Ramai pastinya teruja untuk bertemu pasangan sama cantik sama padan, Bella Astillah dan Syed Saddiq yang bakal meraikan hari bahagia bersama orang ramai menerusi majlis resepsi perkahwinan bertemakan ‘Kenduri Rakyat’ di Sabah pada hujung minggu ini.
Mengangkat konsep tradisi rewang yang mengajak masyarakat setempat bersama-sama meraikan pasangan pengantin, majlis yang berlangsung di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 31 Oktober 2026 itu turut dibuka kepada orang ramai.
PANDUAN BUAT MEREKA YANG DATANG KE KENDURI RAKYAT BASS DI SABAH

Tangkap layar video.
Bagaimanapun, bagi mereka yang merancang untuk hadir, terdapat beberapa panduan penting yang perlu diketahui terlebih dahulu supaya urusan masuk dan pergerakan sepanjang majlis berjalan lancar.
Menerusi dua hantaran video di Instagram Bella Astillah Legacy, pihak Bella Astillah berkongsi panduan berkaitan laluan masuk, waktu operasi serta proses pendaftaran untuk pengunjung.
Ada dua laluan masuk, laluan keluar diasingkan
Majlis berkenaan akan berlangsung di Padang Merdeka dengan pelamin utama pasangan pengantin ditempatkan di satu bahagian yang dinamakan astaka.
Bagi memastikan pergerakan pengunjung lebih teratur, pihak penganjur menyediakan sistem pergerakan sehala yang merangkumi:
- Dua laluan khas untuk pengunjung masuk ke kawasan majlis
- Laluan keluar yang diasingkan sepenuhnya daripada laluan masuk
Jadi, orang ramai diminta mengikuti laluan yang telah ditetapkan dan tidak cuba memasuki kawasan melalui laluan keluar bagi mengelakkan kesesakan atau pertembungan antara pengunjung.
Pintu pagar hanya dibuka tepat jam 10 pagi

Tangkap layar video.
Majlis kenduri rakyat ini dijadualkan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 4 petang.
Walaupun pengunjung digalakkan datang lebih awal, pihak penganjur memaklumkan bahawa pintu pagar hanya akan dibuka tepat pada jam 10 pagi.
Ini bermakna mereka yang sudah berada di lokasi seawal jam 8 pagi masih perlu menunggu sehingga waktu pembukaan rasmi sebelum dibenarkan masuk.
Untuk memudahkan perancangan, berikut beberapa waktu penting yang perlu diketahui:
- 8.00 pagi: Pengunjung boleh hadir lebih awal, tetapi pintu pagar masih belum dibuka
- 10.00 pagi: Pintu pagar dibuka dan majlis bermula
- 12.30 tengah hari: Pasangan pengantin dijangka tiba
- 4.00 petang: Majlis dijadualkan berakhir
Pengunjung disarankan merancang waktu ketibaan masing-masing supaya tidak terperangkap dalam kesesakan, terutama ketika pasangan pengantin tiba.
Wajib daftar guna kod QR untuk dapatkan cenderahati
Sebaik sahaja memasuki kawasan padang, pengunjung perlu menuju ke deretan khemah pendaftaran yang disediakan oleh pihak penganjur.
Proses pendaftaran perlu dilakukan menggunakan kod QR dan hanya mereka yang berjaya melengkapkan pendaftaran berpeluang menerima cenderahati istimewa.
Antara barangan yang bakal diberikan termasuk:
- Beras
- Santan
- Pelbagai barangan keperluan asas lain
Jadi, orang ramai dinasihatkan mengikuti arahan petugas di khemah pendaftaran bagi memastikan proses berkenaan berjalan dengan teratur.
Lihat siaran ini di Instagram
Jangan berebut, utamakan keselamatan semua pengunjung
Memandangkan majlis ini dijangka menerima kehadiran orang ramai, pengunjung turut diingatkan supaya sentiasa beratur dan menjaga adab ketika memasuki kawasan kenduri.
Perkara ini penting kerana majlis berkenaan turut dijangka dihadiri golongan warga emas serta keluarga yang membawa anak kecil.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian sepanjang berada di lokasi ialah:
- Sentiasa beratur dan elakkan berebut ketika memasuki kawasan majlis.
- Ikut arahan petugas serta gunakan laluan yang telah disediakan.
- Berikan ruang dan keutamaan kepada warga emas serta keluarga yang membawa anak kecil.
- Pastikan pergerakan keluar masuk tidak menghalang pengunjung lain.
Sikap bertimbang rasa dan saling menghormati perlu diutamakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, lebih-lebih lagi ketika kawasan majlis mula dipenuhi pengunjung.
Apa pun, bagi mereka yang bercadang untuk hadir, pastikan semua panduan dipatuhi agar dapat menikmati kemeriahan majlis serta meraikan hari bahagia Bella Astillah dan Syed Saddiq bersama-sama.
Lihat siaran ini di Instagram
Sumber: Instagram @bellaastillahlegacy (1) (2)
FT Image: Instagram rizmanruzaini
