Bila sebut mengenai tempat menarik yang ada di Korea je mesti ramai antara kita terbayangkan kepesatan kota raya di Seoul atau perkampungan masyarakat di Busan. Sebenarnya, Pulau Jeju antara destinasi wajib yang perlu anda terokai jika ingin terbang ke negara Korea Selatan itu.
Anda berpeluang untuk menikmati keindahan alam semulajadi dengan melihat panorama lautan dari atas bukit dan banyak aktiviti yang boleh anda lakukan bersama kawan-kawan di sana. Kali ini kami kongsikan 6 destinasi yang menarik sepanjang kami ‘makan angin’ di Jeju-si!
Jeju Olle Trail
Jeju Olle Trail sangat sesuai buat anda yang mementingkan kecerdasan fizikal dan stamina diri. Disinilah tempatnya untuk anda berpeluh sambil menikmati keindahan alam semulajadi ciptaan-Nya. Air laut membiru dan pokok daun menghijau sebagai peneman untuk anda berjalan mengelilingi Pulau Jeju ini.
Untuk pengetahuan anda, Jeju Olle Trail ini terdapat 26 stesen untuk anda tamatkan misi mengelilingi pulau tersebut dengan 425km keseluruhannya. Ramai pelancong tidak kira dari dalam atau luar negara mengambil kesempatan ini untuk hiking dan menamatkan misi Jeju Olle Trail.
Tambahan, menurut informasi yang diberikan, 425km mengelilingi Pulau Jeju ini mengambil masa paling cepat adalah sebulan dengan hanya berjalan kaki sahaja. Jadi, untuk anda yang gemarkan aktiviti hiking sebegini, perlulah cuba!
Saebyeol Oreum
Rata-rata rakyat Korea gemar melakukan aktiviti mencabar dengan berjalan menaiki bukit di Saebyeol Oreum ini. Jika anda sudah tiba di puncak Saebyeol Oreum, wajib untuk anda menikmati udara segar Jeju sambil menikmati fenomena matahari terbenam pada waktu petang.
Ramai yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar setibanya di puncak Saebyeol atau bergambar di dedaun lalang yang tinggi di sepanjang lereng anak bukit. Lebih menarik lagi, di sini juga terdapat perkhidmatan Drone Truck untuk anda merakam video atau foto moment sepanjang anda mendaki hingga ke puncak Saebyeol Oreum.
Destinasi ini juga mencabar dan sesuai untuk anda yang gemarkan hiking. Jangan lupa masukkan dalam list percutian anda ye!
Drone Park
Anda pernah ‘control‘ drone? Jangan risau, sebab di Drone Park ini anda berpeluang untuk belajar dan terbangkan sendiri drone di kawasan indoor mahupun outdoor. Bagi permulaan, anda akan diberi info ringkas cara-cara untuk mengendalikan drone dan bermain di dalam sangkar yang dibuat khas buat beginner.
Jika anda mula mahir dan yakin, tiada masalah untuk terbangkan drone di outdoor tetapi keadaan agak berlainan sedikit. Di mana situasi outdoor lebih sukar berbanding kawal drone indoor disebabkan faktor kelajuan angin.
Bateri yang terdapat pada setiap drone hanya mampu bertahan selama 3 hingga 5 minit saja. Kemudian, drone akan jatuh ke tanah dengan sendiri. Tetapi anda tidak perlu risau sebabnya akan ada staf yang akan sentiasa membantu dan memberi tunjuk ajar kepada kita.
9.81 Park (Gravity Racing)
Kalau anda sejenis kaki racing dan inginkan pengalaman yang lain dari yang lain, anda perlu cuba memandu go-cart di 9.81 Park (gravity racing) ini. Kenderaan mini pacuan empat roda ini dikawal sendiri graviti dari bawah tanah tanpa anda kawal stereng.
Sebelum memulakan aktiviti ini, anda dinasihatkan untuk install apps 9.81 Park di telefon terlebih dahulu. Sebabnya, pemanduan anda di dalam track akan dirakam go-pro dan kelajuan kenderaan yang dipandu turut dicatatkan masa menerusi apps tersebut.
Dolphin Watching Tour & Fishing
Rasai pengalaman terbaru dengan menyaksikan ikan lumba-lumba di lautan biru. Di Dongril-Ri Port anda perlu menaiki speed boat untuk ke pinggir lautan bagi menyaksikan dengan mata sendiri beberapa ekor ikan lumba-lumba menghampiri anda. Info menarik, anda digalakkan membuat bising dengan memanggil haiwan tersebut. Ini kerana haiwan itu mampu berinteraksi dengan gelombang suara manusia dari dasar laut.
Sementara itu, anda juga berpeluang untuk merasai pengalaman memancing menggunakan batang buluh sambil melihat keindahan air jernih.
Kayak di Pantai Woljeongri
Pantai Woljeongri antara salah satu tarikan pelancong yang wajib anda datang ke sini! Sampan yang disediakan adalah lut sinar dan anda boleh lihat pasir dan batu-batu yang jernih. Kami sangat kagum dengan keindahan dan kebersihan di Pulau Jeju ini. Sepanjang berjalan di tepian pantai ini, tidak sama sekali terlihat sampah-sarap yang bertaburan di atas jalanan. Memang bersih!
Pendek kata, Pulau Jeju memang sesuai buat anda yang inginkan ketenangan dan lari dari kesibukan ibu kota. Tak salah kalau sekali-sekala makan angin di negara orang lain dan menikmati panorama yang jarang ada di Malaysia. Semua aktiviti dan destinasi yang telah kami pergi ini, sangat sesuai buat anda bawa anak-anak atau berbulan madu.
Perjalanan kami ini dibawakan khas oleh Jeju Tourism Organization. Jika anda mahukan lebih info mengenai tempat-tempat menarik di Korea, boleh terus hubungi mereka di website Jeju Tourism Organization atau visitkorea.com.