Hati mana yang tidak sebak melihat seorang anak kecil yang masih belum mengerti erti kehilangan.
Menerusi rakaman video yang tular, kanak-kanak lelaki itu dilihat mengetuk keranda sambil memanggil “Mummy, mummy”, seolah-olah mengharapkan ibu menyahut panggilannya. Lebih menyayat hati, si kecil itu turut bermain cak-cak dan menjenguk ke bahagian bawah keranda.
SAYU ANAK KECIL MENGELILINGI KERANDA, CARI IBU DAH MENINGGAL DUNIA

Tangkap layar video tular.
Anak kecil ketuk keranda sambil panggil mummy
Menerusi hantaran Threads @nabilashahida, pemilik akaun itu meluahkan rasa sedih melihat gelagat kanak-kanak berkenaan yang masih belum memahami pemergian ibunya.
“Dia belum faham, yang dia tahu cuma mummy dia ada dekat dalam itu tapi dia tak tau yang mummy dia takkan jaga dia lagi. Dia siap main cak lagi bagi mummy dia terkejut. Allahu sedihnya,” kongsinya.
Dalam rakaman tersebut, kanak-kanak itu dilihat berulang kali mengetuk keranda sambil memanggil ibunya. Dia turut mengelilingi keranda dan menjenguk ke bahagian bawahnya, seolah-olah masih mahu berinteraksi dengan insan tersayang itu.
Gelagat polos tersebut mengundang rasa pilu kerana si kecil itu masih belum memahami sepenuhnya bahawa ibunya sudah meninggal dunia dan tidak akan kembali seperti dahulu.
Bekas guru KAFA meninggal dunia akibat kanser

Wanita yang meninggal dunia itu dikenali sebagai Allahyarhamah Ustazah Azwani Ahmad, bekas guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sekolah Rendah Islam At-Takwa, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Menerusi hantaran Facebook, KAFA Pulau Pinang turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarhamah yang banyak berjasa dalam mendidik anak bangsa.
“Keluarga besar KAFA Pulau Pinang baru sahaja menerima berita duka pemergian seorang guru KAFA, Ustazah Azwani binti Ahmad dari Sekolah Rendah Islam At-Taqwa yang banyak menabur bakti dalam mendidik anak bangsa di negeri ini,” tulisnya.
Pihak KAFA Pulau Pinang turut mendoakan agar Allahyarhamah mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah, diampunkan dosa-dosanya dan digolongkan dalam kalangan orang yang beriman serta dikurniakan syurgaNya. Amin.
“Salam takziah daripada seluruh Warga KAFA Pulau Pinang. Al-Fatihah,” tulisnya lagi.
Pemergian seorang ibu pastinya meninggalkan kehilangan besar buat keluarga, terutama anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang dan bimbingannya. Semoga keluarga Allahyarhamah diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.
Sumber: Threads @nabilashahida / Facebook KAFA Penang
