Kesedihan keluarga Allahyarhamah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, turut dirasai Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah apabila Seri Paduka Baginda berkenan menziarahi keluarga pelajar berkenaan di Kampung Selamat, Yong Peng, hari ini.
Baca juga: “Sempat Ajar Mengucap, Penuh Dar*h”- Kronologi Kes Irine Sofiya, Apa Yang Berlaku Setakat Ini
RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT MENZIARAHI KELUARGA ARWAH IRENE SOFIYA

Foto ihsan Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar: Raja Zarith Sofiah (kanan) menitiskan air mata ketika mencemar duli menziarahi keluarga Irene Sofiya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, Batu Pahat hari ini.
Dalam foto pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu, Seri Paduka Baginda dilihat sebak hingga menitiskan air mata ketika bertemu keluarga Irene Sofiya.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda pada kira-kira jam 9 pagi turut diiringi Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Pertemuan dimulakan dengan bacaan Yasin dan tahlil

Foto ihsan Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Suasana pertemuan bersama keluarga arwah dimulakan dengan bacaan surah Yasin dan tahlil yang dipimpin Kadi Daerah Batu Pahat, Mohd Fauzi Bachok.
Raja Zarith Sofiah kemudiannya berkenan meluangkan masa bertemu bapa Irene, Mohd Khairool Faisal Khyar, 42, neneknya, Jameyah Rabani serta ahli keluarga yang lain.
Dalam kesempatan itu, Seri Paduka Baginda turut mengurniakan sumbangan peribadi kepada keluarga berkenaan sebagai tanda keprihatinan bagi membantu meringankan beban mereka.
Seri Paduka Baginda turut menitipkan doa serta kata-kata semangat agar keluarga Irene Sofiya terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan selepas kehilangan insan tersayang.
Momen tersebut dikongsikan menerusi hantaran Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di media sosial hari ini.
Pelajar Tingkatan 4 ditemukan maut di dewan sekolah

Foto ihsan Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sebelum ini, Irene Sofiya yang juga pelajar Tingkatan Empat dilaporkan ditemukan tidak sedarkan diri dengan kecederaan parah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng pada petang Sabtu.
Pelajar berusia 16 tahun itu kemudiannya disahkan meninggal dunia.
Susulan kejadian tersebut, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perkembangan terbaharu sebelum ini, polis mengesahkan Irene Sofiya meninggal dunia akibat trauma tumpul di bahagian kepala berdasarkan hasil bedah siasat.
Siasatan kes masih dijalankan dan polis memberi jaminan bahawa proses berkenaan dilakukan secara menyeluruh, telus serta profesional.
Dalam masa sama, orang ramai diminta supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menambah kesedihan keluarga arwah.
