Sihat

Orang Nampak Lebih RM12 Juta Untuk Hanan Qaireen, Di Sebaliknya Tiada Nilai Mampu Ganti Kesihatan Seorang Anak

RM 12 juta

Angka RM 12 juta mungkin kelihatan sangat besar apabila dibaca sepintas lalu. Namun, di sebalik pampasan RM12.19 juta yang dianugerahkan kepada Hanan Qaireen Mohd Sukri, tersimpan kisah seorang kanak-kanak yang sejak lahir memerlukan penjagaan dan sokongan untuk menjalani kehidupan sehari-hari.

Baca juga: Kesihatan Kian Merosot, Doktor Maklumkan Jangka Hayat Rayyan Hidap 9 Penyakit Tidak Lama…

KISAH DI SEBALIK PAMPASAN LEBIH 12 JUTA UNTUK HANAN QAIREEN

RM 12 juta

Gambar Sinar Harian: Hanan Qaireen (dua kanan) dan Noraishah ketika di Mahkamah Tinggi Melaka pada Jumaat.

Hanan kini berusia lapan tahun dan mengalami kecederaan otak serius ketika proses kelahirannya di Hospital Melaka pada 2018.

Pada 2 Oktober 2026, Mahkamah Tinggi Ayer Keroh menganugerahkan pampasan keseluruhan sebanyak RM12,185,442.86 kepada Hanan selepas kes tuntutan kecuaian perubatan yang difailkan menerusi bapanya sebagai wakil litigasi.

Namun, jumlah tersebut bukan sekadar angka yang diberikan kepada sebuah keluarga.

Sebahagian besar pampasan itu adalah bagi menampung keperluan Hanan pada masa hadapan, termasuk rawatan, rehabilitasi, peralatan bantuan serta penjagaan yang mungkin diperlukan untuk tempoh berpuluh-puluh tahun.

Hanan lahir selepas kehamilan yang dinanti tujuh tahun

Hanan dilahirkan pada 18 Februari 2018 selepas kehamilan ibunya yang secara umumnya berjalan baik, selain mengalami diabetes semasa hamil yang dikawal melalui pemakanan.

Kelahirannya juga cukup dinanti-nantikan kerana Hanan merupakan cahaya mata yang hadir selepas tujuh tahun penantian.

Namun, keadaan berubah ketika proses kelahiran apabila Hanan dilaporkan mengalami masalah degupan jantung dan kekurangan oksigen sebelum dilahirkan melalui pembedahan. Ketika lahir, keadaannya sangat lemah dan dia tidak mampu bernafas sendiri.

Skor APGAR Hanan dilaporkan hanya 1 pada minit pertama, 3 pada minit kelima dan 4 pada minit ke-10. Dia kemudiannya memerlukan intubasi sebelum dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal.

Pemeriksaan lanjut mendapati Hanan mengalami kecederaan otak serius. Dia kemudiannya didiagnosis dengan Cerebral Palsy Spastik Kuadriplegia, iaitu keadaan yang menjejaskan pergerakan keempat-empat anggota badannya.

Selain itu, Hanan turut berdepan sawan, scoliosis dan kesukaran bertutur.

Keadaan tersebut menyebabkan dia memerlukan pelbagai bentuk rawatan, terapi serta peralatan bantuan seperti AFO, standing frame, reverse walker dan kerusi roda.

Hampir RM 11 juta untuk keperluan Hanan pada masa depan

RM 12 juta

Gambar Sinar Harian: Hanan Qaireen disamping keluarga dan barisan peguam di Mahkamah Tinggi Melaka pada Jumaat.

Perjalanan keluarga Hanan mendapatkan pembelaan melalui proses undang-undang bermula apabila saman kecuaian perubatan difailkan pada 30 Oktober 2023.

Hanan diwakili bapanya sebagai wakil litigasi dalam tuntutan yang pada asalnya melibatkan Kerajaan Malaysia, Pengarah Hospital Melaka serta beberapa anggota perubatan.

Namun, pada hari terakhir perbicaraan, 16 Jun 2026, Kerajaan Malaysia mengakui liabiliti. Selepas pengakuan itu, tuntutan terhadap defendan-defendan individu ditarik balik.

Perhatian kemudiannya tertumpu kepada jumlah pampasan yang diperlukan bagi memastikan keperluan Hanan dapat dipenuhi untuk jangka panjang. Kes tersebut melalui perbicaraan selama enam hari.

Pada 2 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Ayer Keroh akhirnya menganugerahkan jumlah keseluruhan RM12,185,442.86. Daripada jumlah itu, sekitar RM10.77 juta diperuntukkan bagi keperluan dan perbelanjaan masa hadapan.

Mahkamah turut memberikan ganti rugi am, ganti rugi khas dan ganti rugi teruk, selain perintah berkaitan kos serta faedah.

Jumlah tersebut dijangka membantu Hanan mendapatkan penjagaan yang diperlukan sepanjang perjalanan hidupnya, termasuk fisioterapi dan rehabilitasi berterusan, rawatan perubatan, peralatan bantuan, kerusi roda serta sokongan daripada pelbagai disiplin kesihatan.

Bukan soal wang, tetapi kehidupan seorang anak

Apabila melihat angka RM12.19 juta, mudah untuk membayangkan jumlah tersebut sebagai pampasan yang sangat besar. Tetapi dalam kes Hanan, wang itu bukan hadiah atau sesuatu yang boleh menggantikan keadaan yang telah dilaluinya.

Tiada ibu bapa yang mengharapkan sejumlah wang sebagai pertukaran kepada kesihatan anak. Sebaliknya, pampasan itu diperlukan bagi membantu memastikan Hanan mendapat rawatan, rehabilitasi, peralatan dan penjagaan yang bersesuaian dengan keperluannya untuk tahun-tahun mendatang.

Perjalanan Hanan yang baru berusia lapan tahun masih panjang dan keperluannya juga akan berubah mengikut perkembangan usia serta keadaan kesihatannya.

Justeru, kisah ini mungkin lebih wajar dibaca dengan rasa empati, bukannya semata-mata melihat angka yang tertera dalam keputusan mahkamah.

Empati kepada Hanan yang perlu menjalani kehidupan dengan keperluan penjagaan yang besar sejak kecil.

Empati juga kepada ibu bapanya yang selama lapan tahun membesarkan dan menjaga anak dengan keperluan yang kompleks, sambil terus berusaha mendapatkan apa yang terbaik untuknya.

Pada masa sama, kisah ini turut mengingatkan kita tentang persekitaran kerja petugas kesihatan yang sememangnya kompleks. Setiap hari, mereka perlu membuat keputusan penting dalam situasi klinikal yang boleh berubah dalam tempoh beberapa minit.

Di sebalik setiap sesi terapi, peralatan bantuan dan rawatan susulan, ada ibu bapa yang perlu terus memberikan masa, tenaga dan perhatian kepada anak mereka.

Semoga pampasan yang dianugerahkan itu dapat digunakan sebaiknya untuk memastikan Hanan menerima segala keperluan yang diperlukan sepanjang kehidupannya.

Dan paling utama, semoga Hanan terus membesar dalam lingkungan keluarga yang penuh kasih sayang serta sokongan, tanpa pernah berasa dirinya berjuang seorang diri.

Sumber: Facebook Public Health Malaysia

FT Image: Sinar Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×