Famili

“Mak! Su Dah Balik”- Keluarga Rahsiakan Kematian Ibu Kerana ‘Final Exam’, Gadis Kini Skizofrenia

rahsiakan kematian

Bukan mudah untuk menerima berita kehilangan insan tersayang, apatah lagi apabila individu yang paling rapat dalam hidup pergi buat selama-lamanya. Lebih memilukan, keputusan keluarga untuk rahsiakan kematian seorang wanita ketika anaknya sedang menduduki peperiksaan akhir pengajian meninggalkan kesan mendalam kepada pelajar berusia 19 tahun itu.

Baca juga: “Dua Anak Nyawa-Nyawa Ikan, Saya Lihat Depan Mata” – Bapa Pilu Bila Terkenang…

KELUARGA RAHSIAKAN KEMATIAN IBU, PELAJAR KINI SKIZOFRENIA

rahsiakan kematian

Gambar hiasan: Gemini AI

Kisah menyayat hati tersebut dikongsikan oleh Prof MAS Positive atau Aziz Shah Positif menerusi hantaran di Facebook yang menceritakan pengalaman seorang pesakit wanita ketika mendapatkan rawatan di wad psikiatri.

Abang dan kakak tidak mahu ganggu peperiksaan akhir adik

Menerusi perkongsian berkenaan, pelajar asasi sains itu merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan sangat rapat dengan ibunya selepas bapanya meninggal dunia. Bagaimanapun, ketika dia sedang menduduki peperiksaan akhir, ibunya dilaporkan meninggal dunia secara mengejut akibat masalah jantung.

Abang dan kakaknya kemudian mengambil keputusan untuk tidak memaklumkan berita duka tersebut kerana tidak mahu mengganggu tumpuan adik mereka menghadapi peperiksaan.

Sepanjang tempoh itu, pelajar berkenaan masih menghubungi ibunya melalui telefon. Namun, setiap kali bertanya mengenai keberadaan wanita tersebut, ahli keluarga memberikan pelbagai alasan seperti ibunya sedang solat, mandi atau berkunjung ke rumah jiran.

Dua hari selepas pemergian ibunya, pelajar tersebut akhirnya selesai menduduki peperiksaan dan abangnya datang mengambilnya dari kolej untuk pulang ke kampung.

‘Makkk! Su dah balik’, ibu tidak menyahut panggilan…

Sebaik tiba di rumah, gadis itu terus memanggil ibunya kerana menyangka wanita berkenaan masih berada di rumah.

“Makkk! Su dah balik,” katanya sambil mencari ibunya di beberapa ruang termasuk bilik tidur, dapur dan belakang rumah. Namun, tiada sebarang sahutan diterima.

Abangnya kemudian membawa pelajar tersebut ke tanah perkuburan sebelum menunjukkan sebuah pusara dan memberitahu bahawa itulah tempat ibu mereka disemadikan.

“Adik… ini kubur mak kita, mak dah meninggal dua hari lepas,” kata abangnya seperti diceritakan dalam perkongsian tersebut.

Terkejut mendengar berita itu, pelajar berkenaan hanya mampu terdiam sebelum menangis apabila mengetahui ibunya sudah tiada.

rahsiakan kematian

Gambar hiasan: Gemini AI

Mula menyendiri dan alami masalah kesihatan mental

Menurut perkongsian Prof MAS Positive, kejadian tersebut memberi kesan mendalam kepada keadaan emosi pelajar berkenaan. Selepas mengetahui berita pemergian ibunya, dia dilaporkan mula menyendiri, kerap menangis dan bercakap seorang diri.

Keadaannya turut melibatkan halusinasi sebelum akhirnya dimasukkan ke wad psikiatri kerana mengalami kemurungan dan skizofrenia, berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh individu berkenaan.

Kisah tersebut turut mengundang pelbagai reaksi warga maya yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib pelajar berkenaan. Ada yang berpendapat berita kematian ibu sepatutnya disampaikan lebih awal supaya anak itu berpeluang menatap wajah insan tersayang buat kali terakhir.

Antara komen yang ditinggalkan,

“Peperiksaan dunia boleh diulang. Tidak lulus pun tidak mengapa. Emak itu boleh jumpa balik ke? Apa punya pemikiran… Kesian adik ini, hilang ibu dan hilang kepercayaan. Semoga ada harapan untuk sembuh.”

Seorang lagi pengguna turut meluahkan rasa terkilan dengan keputusan ahli keluarga tersebut.

“Patut beritahu masa ibu meninggal. Biarlah adik itu balik untuk menatap arwah ibunya buat kali akhir.”

Kisah ini mengingatkan kita bahawa setiap individu mempunyai cara berbeza untuk menghadapi kehilangan insan tersayang. Dalam situasi sebegini, kejujuran, sokongan emosi dan perhatian daripada keluarga amat penting agar seseorang tidak perlu melalui saat sukar itu seorang diri.

Sumber: Facebook Prof MAS Positive

FT Image: Gemini AI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×