Rakyat

5 Perkara Tentang Kanser Limfoma Yang Jarang Diketahui

882
SHARES

Seluruh negara bersimpati dengan pengakuan selebriti terkenal, Elyana yang telah mengumumkan bahawa beliau telah menghidap kanser limfoma tahap 4. Penyakit tersebut telah dirahsiakan daripada pengetahuan umum selama 7 tahun. Selain Elyana, seorang lagi pendakwah terkemuka, Ustaz Mohd Hanafiah turut disahkan menghidap penyakit ini.

Mungkin tidak ramai daripada kita yang mengetahui apakah sebenarnya kanser limfoma, bagaimana ia menyerang tubuh, dan apakah tanda-tandanya.

Mari kita ketahui serba sedikit mengenainya.

5 Perkara Tentang Kanser Limfoma Yang Jarang Diketahui

1. Limfoma Adalah Sejenis Kanser Darah

Secara ringkasnya, limfoma adalah sejenis kanser darah yang berlaku apabila sel-sel darah putih dan sistem imun mengalami pertumbuhan atau perkembangan yang tidak terkawal.

Ia menyebabkan pengumpulan sel secara luarbiasa, pembengkakan kelenjar limfa, dan boleh merebak ke organ sekeliling termasuklah tisu otak, usus, tulang, paru-paru dan sum-sum tulang.

Foto Kredit: my health.gov.my

2. Golongan Muda Berisiko Tinggi

Umumnya, limfoma terbahagi kepada 2; iaitu Limfoma Hodgkin (HL) dan Limfoma Bukan Hodgkin (NHL). Limfoma Hodgkin dikategorikan sebagai penyakit yang berbahaya dan berisiko tinggi menyerang golongan muda berusia 15 hingga 30 tahun. Warga emas berusia 55 tahun ke atas juga dikatakan mempunyai risiko yang sama.

Sungguhpun limfoma masih dianggap asing dalam masyarakat kita, tapi sebenarnya 1 daripada 5 rakyat Malaysia menghidap HL di mana 60% daripadanya adalah golongan lelaki, seperti yang dijelaskan oleh Ketua Perkhidmatan Hematologi Kebangsaan, Datuk Dr Chang Kian Meng dalam sebuah artikel yang disiarkan pada tahun 2015.

Sementara itu, NHL lebih lazim menyerang mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

Foto Kredit: lymphoma.org

3. Punca Limfoma

Secara tepatnya, punca seseorang mendapat penyakit ini masih belum diketahui. Namun, ada beberapa kemungkinan yang boleh menyumbang kepada risikonya, iaitu:

i) Jangkitan bakteria dan virus seperti HIV, EBV, helicobacter pylori, hepatitis B dan C.

ii) Penyakit auto-immune

iii) Penggunaan ubat immunosuppressive selepas pemindahan organ.

iv) Penyakit keturunan / genetik

v) Pendedahan kepada bahan toksik seperti racun serangga, racun rumpai, dan benzene.

4. Tanda-tanda Limfoma

Gangguan daripada abnormaliti yang berlaku pada sistem limfa boleh menyebabkan fungsi organ-organ penting terjejas, lalu menyebabkan kemerosotan tahap kesihatan pesakit.

Antara tanda-tanda yang boleh dikenalpasti adalah:

i) Pembengkakan kelenjar limfa

ii) Demam berpanjangan

iii) Hilang selera makan

iv) Turun berat badan secara mendadak

v) Cepat letih & tidak bertenaga

vi) Ruam kulit, selalunya di bahagian kaki

vii) Sering berpeluh pada waktu malam

viii) Tanda lain pada bahagian organ tertentu: contohnya batuk & sesak nafas akibat pembengkakan peparu atau berak berdarah akibat pembengkakan usus.

Pada tahap awal, ia mula menyerang sebahagian kecil sistem limfa dan seterusnya melibatkan lebih banyak bahagian hingga mengganggu fungsi organ. Jika tidak dirawat sejak awal, ia boleh membawa maut.

4 Tahap Kanser Limfoma Hodgkin. / Foto Kredit: Meredith S. via StudyBlue

5. Rawatan

Harapan untuk sembuh pada pesakit limfoma adalah cerah, namun ia banyak bergantung kepada faktor tertentu; umur pesakit, jenis, tahap, dan respon tubuh mereka terhadap rawatan.

Antara rawatan yang terlibat adalah pembedahan, radiasi, kemoterapi, immunoterapi, atau pemindahan sum-sum tulang – bagi kanser yang bersifat agresif atau berulang.

Foto Kredit: shutterstock.com

Jom Ambil Peduli

Dengan sedikit info yang dikongsikan ini, diharapkan rakyat Malaysia lebih mengambil berat dan memiliki kesedaran terhadap kanser limfoma. Sedikit sebanyak, bolehlah kita memberi sokongan kepada mereka yang mengharunginya.

Berat mata memandang, berat lagilah bahu yang memikul. Semoga mereka tetap bertabah dan terus berjuang!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×