Seluruh rakyat Malaysia amat berdukacita dengan pemergian penyanyi terkenal, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin. Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada 5.13 pagi kelmarin di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan selamat dikebumikan bersebelah kubur arwah ibunya di Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak.
Ramai yang tersentuh apabila melihat video-video di laman media sosial yang memperlihatkan keadaan suaminya, Shuib ketika selesai sesi perkebumian tersebut. Bukan itu sahaja, Shuib juga berkongsikan pengalaman menerusi sesi live di Instagramnya bagi menceritakan situasi terkini beliau semalam.
Baca juga: “Sayangilah Pasangan Seikhlas Hati Sebelum Dia Pergi”
“Aku pernah berada di tempat Shuib…”
Turut dikongsikan di laman media sosial, bukan sahaja situasi sebegini berlaku pada Shuib dan Allahyarham Siti Sarah malah saudara Khairul Abdullah juga berkongsikan bahawa beliau pernah mengalami situasi yang sama seperti mereka. Sedih dan pilu apabila diberitahu isteri akan ‘ditidurkan’, ini perkongsian beliau yang mengundang sebak.
Isteri aku juga ditidurkan bila dia sudah mula sukar untuk bernafas sendiri. Bila paru-paru sudah mula dijangkiti dan mesin diperlukan untuk membantu pernafasan maka doktor tidurkan dia. Aku kena sign segala surat persetujuan terlebih dahulu. Yelah ditidurkan tu bunyinya lebih sedap berbanding dikomakan.
Bila koma, chances is 50-50. Entah bangun entah tidak. 3 hari aku gundah, 2 malam aku pasrah. Akulah manusia yang paling lemah dan helpless ketika itu. Dan akhirnya isteri aku pergi meninggalkan aku dan anak-anak. Jangan ditanya apa perasaan aku. Numb. Just numb. Shuib sekarang berada di tempat aku. Tempat yang menguji tahap keimanan dan kesabaran seorang hambaNya. Tempat yang sebolehnya aku doakan agar kalian tak perlu hadap dan rasainya.
Perit dan sukarnya hanya Allah yang tahu. Semoga Allah mengangkat segala kesakitan dan memberikan kesembuhan segera buat Puan Siti Sarah Raisuddin agar dapat dia segera kembali ke pangkuan suami dan anak-anaknya. Aamiin.
Update:
Innalillahiwainnailaihirojiun. Siti Sarah Binti Raissuddin telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi tadi. Semoga diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dikalangan para syuhada.
PERASAAN YANG PALING SUKAR DIGAMBARKAN
Bagaimana perasaan seorang lelaki yang kehilangan seorang isteri dan ibu kepada anak-anak yang masih kecil? Sukar digambarkan. Macam-macam perasaan bercampur. Bagi aku, beberapa bulan selepas kehilangan, perasaan yang paling banyak adalah sesalan. Yer, menyesal yang pelbagai. Kenapa dulu aku tak buat begitu, kenapa dulu tak buat begini.
Membesarkan anak ni sukar rupanya, kenapa dulu aku kurang bantu isteri. Kenapa dulu aku kurang batu uruskan anak-anak? Kenapa dulu aku kurang bantu mengems rumah. Makan bersendirian ini tidak sedap rupanya. Kenapa dulu aku selalu balik lambat dan jarang makan bersama. Kenapa dulu aku kurang masakkan makanan kegemaran dia.
Tak ada orang untuk kita bercakap ini pun sangat sunyi dan mencengkam rupanya. Kenapa dulu aku kurang bercakap dengan dia. Kenapa masa aku banyak habis depan telefon ataupun tv berbanding dia. Menyayangi atau mencintai ini perlu diluahkan rupanya, tak boleh biar senyap-senyap dalam diri. Sekarang ni nak luahkan I love you, I miss you pun dah tak ada gunanya. Kasih dan sayang membuak-buak dalam dada, namun orang yang nak diucapkan telahpun tiada.
Pelbagai penyesalan datang bertandang
Walaupun aku ni rasanya dah cukup rajin tolong dia, dah cukup ucap kata cinta pada dia, dah cukup segalanya buat untuk dia, namun bila kehilangan semua tu rasanya tak pernah cukup. Kalau boleh berpatah balik maka akan aku ucap kata sayang setiap masa, aku akan duduk berborak dengan dia setiap masa, akan aku take over buat kerja rumah bagi meringankan beban dia. Sayangnya, semua tu dah terlambat. Jeda.
Bagi yang masih ada pasangan, berkasih sayanglah, bantu membantulah, ringan meringankanlah tugasan pasangan kita. Paling penting hargailah dia kerana dengan menghargailah banyak benda yang kau akan buat untuk dia dan keluarga. Kau akan banyak ucapkan sayang, kau akan banyak memberi tenaga dan kau juga akan banyak bertimbang rasa. Life is short.
Isteri aku meninggal pada umur 39 tahun. Masih terlalu awal tinggalkan aku dan anak-anak yang ketika itu berusia 4, 2 dan 7 bulan. Duduk di sebelah katil ICU dengan memegang tangan isteri yang perlahan-lahan pergi meninggalkan bukanlah satu pengalaman yang ingin dikenang. Setahun anak-anak aku ambil masa untuk faham dengan jelas tentang kematian ibu mereka. Anak sulung aku ambil masa 2 tahun untuk mula menangis melepas beban rindu pada ibunya. It is tough.
Jadi, yang masih berpasangan, ciptalah momen-momen bahagia dengan keluarga kecil anda. Banyakkanlah kenangan yang bahagia berbanding yang pahit dan duka. Banyakkanlah masa bersama keluarga. Lepak mamak dengan kawan bukanlah prioriti yang utama. Rakamlah dengan kemas segala memori dalam bentuk gambar dan video. Ambillah setiap hari pun tak apa, ambillah setiap detik pun tak apa dan simpanlah sebaiknya.
Kerana di hari-hari awal kehilangan, itulah sumber yang kau ada untuk melepas rindu kepada senyum dan suara yang pernah membahagiakan hidup kau. Yang berselisih faham, duduklah dan lakarlah kembali jalan kehidupan kalian berdua. Hidup terlalu singkat untuk bergaduh dan bermasam muka. Sempena tahun baru Hijrah ini, rapatkanlah hubungan yang telah renggang, jalinkan semula kasih yang kusut, semaikanlah kembali perasan kasih dan cinta.
Tiada apa yang buat kau bahagia bilamana salah seorang pergi meninggalkan dengan penuh kenangan yang manis. Tiada yang lebih bahagia apabila kotak kenangan penuh dengan yang memori yang indah. Memori yang boleh dijadikan sebagai peneman dalam menghitung hari-hari yang sangat panjang…Untuk kembali bersama. Salam Maal Hijrah dan Selamat Tahun Baru.
Sumber: Khairul Abdullah, 2