Sihat

Bahaya Pada Anak Kecil, 7 Perkara Tentang Penyakit JE (Japanese Encephalitis) Kita Kena ‘Alert’

3.3K
SHARES

Belum lagi COVID-19 reda sepenuhnya, negara kita dikejutkan pula dengan kes Japanese Encephalitis (JE) yang dilaporkan di Pulau Pinang.

Ia telah dikenal pasti berlaku di lokaliti Sungai Bakap di daerah Seberang Perai Selatan (SPS), menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Tahukah kita apakah Japanese Encephalitis (JE) ini dan apa yang kita boleh buat untuk mencegahnya?

Jom baca info ini selanjutnya.

1. Apakah Penyakit JE (Japanese Encephalitis)

Japanese Encephalitis atau singkatannya JE adalah sejenis jangkitan virus kepada otak yang boleh menjejaskan manusia dan binatang.

Virus JE ini disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Culicine iaitu Culex tritaeniorhynchus, Culex vishnui, Culex gelidus dan Culex fuscocephala  yang dijangkiti virus JE.

Menurut Portal MyHealth, penyakit Japanese Encephalitis (JE) telah berlaku di kebanyakan negara-negara Asia seperti Kemboja, China, Indonesia, India, Jepun, Nepal, Sri Lanka, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Korea, Thailand, Vietnam, iaitu negara yang mempunyai iklim yang panas dan ternakan khinzir yang banyak.

tips halau nyamuk

Foto Kredit: buenavida.pr

2. Vaksin JE Diwajibkan Di Sarawak

Jika anda tinggal di Sarawak, anda akan perasan bahawa vaksin ini disenaraikan dalam  Jadual Imunisasi Program Imunisasi Kebangsaan.

Ini kerana suntikan vaksin JE akan akan diberikan kepada penduduk berisiko tinggi di lokaliti berlakunya wabak.

Di negeri Sarawak, Program Vaksinasi JE diberikan kepada semua bayi yang baru lahir yang berumur 9 bulan dan ke atas mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan.

Menurut Datuk Dr Zulkifli Ismail menerusi MyPositiveParenting, JE ialah penyakit endemik (penyakit yang sentiasa ada di suatu tempat, walaupun tanpa pengaruh luar) di Sarawak.

Maka sebab itulah vaksinasi JE diwajibkan di sana.

Walaubagaimanapun, sekali-sekala kes JE ini juga boleh berlaku di negeri lain.

3. Anak Kecil Termasuk Golongan Berisiko

Menurut Malaysian Medical Gazette, di kawasan yang endemik seperti Malaysia, jangkitan JE mudah terjadi pada kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah.

Masyarakat yang lebih dewasa kebanyakannya sudah terdedah dengan virus JE secara tidak langsung justeru mendapat imunisasi secara semulajadi dan kurang risiko mendapat jangkitan yang teruk.

Namun, penyakit JE juga menyebabkan gejala serius dan boleh membawa maut kepada penghidapnya.

[ Baca juga : 7 Perkara Tentang Penyakit Kawasaki Yang Ibu Ayah Kena ‘Alert’ ]

apakah penyakit je

4. Simptom

Kebanyakan jangkitan JE tidak menunjukkan tanda dan gejala (asimtomatik).

Anggaran 1 pesakit dalam 250 yang dijangkiti menunjukkan gejala penyakit.

Gejala yang biasa adalah demam, sakit kepala, loya dan muntah.

Antara tanda yang perlu diawasi adalah:

  • Permulaan demam panas yang mendadak
  • Sakit kepala
  • Kejang leher
  • Disorientasi
  • Koma
  • Sawan
  • Kelumpuhan spastik

Perubahan keadaan mental, simptom neurologi, lemah dan gangguan pada pergerakan muncul selepas beberapa hari.

Sawan berlaku dalam 66% kes dan paling kerap berlaku di kalangan kanak-kanak.

sawan demam

Foto Kredit: romper.com

5. Bagaimana JE Dikesan?

Jangkitan JE dapat dikenalpasti apabila pihak doktor melalui pengambilan sampel darah atau air sum-sum tulang dan mengenalpasti kuman dari sampel tersebut melalui ujian di makmal.

6. Adakah JE Boleh Dirawat?

Menurut info, sehingga kini  belum ada rawatan khusus untuk penyakit JE.

Rawatan yang ada adalah lebih kepada rawatan sokongan dan mengelakkan komplikasi yang lebih teruk.

Semasa meletusnya wabak JE pada tahun 1999, terdapat 154 kes yang dilaporkan dan 56 kematian. Pada tahun 2001, vaksinasi JE mula diwajibkan di Sarawak, dan ia terbukti telah banyak mengurangkan kes JE.

vaksin bayi dan imunisasi

Foto Kredit: medpharm.co.uk

7. Komplikasi

Virus JE adalah merbahaya kerana ia boleh mengakibatkan kecederaan kekal pada otak dan kematian. Kadar kematian pula boleh mencecah 3 dalam setiap 10 orang.

Sekiranya sembuh, 50% pesakit berkemungkinan mengalami perkembangan otak yang terencat dan menjadi kurang upaya atau cacat badan.

cara mencegah virus Zika

Foto Kredit: softscreens.com.au

Lindungi Anak-anak Kita, Amalkan Langkah Pencegahan!

Oleh kerana JE dibawa oleh nyamuk, perkara terbaik yang boleh dilakukan adalah untuk mencegah virus ini adalah mengelakkan gigitan nyamuk.

Seperti juga langkah mengelakkan denggi, apa yang anda boleh lakukan adalah:

  • Menggunakan alat pencegah nyamuk
  • Memakai baju / seluar panjang ketika keluar rumah
  • Mengelakkan pakaian berwarna gelap
  • Memasang layar pintu / tingkap untuk mengelakkan nyamuk
  • Sentiasa bersihkan laman rumah untuk mengelakkan tempat pembiakan nyamuk
  • Kurangkan aktiviti luar bagi mengurangkan pendedahan kepada gigitan nyamuk terutamanya di lokaliti bermasalah penyakit JE.

Dengan maklumat ini diharapkan ibu bapa lebih alert dan dapat sama-sama bertindak melindungi anak-anak daripada penyakit JE.

Jom kongsikan artikel ini dan semoga lebih ramai mendapat manfaatnya.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×