Euforia Bola 2026
Nur

“Ceteknya Ilmu Kita..”- Tular Dr Zulkifli Tadah Tangan Terbalik Ketika Berdoa Di Majlis Nikah, Ada Maksud Sebenar!

tadah tangan terbalik

Tindakan Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dilihat tadah tangan terbalik ketika membaca doa pada majlis pernikahan Bella Astillah dan Syed Saddiq menarik perhatian ramai.

Perbuatan itu mengundang persoalan tentang sebab kedudukan tapak tangan diterbalikkan ketika berdoa, sekali gus mendorong beliau tampil memberikan penjelasan menerusi perkongsian di media sosial.

Baca juga: Dah Mandi Wajib Tapi Baru Sedar Ada Anggota Tak Kena Air, Perlu Ulang Semula? Ini Jawapan Ustazah Asma Harun

PENJELASAN TADAH TANGAN TERBALIK KETIKA BERDOA

tadah tangan terbalik

Menjelaskan perkara itu menerusi perkongsian di media sosial, Dr. Zulkifli berkata, perbuatan tersebut dilakukan ketika beliau membaca doa memohon perlindungan daripada bala dan penyakit.

Menurutnya, amalan berkenaan mempunyai sandaran daripada sunnah Rasulullah SAW, khususnya ketika Baginda memohon hujan.

Dr. Zulkifli menjelaskan bahawa perbuatan menghalakan bahagian belakang tapak tangan ke langit ketika berdoa disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA.

Hadis riwayat Muslim, nombor 895 itu bermaksud:

“Sesungguhnya Nabi SAW memohon hujan, lalu Baginda mengisyaratkan ke arah langit dengan belakang kedua-dua tapak tangannya.”

Hadis tersebut menjadi sandaran ulama dalam membincangkan kedudukan tangan ketika berdoa bagi memohon agar bala atau kesusahan diangkat.

Menurut penjelasan Imam al-Nawawi menerusi kitab Syarh Sahih Muslim, sebahagian ulama berpandangan bahawa sunat bagi seseorang membalikkan kedua-dua tapak tangannya ketika berdoa untuk mengangkat bala, seperti kemarau dan keadaan seumpamanya.

Selain itu, Dr. Zulkifli turut merujuk pandangan Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari dalam kitab Asna al-Matalib yang membincangkan kedudukan tangan ketika berdoa.

Berdasarkan penjelasan tersebut, perbuatan membalikkan tangan ketika memohon agar bala diangkat mempunyai hikmah tersendiri, iaitu sebagai simbol memohon supaya kesusahan dan musibah dijauhkan dengan rahmat Allah SWT.

Perkara sama turut dibincangkan oleh al-Mulla Ali al-Qari menerusi kitab Mirqah al-Mafatih. Beliau menyebut pandangan ulama yang mengaitkan kedudukan belakang tapak tangan ketika berdoa dengan maksud menolak atau mengangkat bala.

Secara umumnya, kedudukan tangan ketika berdoa boleh berbeza mengikut tujuan doa yang dipanjatkan.

Bagi doa memohon sesuatu kebaikan, lazimnya seseorang mengangkat tangan dengan bahagian dalam tapak tangan menghadap ke langit. Sementara itu, bagi doa memohon agar bala atau musibah diangkat, terdapat pandangan ulama yang menganjurkan bahagian belakang tapak tangan dihalakan ke langit.

tadah tangan terbalik

Tindakan berdasarkan hadis & pandangan ulama

Mengulas lanjut, Dr. Zulkifli menjelaskan bahawa kedudukan tangan ketika berdoa untuk menolak atau mengangkat bala merupakan perkara yang mempunyai perbezaan pandangan dalam kalangan ulama.

Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa membalikkan kedua-dua tapak tangan ketika memohon perlindungan daripada bala adalah bersandarkan perbahasan ulama dan boleh dilakukan dengan harapan agar Allah SWT mengangkat musibah serta menjauhkan keburukan daripada hamba-Nya.

Justeru, tindakan tersebut bukanlah perbuatan tanpa asas, sebaliknya mempunyai sandaran dalam perbincangan hadis dan pandangan ulama berkaitan adab berdoa.

Penjelasan itu sekali gus memberikan pemahaman tentang sebab Dr. Zulkifli membalikkan kedua-dua tapak tangannya ketika membaca doa pada majlis pernikahan Bella Astillah dan Syed Saddiq.

Baca juga: Waris Pesara Kerajaan Boleh Tuntut RM3,000 Selepas Kematian, Ini Cara Mohon Bantuan Mengurus Jenazah

Sumber: Threads Drzulkifli.albakri

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×