Seperti yang dituntut dan diwajibkan dalam agama Islam, pembayaran zakat perlu dilakukan seperti bayar zakat pendapatan dan zakat simpanan. Ada kadar tertentu yang akan dikenakan berdasarkan kemampuan gaji dan anda perlu ambil tahu supaya tidak dihisab kelak.
Namun, ramai yang tertanya-tanya dan keliru apakah beza antara zakat pendapatan dan zakat simpanan? Adakah dua jenis zakat ini mempunyai kaedah pengiraan yang sama? Jom kita baca penjelasan dari Encik Faisal Rahim, Amil Zakat di laman Twitternya.
Baca juga: Tular Isu Wanita Teringin Poligami, Ustaz Pesan Jangan Buat Main Hukum Hakam..Ada Hikmah!
NAK BAYAR ZAKAT PENDAPATAN? APA BEZANYA DENGAN ZAKAT SIMPANAN?
#ZAKAT PENDAPATAN
1. Zakat pendapatan dikenakan atas semua jenis pendapatan yang diperolehi dalam satu tahun berkenaan.
2. Ada EMPAT (4) jenis harta pendapatan yang perlu digabungkan, iaitu:
(a) Penggajian (gaji bulanan + elaun + bonus),
(b) Hasil bebas atau freelance.
(c) Hasil Al-Mustaghalat (sewa rumah, kereta, janaan dari aset kita)
(d) Hasil Pemberian (pusaka, takaful, menang hadiah dsb).
3. Semua harta ini secara asasnya WAJIB dizakatkan TANPA adanya HAUL (tak perlu tunggu setahun dimiliki).
4. Semua harta tersebut juga perlu membuat TOLAKAN HAD AL-KIFAYAH (tolakan diri, isteri, anak-anak dll) dalam tahun semasa sebelum dizakatkan.
#ZAKAT WANG SIMPANAN
1. Zakat yang dikenakan ke atas semua jenis simpanan kita. Sama ada simpanan akaun biasa (wadiah), akaun mudharabah, akaun emas, simpanan di luar negara, simpanan dalam bentuk takaful (cash value tahunan), simpanan dalam tabung ayam, bawah bantal dan apa sahaja bentuk simpanan.
2. Wang Simpanan ini perlu digabungkan dengan:
(a) Wang Pelaburan dan
(b) Emas Perhiasan melebihi ‘uruf 800 gram (yang ditukarkan ke dalam harga semasa) dan
(c) Emas Bukan Perhiasan (biar pun tak mencapai nisab 85 gram) yang ditukarkan ke dalam harga semasa (RM).
3. Semua harta di atas perlu dizakatkan jika cukup Haul dan Nisab (Harga 85 gram Emas ; RM23,035).
4. Bagi Wang Simpanan yang disimpan dari LEBIHAN PENDAPATAN bulanan yang telah pun dikeluarkan zakatnya (Zakat Pendapatan) , maka syarak menghendaki ia dikecualikan daripada kiraan zakat simpanan pada tahun berkenaan. Maksudnya, sila buat tolakan atas semua simpanan pada tahun semasa yang telah dizakatkan agar tidak berlaku zakat dua kali.
5. Tiada Tolakan Had al-Kifayah (diri, isteri, anak-anak dll) dikenakan atas Zakat Wang Simpanan.
6. Zakat Wang Simpanan dikenakan pada saat haul tiba (biasanya pada penghujung tahun atau Ramadan – kita pilih) dengan melihat kepada JUMLAH BAKI Wang Simpanan kita.
*Ambil tahu tentang kedua-dua zakat ini okay!
Baca juga: Indah & Istimewanya Masjid Al-Aqsa Bagi Umat Islam, Masjid Suci Yang Wajib Dijaga
Sumber: Twitter Faisal Rahim