Asuh

Apa Yang Ibu Bapa Perlu Buat Jika Anak-Anak Terlebih ‘Advance’ Dalam IT

Bukan main susah lagi nak tegur anak-anak zaman sekarang. Sangat berbeza dengan kita zaman dahulu apabila rotan dan suara tegas dari ayah dan ibu pun boleh buat kita menangis. Jadi, buat ibu bapa abad ke 21 yang lebih mudah terdedah dengan teknologi, inilah apa yang anda perlu ‘master’!

SKIL ‘PARENTING’ PENTING ABAD KE 21.

Semasa kita kecil dulu, jika ibubapa kita tidak mahu kita berkawan dengan kumpulan budak-budak yang tidak elok perangainya atau budak-budak yang dikhuatiri akan mempengaruhi kita dengan perangai yang tidak baik, ibubapa boleh menghalang kita dari keluar rumah. Ibubapa juga boleh menghalang kita dari bercampur dengan budak-budak kampung A, tidak pergi ke kawasan flet B atau tidak ke kawasan kedai C sebab di situlah ‘port’ atau tempat budak-budak tersebut berkumpul. Dengan melakukan begitu, kita tidak bercampur dengan anasir yang negatif tersebut dan kita terlindung dari menjadi seperti mereka. Itu usaha ibubapa kita suatu masa dulu untuk melindungi kita.

Itu dulu.

Anak-anak sekarang tidak ada masalah itu lagi. Ibubapa tidak perlu menghalang anak-anak dari keluar dan bercampur dengan A, B, atau C yang membawa pengaruh yang tidak elok itu. Kita tidak menghalang bukan kerana kelompok sebegitu sudah tidak wujud, tetapi kerana kelompok sebegitu sudah menyelinap masuk ke dalam rumah kita. Malah mereka masuk ke bilik anak-anak kita, berada di tempat tidur anak-anak kita, sehinggakan diajak ke mana-mana saja oleh anak-anak kita.

Kita menjemput mereka dengan sukarela ke dalam hidup anak kita apabila anak-anak kita diberi telefon pintar tanpa dipantau. Inilah perbezaan dulu dan sekarang yang sangat ketara dan menuntut supaya kita mendidik anak mengikut zaman di mana dia dibesarkan.

Skil penting yang perlu ada pada ibubapa zaman sekarang adalah skil untuk mendidik dan membimbing anak tentang literasi internet dan media. Ini adalah skil keibubapaan yang penting untuk melindungi anak-anak kita daripada anasir yang tidak baik pada zaman mereka dibesarkan sekarang. Ibubapa perlu cakna dan peka terlebih dahulu. Jika kita sendiri ‘buta IT’ bagaimana mungkin kita melindungi anak-anak kita yang kebanyakannya lebih ‘advanced’ daripada kita?

APA YANG PERLU DILAKUKAN?

1. Pasang atau install ‘parental control’ pada peranti yang digunakan oleh anak-anak.

Ia dapat menyekat ataupun membataskan pendedahan anak-anak kepada konten yang tidak elok di internet. Apabila ditanya, masih ramai ibubapa yang tidak tahu apakah ‘parental control’ dan tidak tahu pun wujudnya ‘parental control’ untuk melindungi anak-anak ketika online. Anda perlu tahu. Anda boleh ‘google’ untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

2. Terangkan kepada anak-anak bahawa tidak semua yang mereka baca online adalah betul ataupun baik.

Ada kandungan yang bunyinya baik dan mungkin berunsur keagamaan tetapi nilai dan kandungannya tidak betul. Malah ada yang diputar belitkan. Ibubapa sendiri perlu berilmu dan berfikiran kritis supaya dapat membimbing anak untuk berfikiran kritis juga dalam menilai sesuatu maklumat di internet.

3. Pantau penggunaan enjin carian oleh anak-anak.

Kanak-kanak sifatnya sentiasa ingin tahu atau ‘curious’. Sifat ingin tahu ini selalunya akan membawa mereka ke ‘google’. Pak Cik Google akan memberi semua maklumat yang ada. Mungkin ada maklumat yang tidak bersesuaian dengan usia anak, tidak bersesuaian dengan tahap pemikiran anak dan tidak bersesuaian dengan nilai yang dipegang oleh kita. Oleh itu pantaulah ‘history’ pencarian anak-anak ketika menggunakan enjian carian.
Jika tidak tahu caranya, ibubapa sendiri boleh ‘google’ untuk mengetahui bagaimana untuk memantau ‘history’ carian.

4. Ingatkan anak-anak tentang iklan-iklan online

Ini boleh membawa dari satu perkara yang dilihat baik kepada satu perkara yang tidak elok. Anak-anak akan leka dan mungkin seronok ‘click’ dari satu iklan ke satu iklan. Ramai kanak-kanak yang terjebak dengan laman sesawang berunsur keganasan dan juga pornografi secara tidak sengaja.

5. Ajar anak-anak apa yang perlu dilakukan jika terlihat imej yang tidak senonoh

Selalunya melalui ‘pop up’ yang muncul di skrin. ‘Pop Up’ sifatnya sangat mengundang bagi kanak-kanak. Mereka akan tertarik untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Pop sana, pop sini, akhirnya terjebak dengan laman yang tidak elok.

6. Ajar anak untuk lebih terbuka

Memberitahu sekiranya terlihat perkara yang tidak elok atau tidak senonoh di internet. Jangan menjadikan perbincangan perkara yang tidak elok itu sebagai sesuatu yang taboo. Jika kita tidak bercakap dan membimbing anak tentangnya, anak akan mencari sumber yang lain untuk bertanya. Sumber yang lain itu belum tentu memberikan maklumat yang betul dan mengikut nilai yang sepatutnya.

7. Pesan kepada anak supaya tidak memberi maklumat peribadi kepada sesiapa saja di internet.

Maklumat tentang tempat tinggal, sekolah, umur dan sebagainya tidak seharusnya dikongsi dengan sesiapa yang dijumpai online. Ramai pemangsa yang menunggu-nunggu dan mencari mangsa dari kalangan kanak-kanak yang mereka tahu tidak dipantau oleh ibubapa.

8. Bertegas dengan anak supaya tidak mempercayai individu yang baru dikenali di internet.

Sesiapa saja boleh menyamar dan tidak memberi maklumat yang benar tentang diri mereka.

9. Guna username

Ajar anak untuk menggunakan nama atau identiti pada ‘username’ yang tidak menggambarkan maklumat yang sebenar.

10. Pesan kepada anak untuk menolak ‘friend request’ daripada individu yang tidak dikenali.

Ibubapa juga perlu berpesan kepada diri sendiri tentang hal ini. Jangan terlampau ghairah untuk mengumpul beribu-ribu ‘friends’ sehinggakan kita sendiri tidak kenal dan tidak tahu siapa yang melihat gambar anak-anak yang kita share. Kita sendiri tidak tahu siapa yang mengumpul maklumat yang kita share di media sosial kita.

Tanya diri sendiri, kenalkah kita semua ‘friends’ kita di media sosial? Jika kita sendiri tidak sensitif tentang privasi, bagaimana kita hendak membimbing anak-anak kita? Ibubapa juga perlu tahu tentang istilah ‘DIGITAL FOOTPRINTS’. Ini adalah istilah yang tidak perlu diketahui oleh ibubapa kita dulu kerana dunia dulu berbeza. Footprints maksudnya jejak-jejak.

Apa saja gambar, maklumat, dan cerita yang kita dan anak kita muatnaik di internet akan terus kekal di internet sampai bila-bila. Ia menjadi jejak-jejak yang kita tinggalkan dan boleh dicari semula oleh sesiapa saja satu hari nanti.
Satu hari nanti maklumat atau gambar yang dimuatnaik mungkin akan mengaibkan anak-anak kita atau membuka pekung di dada keluarga kita.

*Pesan kepada diri kita dan anak-anak kita supaya berhati-hatilah dengan ‘digital footprints’ yang kita tinggalkan.

Sumber : Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×