotan Di Sekolah Tidak Pernah Dimansuhkan, Ada Tatacara Perlu Ikut – Fadhlina
Sumber: Harian Metro
