“Alamak..risaunya si kecil ni dah banyak hari batuk dan selesema..”
Anak kecil memang senang untuk dijangkiti demam, batuk atau selesema kerana sistem pertahanan badan mereka masih belum begitu kuat untuk lindung diri mereka sendiri dari segala bakteria. Tapi, ia boleh menjadi serius apabila mereka tidak kembali pulih untuk jangka masa tertentu serta mengalami masalah sesak nafas, tak berselera makan atau minum dan sebagainya. Ini kerana, masalah tersebut merupakan tanda-tanda anak diserang penyakit ‘krup’. Oleh itu, ibu ini telah kongsi pengalaman anaknya dijangkiti penyakit ‘krup’ supaya ibu bapa ambil langkah lebih berjaga-jaga.
BATUK TAK HENTI-HENTI
Pukul 12.20minit malam.. Bekejar suami bawa Murrabbi ke kecemasan..”Cepat..cepat..ambik jer pempers tu.” Arahan suami buat saya makin ketar sebenarnya. Dengar pulak batuk Murabbi yang non-stop. Muka Murabbi dah nampak lain sangat. Dengan batuk dan batuk.. Nampak dia gelisah dan nak menangis. Saya ambik dan dukung Murabbi.
“Jangan nangis..tak pe umi ada..” saya peluk dia sambil gosok-gosok belakang dia yang masih batuk. Sebabkan tengah malam kereta kurang,Alhamdulillah rumah dekat HSNZ sekejap saja sampai. Melihat pada Murabbi yang dah nampak sukar bernafas.. Murabbi di masukkan ke zon Kritikal.. Allahuakhbar.. Takut dan cemas hanya Allah yang tahu.. Murrabi tak demam hanya batuk dan baru nak selsema.
SALURAN PERNAFASAN MAKIN SEMPIT
“Anak kene tahan wad ni.. Doc kata dia kene croup (krup).” Dalam hati saya apa benda pulak tu? Saluran pernafasan dia makin sempit.. Boleh tertutup saluran pernafasan.. Kita ni bernasib baik sebab cepat”
Masa ni nafas saya pula rasa tersekat.. Ya lah kita ni ibu,boleh rasa anak kita tu macam mana.. Waktu Murabbi batuk tu saya tak reti nak gambarkan macam mana kesusahan dia nak bernafas.. Ni sedikit info saya nak kongsi mengenai Croup @ krup:
Krup adalah salah satu jangkitan pernafasan yang biasa dialami oleh kanak-kanak dan bayi.
APAKAH PENYAKIT KRUP?
Krup adalah sejenis jangkitan pernafasan yang paling biasa berlaku di kalangan kanak-kanak. Ia boleh menyebabkan kotak suara (larinks) dan saluran pernafasan kanak-kanak itu membengkak hingga menghadapi masalah untuk bernafas. Cara paling SENANG untuk mengenalpasti kemungkinan penyakit krup adalah dengan mendengar bunyi batuk kanak-kanak yang berbunyi seperti anjing menyalak (barking).
Batuk jenis ini selalu menyerang kanak-kanak dalam lingkungan 6 bulan – 3 tahun. Selain itu, Persatuan Pediatrik Malaysia mendapati hampir 70% daripada mereka yang pernah dimasukkan ke dalam wad kerana penyakit krup adalah kanak-kanak lelaki. Walaupun sangat jarang, penyakit ini juga boleh menyerang kanak-kanak yang lebih tua.
PENYEBAB PENYAKIT KRUP?
Kanak-kanak selalu terkena penyakit krup selepas menghidap flu, kerana kedua-duanya muncul dari virus yang sama. Kebanyakkan kes-kes krup disebabkan oleh virus parainfluenza jenis 1, 2 dan 3 sementara kes-kes krup yang lain disebabkan oleh virus campak, virus respiratori sinsitial, adenovirus dan virus influenza jenis A dan B. Selain jangkitan virus, jangkitan bakteria juga boleh menjadi punca serta keadaan-keadaan di bawah:
-Alahan
-Asid refluks
-Pencemaran seperti asap rokok dan jerebu
-Penyakit krup boleh berjangkit. Kuman yang menyebabkannya boleh berjangkit antara satu sama lain melalui batuk, bersin, mahupun sentuhan fizikal yang sangat dekat.
TANDA-TANDA PENYAKIT
Pesakit akan mengalami gejala seperti batuk dan selesema sehari dua sebelum mulanya stridor. Stridor adalah bunyi berdehit semasa menyedut udara disebabkan oleh halangan dalam larinks dan trakea. Batuk krup juga disertai dengan suara yang serak. Bunyi stridor lebih ketara pada waktu malam. Kepada pemerhati yang kurang pengalaman, pengurangan stridor mungkin nampak seperti kanak-kanak itu semakin pulih, tapi sebenarnya keadaan bertambah teruk.
Antara tanda-tanda ia makin teruk adalah:
-Air liur meleleh
-Kesukaran menelan, terutamanya untuk kanak-kanak kecil
-Rasa cemas, gelisah dan penat
-Bernafas pada kadar lebih cepat daripada biasa
-Sesak nafas
-Menjadi biru di sekitar mulut, hidung atau kuku (sianosis, tanda oksigen rendah).
Jika saluran pernafasan bertambah sempit dan keadaan bertambah serius, penukaran gas di paru-paru akan terjejas dan mereka akan kekurangan oksigen lalu ada terlalu banyak karbon dioksida dalam badan. Ini akan menyebabkan mereka menjadi gelisah dan senang keliru.
BAGAIMANA UNTUK MENGELAK PENYAKIT KRUP?
Selalu cuci tangan untuk menjauhkan diri dari virus dan bakteria yang tidak diingini. Di samping itu, ajar anak anda untuk mengehadkan hubungan fizikal dengan orang lain bagi mengelakkan penyebaran penyebab virus. Kanak-kanak yang senang terdedah kepada penyakit ini mempunyai paru-paru dan tekak yang masih kecil.
Segera bawa bayi anda berjumpa pakar, kerana doktor GP biasa mungkin tidak mempunyai kepakaran untuk mengesan penyakit krup. Cuba baca kisah baru-baru ini tentang Reuben dari Newcastle, di mana seorang doktor telah mendiagnosis penyakit krupnya sebagai batuk bahagian atas dada. Tapi disebabkan tidak percaya dan naluri ibu bapanya yang kuat, mereka telah membawa Reuben ke hospital di mana keadaannya berubah menjadi lebih teruk.
Apakah tip untuk ibu bapa bagi mengatasi penyakit ini? Di bawah adalah beberapa tip yang boleh dilakukan oleh ibu bapa di rumah supaya bayi anda rasa lebih selesa:
-Cuba tenangkan anak anda dengan memberi pelukan & ciuman.
Dukung atau dudukkan anak secara tegak boleh membantu dia rasa selesa dan lebih mudah bernafas.
-Jangan biar dia menangis lama-lama kerana ini boleh menjejaskan saluran pernafasannya dan anak akan lebih sukar untuk bernafas.
-Terapi humidifikasi, juga dikenali sebagai terapi wap, untuk membantu mengurangkan kekeringan udara di bilik.
-Jika gejala krup muncul pada tengah malam, ibu bapa harus pantau keadaan anak sehingga pagi.
-Pastikan bayi tidak dehidrasi.
-Naikkan kepala bayi. Guna bantal tambahan apabila dia tidur pada waktu malam. Tapi jangan guna bantal untuk bayi di bawah 1 tahun. Tidur bersama anak supaya ibu bapa akan tahu dengan segera kalau anak mempunyai masalah pernafasan.
»Kanak-kanak akan batuk Krup selama 3 – 7 hari. Tetapi batuk ini boleh bertahan sehingga 2 minggu.
BOLEHKAH KRUP MENIMBULKAN KOMPLIKASI?
Krup jarang mendatangkan komplikasi dan ia sebenarnya boleh dirawat di rumah. Krup merupakan penyakit yang boleh membawa maut, kerana bakteria Difteria. Segera hubungi ambulans atau bawa terus ke bilik kecemasan hospital jika kanak-kanak mengalami gejala seperti:
-Stridor yang bertambah teruk
-Sesak nafas
-Kelihatan lebih gelisah dan kelir, pucat
-Sianosis dan apnea
-Demam yang kuat (melebihi 39ºC dan kelihatan toksik)
-Kesusahan minum dan makan