“Aduh, panas betul lah bang. Kuatkanlah lagi kipas tu.”
“Eh awak kan dah duduk depan kipas tu. Kipas pun dah paling laju. Nak lajukan macam mana lagi?”
Situasi begini mesti sinonim dengan ramai ibu mengandung di luar sana kan? Tak tahu kenapa, kita asyik terasa bahang satu badan. Kadang-kadang walaupun dah duduk dalam ‘aircond’, tetap juga rasa panas tak hilang. Dalam satu hari, entah berapa kali asyik tukar baju sebab semuanya dah basah lencun dengan peluh.
Sebenarnya, hal ini bukanlah sesuatu yang pelik. Disebabkan perubahan fizikal yang berlaku pada tubuh ibu mengandung, memang ada sebabnya secara saintifik kenapa ibu mengandung cepat terasa panas dan asyik berpeluh-peluh.
Mari kita ketahui selanjutnya.
5 Sebab Ibu Mengandung Asyik Kepanasan & Berpeluh
1. Lebih Banyak Darah Dalam Tubuh
Semasa mengandung, tubuh ibu akan mengepam kira-kira 50% lebih banyak darah berbanding biasa. Ini adalah bagi melengkapi keperluan bayi dalam kandungan. Untuk menampung semua darah ini, salur darah ibu akan mengembang dan membuat tubuh terasa panas.
Menurut kata pakar juga, tubuh ibu akan berfungsi sebagai radiator bagi bayi dalam kandungan untuk mengimbangkan suhu.
2. Tubuh Lebih Banyak ‘Bekerja’
‘Menghasilkan’ seorang insan bukanlah satu tugas mudah ya. Bayangkan betapa banyak ‘kerja’ yang diperlukan untuk memenuhi semua keperluan itu selama 9 bulan.
Apabila tubuh ibu bekerja keras untuk menampung keperluan tumbesaran bayi dalam kandungan, sistem kardiovaskular dalam tubuh ibu akan menghasilkan lebih banyak tenaga. Apabila ini berlaku, secara tak langsung tubuh ibu akan turut menghasilkan haba.

Foto Kredit: momjunction.com
3. Pertambahan Berat Badan
Apabila hamil, ibu juga akan ‘mengusung’ bayi ke sana ke mari dengan berat tambahan. Ini juga salah satu faktor kenapa ibu mengandung selalu berasa panas.
Bayangkan kalau kita asyik mengangkat barang ke sana ke mari, ia tentu akan membuat kita cepat mengah dan berpeluh-peluh, kan?

Foto Kredit: gemini.no
4. Perubahan Hormon
Menurut BabyCenter, penurunan kadar hormon estrogen juga boleh menyumbang kepada rasa membahang dalam badan.
Rasa panas akibat turun naik hormon juga lebih dirasai dalam trimester pertama, trimester ketiga dan selepas bersalin kerana fasa ini hormonal swing berlaku dengan aktif.

Foto Kredit: alamy.com
5. Kadar Metabolik Meningkat
Dalam trimester ketiga juga, kadar metabolisme dalam tubuh ibu mengandung akan meningkat bagi mempersiapkan diri menjelang kelahiran.
Disebabkan keadaan ini, tubuh ibu mengandung boleh terasa lebih panas berbanding biasa.

Foto Kredit: hiveminer.com
Ibu Mesti Minum Banyak Air
Sekarang dah faham kan kenapa ibu mengandung selalu mengadu panas hampir setiap masa.
Apapun, ada banyak cara untuk membantu ibu hamil mengawal rasa panas ini. Antaranya adalah dengan memilih pakaian yang diperbuat daripada kapas, melakukan aktiviti renang atau menggunakan kipas tangan elektrik. Yang penting, kena pastikan anda minum air yang cukup supaya kekal terhidrat.
Encik Suami pun kenalah understanding sikit ya. Boleh bawa isteri jalan-jalan dalam mall atau tempat yang ada ‘aircond’. Sejuk sikit badan. Hati pun sejuk juga bila dapat shopping macam-macam…. Ok, part ni gurau je!