Menjelang penghujung Ramadan, persoalan berkaitan bayar zakat fitrah sering menjadi perhatian umat Islam, khususnya mengenai siapa yang boleh dibayarkan zakat bagi pihaknya.
Baru-baru ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjawab satu persoalan yang diajukan oleh orang ramai, adakah seseorang dibenarkan membayarkan zakat fitrah untuk tunangnya.
BAYAR ZAKAT FITRAH UNTUK TUNANG, SAH ATAU SIA-SIA

Menurut penjelasan tersebut, zakat fitrah merupakan kewajipan yang telah ditetapkan kadarnya dan perlu ditunaikan apabila matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadan.
Bayar zakat fitrah diwajibkan ke atas setiap Muslim yang memenuhi syarat, termasuk individu yang mampu serta mereka yang berada di bawah tanggungannya seperti isteri dan anak-anak.
Kewajipan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah ibn Umar bahawa Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan sebanyak satu gantang makanan asasi seperti tamar atau gandum ke atas setiap Muslim, sama ada lelaki atau perempuan, merdeka atau hamba.
Antara syarat wajib menunaikan zakat fitrah ialah:
1. Beragama Islam.
2. Masih hidup ketika terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan.
3. Mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan zakat pada waktu tersebut.
Sekiranya seseorang hanya mampu selepas waktu wajibnya berlalu, maka ia tidak lagi diwajibkan ke atasnya.
Menurut penjelasan ulama dalam mazhab Syafi‘i, seseorang tidak dibenarkan menunaikan zakat fitrah bagi pihak orang lain yang bukan di bawah tanggungannya, kecuali dengan izin individu tersebut.
Ini kerana zakat fitrah merupakan ibadah yang berkait dengan tanggungjawab individu. Oleh itu, ia hanya sah sekiranya mendapat keizinan daripada orang yang ingin dibayarkan zakat tersebut.

Dengan kata lain, membayarkan zakat fitrah untuk tunang adalah dibolehkan, tetapi dengan syarat mendapat persetujuan atau keizinan daripadanya terlebih dahulu.
Walau bagaimanapun, umat Islam disarankan untuk mendahulukan pembayaran zakat fitrah bagi diri sendiri serta individu yang berada di bawah tanggungan, terutamanya mereka yang tidak berkemampuan.
Ini selaras dengan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud:
“Sebaik-baik sedekah adalah selepas mencukupi keperluan, dan mulakanlah dengan orang yang berada di bawah tanggunganmu.”
Kesimpulannya, membayarkan zakat fitrah untuk tunang atau individu lain yang bukan di bawah tanggungan adalah dibolehkan sekiranya mendapat keizinan, namun adalah lebih utama untuk mendahulukan diri sendiri dan ahli keluarga yang berada di bawah tanggungan.
Baca juga: “Jangan Keliru!”- UAI Perjelas Hukum Sokong Iran Lawan Zalim, Tapi Akidah Syiah Tetap Ditolak
Sumber: Mufti Wilayah Persekutan
