Melihat gelagat anak-anak yang sedang seronok membina istana pasir benar-benar mencuit hati. Ada ketika terdengar jeritan si adik yang marah dikacau oleh si abang ketika leka membina istana idaman. Adakala mereka tertawa riang bermain pasir pantai.
Bagi kanak-kanak, bermain dan mandi-manda di pantai adalah aktiviti yang sangat menyeronokkan. Berenang dan bermain pasir memang mempunyai keistimewaan tersendiri. Bagi mereka, ia adalah saat yang paling ditunggu -tunggu terutama pada cuti hujung minggu.
Walau begitu, anda tidak pernah menjangkakan sebarang kejadian buruk yang akan berlaku seperti disengat obor-obor, digigit ikan atau sebagainya.
Mari ikuti pengalaman yang dilalui oleh Encik Musafir lalu yang berkongsi saat cemasnya di Facebook selepas anak perempuannya telah disengat obor-obor ketika mandi di pantai sehingga pengsan. Beliau juga turut berkongi beberapa tips berguna untuk ibu bapa yang ingin bawa anak mandi di pantai.
Oleh itu, persiapan dari segi kelengkapan dan lokasi perlu dilakukan oleh ibu bapa terutama yang sedang merancang untuk membawa anak ke pantai hujung minggu ini.
Jom ikuti 7 tips yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa semasa menjaga anak bermain di pantai yang boleh dijadikan sebagai panduan.
1. Periksa kebersihan dan keselamatan air laut
Ketika sampai di pantai, perkara pertama yang harus diperhatikan adalah kebersihan air laut serta kawasan sekeliling pantai.
Sebaiknya, jangan biarkan anak bermain di air laut yang kotor. Carilah pantai yang bersih dan selesa untuk anak.
Ibu bapa juga digalakkan google dahulu pantai-pantai yang berisiko tinggi seperti haiwan beracun dan berbisa seperti obor-obor.
2. Gunakan pakaian yang bersesuaian
Memakai pakaian yang sesuai amat penting. Pastikan anak anda memakai pakaian yang sesuai untuk aktiviti air.
Elakkan memakaikan mereka dengan pakaian yang terlalu tebal dan nipis.
3. Periksa kedalaman air
Sebelum melepaskan anak mandi atau bermain di pantai, periksa dulu kedalaman airnya. Ia bagi memastikan ketinggian paras air tidak melebihi tinggi anak.
Hal ini penting, terutama jika anak anda tidak boleh berenang.
4. Pengawasan ibu bapa
Setiap aktiviti yang ingin dilakukan oleh anak, awasi mereka sebaiknya. Jangan biarkan anak bermain dan sendirian.
Pastikan anda sebagai penjaga mereka sentiasa mengawasi dan berada dekat bersama anak.
Kalau boleh, sertai mereka melakukan aktiviti riadah di tepi pantai kerana ia akan lebih menyeronokkan, sekali gus merapatkan lagi hubungan ibu bapa dan anak.
5. Bilas badan dengan air bersih selepas mandi laut
Selesai mandi laut dan bermain di tepi pantai, pastikan anda memandikan anak dengan air bersih sebersih-bersihnya.
Pastikan juga tidak ada pasir yang tersisa di rambut atau kepala serta badan selepas bermain dan berenang di pantai.
6. Gunakan krim pelindung sinaran UV
Bagi menjaga kulit si kecil daripada terlalu terdedah kepada sinaran matahari yang boleh merosakkan kulit, sapukan mereka krim pelindungan matahari yang bersesuaian.
Ia bagi mengelakkan berlakunya pengelupasan kulit atau sebarang penyakit yang berkaitan dengan kulit.
7. Minum air kosong
Berikan anak anda minum air kosong yang banyak supaya mereka tidak kekurangan air di dalam badan. Hal ini kerana mereka sudah terdedah dengan cahaya matahari dan berendam dalam air masin dalam jangka masa yang lama. Minum air kosong adalah perlu untuk mengembalikan air dalam badan agar tidak dehidrasi.
Semoga perkongsian tips ini memberi manfaat kepada ibu bapa diluar sana sekiranya anda mempunyai perancangan membawa anak anda bercuti pada hujung minggu nanti.