“Ish, nampak orang fogging semalam. Ada kes denggi lagilah kat taman ni. Risau betul aku, dahlah budak-budak ni senang demam. Apa tanda demam denggi kalau kena dekat budak-budak ye? Sama macam orang dewasa ke?”
Kes denggi makin lama nampaknya makin mengganas. Setiap hari boleh dikatakan ada saja kes denggi di negara ini. Menurut rekod terkini Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan CPRC, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 56,497 kes telah dicatatkan pada tahun ini setakat 14 Jun 2019.
Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak KKM, kita sebagai ibu ayah terutamanya perlu peka dengan tanda awal demam denggi ini secara lebih menyeluruh.
Berikut adalah beberapa perkara yang perlu kita tahu tentang perkara tentang demam denggi pada kanak-kanak.
1. Tempoh Demam Kebah Waktu Kritikal
Kalau anak terkena demam biasa, waktu demam kebah merupakan berita baik bukan? Tapi jika ianya demam denggi, inilah masa di mana ibu bapa mungkin terlepas pandang.
Ini kerana, bagi demam denggi, apabila demam surut inilah masa yang kritikal di mana ibu ayah perlu lebih berhati-hati dan berjaga-jaga dengan tanda-tanda awal demam denggi.
2. Tanda Demam Denggi Pada Kanak-kanak
Tanda demam denggi pada kanak-kanak tak banyak bezanya dengan orang dewasa.
- Kebiasaannya demam akan terjadi pada hari ke tiga (3) hingga ke empat belas (14) selepas digigit oleh nyamuk yang dijangkiti, kebiasaannya di antara 4 hingga 7 hari.
- Selalunya ia akan bermula dengan demam kuat yang mengejut, sakit kepala yang teruk/kuat, sakit pada bahagian belakang mata serta otot-otot dan sendi-sendi. Demam denggi ini juga dikenali sebagai “breakbone fever”.
- Ruam merah di kulit juga boleh terjadi.
- Demam denggi menyebabkan suhu tinggi yang boleh mencapai suhu 40 – 41 darjah Celsius, dan selalunya akan berlarutan selama 2 hingga 7 hari. Ia juga boleh menyebabkan serangan sawan dikalangan kanak-kanak di bawah umur 6 tahun.
- Ruam selalunya akan tumbuh pada hari ke 3 dan 4 selepas bermulanya demam.
- Muntah dan kurang selera makan.
3. Cara Mengesahkan Demam Denggi
Jika anda mengesyaki anak anda mempunyai simptom demam denggi, bawalah anak anda ke klinik.
Kebanyakan klinik kesihatan awam kini telah dilengkapi kit diagnosis denggi. Darah akan diambil untuk mengesahkan denggi.
4. Rawatan
- Segera berjumpa dengan doktor kerana tiada ubat yang khusus untuk merawat demam denggi.
- Rehat dan banyakkan minum air masak. Ubat paracetamol boleh diambil untuk menurunkan demam dan mengurangkan kesakitan.
- Elakkan ubat aspirin bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.
- Antibiotik tidak diperlukan.
5. Tindakan Ibu Bapa
Jika anak anda mengalami demam panas yang berlarutan dan tak surut walaupun selepas beberapa hari, dan diikuti dengan ruam kulit atau sakit sendi, bawalah berjumpa doktor dengan segera.
Ibu bapa boleh membantu memastikan anak mendapat rehat yang banyak, makanan yang berkhasiat, dan mengelap badan dengan kerap untuk membuatkan anak berasa selesa.
6. Bahayakah Denggi Jika Berlaku Pada Kanak-kanak?
Jangkitan denggi boleh berlarutan sehingga 10 hari tetapi jika terdapat komplikasi lain seperti pendarahan, mungkin anak anda perlu dimasukkan ke hospital.
Rawatan awal boleh mengelakkan komplikasi kerana jika tidak dirawat, denggi boleh menyebabkan pendarahan, kegagalan ginjal, konvulsi dan kematian bagi kes-kes teruk.
7. Langkah Pencegahan
Kata kuncinya adalah kebersihan persekitaran rumah dan kejiranan. Oleh kerana denggi tersebar melalui bawaan nyamuk, ambil langkah memusnahkan nyamuk atau jentik-jentik di dalam air bertakung.
Sentiasa pastikan rumah anda dan kawasan kejiranan anda bebas dari air bertakung yang terbuka, tumbuh-tumbuhan mati dan pasu bunga kosong, sampah yang terbiar dan longkang yang tersumbat terutamanya pada musim hujan apabila air hujan tidak dapat mengalir dengan baik.
Pakaikan anak dengan pakaian berlengan panjang, terutamanya jika anda keluar rumah pada awal pagi dan senja. Seeloknya semua tingkap dan pintu telah ditutup ketika waktu itu.
‘Fogging’ Hanya Membunuh Nyamuk, Tetapi Tidak Memusnahkan Telurnya
Penting untuk setiap daripada kita memahami bahawa demam denggi boleh dicegah melalui amalan kebersihan yang baik. Malah, 75% jangka hayat nyamuk aedes ini adalah di dalam air bertakung.
Melawan denggi memerlukan semua anggota masyarakat berganding tenaga kerana ia melibatkan kerjasama komuniti seluruhnya.
Harus diingati, operasi ‘fogging’ juga hanya membunuh nyamuk tetapi tidak memusnahkan telurnya. Oleh itu, sangat penting kita menghapuskan tempat pembiakan nyamuk bersama-sama.
Jom cegah denggi!