Platform permainan dalam talian Roblox bukan sahaja digunakan sebagai ruang hiburan apabila sekumpulan penggunanya mengambil inisiatif menganjurkan majlis bacaan surah Yasin secara maya untuk Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Majlis tersebut mendapat perhatian selepas seorang pengguna Threads, @Aliffnadzrin, berkongsi tangkap layar sesi bacaan Yasin berkenaan yang berlangsung dalam platform permainan tersebut.
Baca juga: Rayuan Haji 1448H/2027M Dibuka Lebih Awal Mulai 2 Oktober, Ini Syarat & Cara Permohonan
BACAAN SURAH YASIN DALAM TALIAN VERSI ROBLOX UNTUK TUN DR HASMAH

Menurut perkongsiannya, majlis itu disertai beberapa pengguna Roblox yang mengikuti bacaan Yasin sebelum diteruskan dengan bacaan doa.
Menariknya, majlis berkenaan turut dikendalikan seperti sebuah acara sebenar apabila terdapat pengacara yang bertugas sepanjang sesi berlangsung.
Perkongsian tersebut turut menunjukkan bagaimana platform permainan yang lazimnya menjadi tempat pengguna berhibur dan berinteraksi itu dimanfaatkan untuk mengadakan majlis keagamaan secara maya.
Inisiatif berkenaan menerima pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang menyifatkan usaha tersebut sebagai sesuatu yang menarik.
Seorang pengguna Threads menjelaskan bahawa terdapat komuniti tertentu dalam Roblox yang menyediakan ruang atau peta khas untuk mengadakan aktiviti keagamaan seperti bacaan Yasin dan doa.
Menurutnya, walaupun acara itu berlangsung dalam dunia maya dengan menggunakan avatar, peserta tetap memberikan perhatian dan mengikuti majlis dengan tertib.
Seorang lagi pengguna pula berkongsi pengalamannya menyertai program solidariti untuk Palestin yang turut dianjurkan dalam Roblox.
Perkongsian lain turut mendedahkan bahawa komuniti dalam platform berkenaan mempunyai pelbagai aktiviti, termasuk acara berkaitan sambutan kemerdekaan dan simulasi pilihan raya.
Hal ini menunjukkan penggunaan Roblox dalam kalangan penggunanya bukan semata-mata tertumpu kepada permainan, sebaliknya turut menjadi ruang untuk berkomunikasi, membina komuniti dan menganjurkan pelbagai aktiviti secara maya.
Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah selamat dikebumikan

Sementara itu, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali telah selamat dikebumikan dengan penuh istiadat di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada petang semalam.
Jenazah isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dikebumikan kira-kira jam 6.20 petang menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada pagi semalam dikebumikan berhampiran pusara Allahyarhamah Tun Endon Mahmood, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pemergian Allahyarham meninggalkan kesan kepada masyarakat, termasuk generasi muda yang turut menzahirkan penghormatan dan doa menerusi pelbagai cara, termasuk majlis bacaan Yasin yang dianjurkan secara maya di Roblox.
Baca juga: 70 Tahun Bersama, Dari Muda Hingga Usia Senja… Ini Kisah Cinta Tun Dr Siti Hasmah & Tun Dr Mahathir
Sumber: Threads Aliffnadzrin_
