Baru-baru ini kita dikejutkan apabila seorang bayi berusia 8 bulan meninggal di taman asuhan kanak-kanak akibat perbuatan pengasuh. Kes bayi bernama Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri meruntun hati orang ramai terutama sekali ibu bapa mangsa yang menanti zuriat selama 13 tahun ini.
Namun, bapa mangsa, Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim dan Sabrina Hakiem Zaini terpaksa menerima hakikat apabila satu-satunya anak yang ditatang telah dijemput Ilahi. Apa yang boleh dilakukan adalah nukilan menyatakan bahawa rindu itu begitu pedih..
Baca juga: Kronologi Kes Kematian Bayi Al Fateh, LEMAS Disumbat Botol Susu & Ditekup Muka Oleh Pengasuh
AL FATEH MENINGGAL DI TAMAN ASUHAN KANAK-KANAK, BAPA LUAH RASA TERSANGAT RINDU…
Terbaharu menerusi kiriman di laman Facebook, Fikry meluahkan rasa pilu dan kerinduannya terhadap keletah dan gelak tawa anak tunggalnya itu. Malah, ayah ini turut memuat naik rakaman video Al Fateh semasa hayatnya untuk menunjukkan betapa giragnya si kecil ini dengan gelak tawa serta sangat comel dan manja.
“Daddy mummy rindukan gelak tawa Muhammad Al Fateh Amri. Tunggu kami di pintu syurga nanti, anakku,” luah si bapa.
Walau meratapi pemergian si kecil, Fikry turut menyatakan kesyukuran kerana dikurniakan cahaya mata walau hanya seketika.
“Di akhirat nanti boleh bawa daddy mummy masuk syurga sama-sama. Al Fateh main dulu dengan anak-anak syurga yang lain.
“Allah pinjamkan Al Fateh kepada kami untuk lapan bulan. Kami sangat bersyukur. Pemergianmu bukan satu kehilangan tapi menjadi asbab untuk kami jadi lebih baik. Al Fatihah,” ujarnya lagi.
AKAN TUNTUT BELA ATAS KEMATIAN
Dalam satu kiriman yang lain, Fikry juga berkata dia dan isteri akan menuntut bela di atas kematian anak mereka. Hal ini kerana, dia melihat sendiri dalam rakaman CCTV menunjukkan pengasuh tersebut menyumbat botol susu, bedung dan tekup muka anaknya dengan bantal sehingga lemas.
“Saya akan ambil tindakan undang – undang yang maksimum supaya menjadi pengajaran dan iktibar kepada pengasuh dan pengusaha Taska yang lain agar mematuhi SOP dan peraturan yang ditetapkan,”
“Mohon perkenan Yang Dipertuan Agong, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Kehakiman Negara (JKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memandang serius perkara ini agar hukuman maksimum dikenakan ke atas pengasuh dan pengusaha taska tersebut” katanya.
Sumber: Mohd Fikry Amri, Sinar Harian