Menurut Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit (CDC), wanita perlu mengambil asid folik sekurang-kurangnya sebulan sebelum hamil. Hal ini kerana asid folik berfungsi untuk membantu pembentukan sel darah merah, sekaligus membantu perkembangan otak dan saraf tunjang bayi. Ia juga boleh didapati secara semulajadi dalam sayuran berdaun hijau gelap dan buah-buahan sitrus.
Namun, kekurangan asid folik dalam tubuh boleh menyebabkan komplikasi kepada bayi dan ibu hamil antaranya masalah keguguran, kecacatan saraf dan kehilangan sebahagian struktur tengkorak, anencephaly.
Seperti kisah yang dikongsikan oleh seorang wanita pengalaman sedihnya apabila terpaksa ‘berpisah’ dengan bayi yang berusia 18 minggu dalam kandungan. Kongsi Siti Solehah, bayinya yang telah diberi Umairah itu mengalami masalah cystic hygroma, iaitu keadaan di mana wujudnya kantung cecair pada bahagian leher atau kepala akibat penyumbatan sistem limfa.
BUAT SCAN, ANAK ABNORMAL
Pada hari Selasa, 22 September 2020, merupakan mimpi ngeri buat mama dan ayah. Pada tarikh itu kami membuat temujanji untuk menjalani ujian detail scan bersama doktor pakar dan mendapati anak kami abnormal baby (cystic hygroma) semasa scan.
Cystic hygroma adalah baby yang terbentuk mempunyai beberapa cyst di leher baby. Perut dan paru-paru penuh dengan air. Baby tidak akan boleh lahir hidup. Hanya 10% jangka hayat dalam rahim.
Hal ini terjadi pada awal persenyawaan. Kromosom terlebih atau terkurang semasa persenyawaan, ataupun ada yang rosak. Allahualam. Masa imbasan, pakar hanya terdiam dan menjelaskan kepada kami. Tiga orang doktor pakar imbas baby untuk sahkan baby cystic hygroma.
Doktor pakar bagi Mama dan Ayah tenangkan fikiran dan membuat kata putus keputusan kami samaada nak biarkan kandungan atau sebaliknya. Doktor Pakar memberitahu sekiranya tidak dibuang terlebih dahulu, baby akan meninggal sendiri dalam perut.
Kandungan kami semasa detail scan berusia 4 bulan 2 minggu. Pembentukan baby sudah hampir sempurna. Susah untuk terima semua ini, Mama dan ayah seakan tidak percaya. Selama 4 bulan lebih ibu langsung tiada alahan. Hanya mengidam makanan biasa-biasa yang senang dicari. Mama dan ayah terkilan kerana tidak dapat menjaga Umairah sehingga besar. Terima kasih ya Allah bagi pinjam baby dalam rahim ibu selama 18 minggu ini.
DITAHAN DI WAD, DIMASUKKAN UBAT KELUARKAN BABY
Pada 23 September 2020, Mama serah diri untuk ditahan di wad dan dimasukkan ubat bagi keluarkan baby.
Doktor scan menyatakan baby dah meninggal dalam perut. Doktor meminta Mama balik dulu, untuk bagi baby keluar sendiri namun sehingga 27 September, baby masih tak mampu keluar. Mama menyerah diri dan setelah 2 hari berada di wad baby baru keluar. Pada 28 September tepat jam 4.25 petang, baby dilahirkan. Alhamdulillah Mama dah redha dengan pemergian baby.
Ayah bersyukur Allah uji mama dan ayah. Allah pilih kami untuk terima ujian yang sebesar ini dan benda yang paling mahal ayah dan mama pernah dapat iaitu anak syurga.
Semoga kesedihan mama dan ayah pada harini Allah gantikan dengan kebahagian pada hari-hari mendatang.
Ingatlah Allah sayang kita sebab tu Allah uji kita. Yang penting kita redha dan ikhlas atas setiap ujian yang diberikan. Janji Allah itu pasti.
Sekadar nak kongsikan, berdasarkan apa yang berlaku pada saya, doktor sarankan kalau dah sedia mengandung untuk seterusnya, terus ambil asid folik (Folic Acid). Salah satu sebab mungkin, tapi Allah sebaik-baik perancang.
Saya menyeru kepada para wanita diluar sana supaya mengambil asid folik sebelum mengandung dan pada awal kandungan sebagai persediaan awal bagi mengelakkan kehamilan tidak dirancang yang menjurus kepada komplikasi. Mungkin salah Mama dan ayah tak sedia dulu sebelum mengandung.
Saya harap kisah saya dijadikan pengajaran buat bakal-bakal ibu yang tahu mengandung tapi mengabaikan kepentingan vitamin ini.
Sumber: Siti Solehah