Pernah tak, anda pakaikan anak baju tak sampai sejam anak dah berpeluh, meragam dan asyik tarik baju? Sebenarnya ini merupakan tanda bahawa mereka sebenarnya berada dalam keadaan tidak selesa.
Ada banyak faktor mengapa situasi ini berlaku antaranya mungkin pakaian yang dikenakan ketat, menggunakan fabrik kasar yang tidak mesra kulit bayi atau fesyen pakaian itu sendiri sebenarnya tak sesuai dengan rutin harian anak anda.
Sebab itulah penting untuk ibu bapa pilih pakaian yang praktikal agar mudah untuk menukar lampin, salin pakaian kotor anak dan dalam masa yang sama anak pun rasa selesa sepanjang hari.
Bagi anda yang tak tahu, gaya dan bahan apa yang sesuai dengan iklim khatulistiwa negara kita, berikut adalah beberapa gaya dan fabrik yang anda boleh cuba untuk si manja.
1. Romper: Mudahkan urusan tukar lampin

Memiliki rekaan berkancing di bahagian bawah baju, romper membolehkan ibu bapa menukar lampin dengan lebih cepat tanpa perlu membuka keseluruhan pakaian ketika bayi sedang tidur atau berada diluar (keluar berjalan-jalan)
Maka, tak hairanlah romper menjadi pilihan popular dikalangan ibu bapa. Walau bagaimanapun, pastikan anda pilih romper yang diperbuat daripada fabrik kapas lembut kerana ia lebih mesra kulit dan mampu menyerap peluh dengan baik. Bayi pun bebas meniarap, merangkak dan bergerak tanpa rasa tidak selesa.
2. Set baju-T dan seluar longgar

Bagi kanak-kanak berusia yang 1 tahun ke atas, mereka sedang dalam fasa aktif merangkak, berjalan dan berlari. Oleh itu, penting untuk anda pilih pakaian yang memberi ruang untuk mereka bergerak tanpa halangan.
Cuba pakaikan set baju-T bersama seluar pendek atau seluar longgar untuk anak anda. Selain mudah dipakai, pakaian ini memiliki pengudaraan yang baik dan sesuai untuk pelbagai aktiviti harian.
Sedikit tip, pilih seluar dengan pinggang getah yang lembut supaya lebih mudah dipakai dan tidak meninggalkan kesan pada kulit anak.
3. Pakaian yang mempunyai zip atau butang di hadapan

Anak kecil dengan baju yang cepat kotor memang tak dapat dipisahkan. Biasalah pada ketika ini mereka belajar makan sendiri. Sentuh disana sini. Kadang-kadang tu baru lepas minum susu, mereka muntah. Belum masuk lagi cerita lampin bocor.
Sebab itu, pakaian yang mempunyai zip atau butang di bahagian hadapan sangat membantu. Ianya memudahkan ibu bapa untuk salin baju anak-anak tanpa perlu tarik keatas melalui tengkuk dan kepala.
Nampak macam perkara kecil, tetapi ia benar-benar membantu rutin harian apatah lagi bila anak sedang meragam atau kurang sihat.
4. Fabrik kapas yang ringan dan tidak panas
Cuaca di Malaysia yang panas dan lembap membuatkan pemilihan fabrik menjadi antara perkara paling penting.
Fabrik kapas biasanya lebih lembut, mempunyai pengudaraan yang baik dan mampu menyerap peluh dengan lebih berkesan. Ini membantu mengurangkan rasa rimas, sekali gus memberi keselesaan kepada anak walaupun mereka aktif bermain.
Bukan itu sahaja, fabrik kapas juga lebih mudah dicuci, cepat kering dan tahan digunakan setiap hari.
5. Pakaian asas dengan warna neutral

Elakkan warna gelap seperti hitam kosong kerana warna hitam boleh memerangkap haba. Sebaiknya, pilih pakaian bercorak comel dengan warna neutral.
Ia lebih mudah dipadankan antara satu sama lain. Jadi, ibu bapa tidak perlu mengambil masa yang lama untuk memilih pakaian setiap pagi.
Malah, memiliki beberapa helai pakaian asas yang berkualiti lebih praktikal berbanding membeli terlalu banyak pakaian yang akhirnya jarang dipakai.
Akhir sekali, jangan lupa saiz juga memainkan peranan penting.
Selain memilih rekaan yang sesuai, pastikan saiz pakaian juga tidak terlalu ketat atau terlalu besar.
Ingat! Anak kecil tidak memerlukan almari yang penuh dengan pakaian. Apa yang lebih penting ialah pakaian yang selesa, praktikal dan sesuai dipakai untuk rutin harian mereka.
Apabila memilih pakaian, utamakan fabrik yang lembut, mudah menyerap peluh dan mempunyai rekaan yang memudahkan urusan ibu bapa. Walaupun nampak seperti perkara kecil, pakaian yang sesuai sebenarnya boleh membantu anak kekal selesa, lebih ceria bermain dan mengurangkan rasa rimas sepanjang hari.
