Nama Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, pelajar Tingkatan Empat yang ditemukan maut di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, turut dikaitkan dengan pelbagai cerita yang tersebar di media sosial selepas kejadian itu, termasuk kononnya Allahyarhamah diseret dari surau ke dewan sekolah.
Namun, Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan perkara berkenaan tidak benar, selain menafikan cerita mengenai cermin yang dikatakan pecah di surau dan dikaitkan dengan kejadian tersebut.
Baca juga: “Sempat Ajar Mengucap, Penuh Dar*h”- Kronologi Kes Irine Sofiya, Apa Yang Berlaku Setakat Ini
KPM NAFI DAKWAAN IRENE SOFIYA DISERET

Gambar BERNAMA: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Terbaharu, punca kematian pelajar berusia 16 tahun itu kini disahkan sebagai kecederaan trauma tumpul di bahagian kepala berdasarkan hasil bedah siasat.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, menerusi kenyataan berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan.
Menurut beliau, hasil tersebut diperoleh selepas proses bedah siasat dijalankan Pakar Patologi Forensik di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, semalam.
Susulan perkembangan itu, PDRM memberi jaminan bahawa siasatan kes berkenaan dijalankan secara terperinci dan menyeluruh tanpa sebarang usaha menyembunyikan fakta daripada masyarakat.
“PDRM turut memberi jaminan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen ‘cover-up’ atau melindungi mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
M Kumar berkata, siasatan ketika ini berjalan lancar dengan kerjasama penuh daripada pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Hentikan sebar berita palsu
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, orang ramai perlu lebih berhati-hati sebelum berkongsi sebarang maklumat, lebih-lebih lagi ketika siasatan polis masih berjalan.
“Jadi, ini semua tidak benar. Saya minta semua pihak berhati-hati sebelum berkongsi sesuatu.
“Kita sedang bercakap mengenai seorang anak yang sudah meninggal dunia, sebuah keluarga yang sedang berduka dan beberapa orang murid bawah umur yang sedang melalui proses siasatan.
“Jadi jangan kita menambah luka dengan spekulasi,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Menurut beliau, kes berkenaan kini disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk melibatkan beberapa pelajar yang telah ditahan.
Seorang pelajar Tingkatan Empat sebelum ini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala dua lagi pelajar turut ditahan untuk siasatan.
“Saya tidak mahu mendahului siasatan PDRM, dan tidak boleh menjatuhkan hukuman di luar proses undang-undang.
Dewan tempat Irene ditemukan tiada CCTV
Dalam pada itu, KPM mengesahkan dewan sekolah yang menjadi lokasi Irene ditemukan maut tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).
Bagaimanapun, pihak sekolah sebenarnya mempunyai kemudahan CCTV di beberapa lokasi lain. Fadhlina berkata, perkara itu menjadi antara aspek yang sedang diteliti selepas kejadian berkenaan.
“Jadi, kita sedang tambah baik, kita ambil tindakan terus.
“Sebab itu, selain daripada fasa (menambah kemudahan CCTV), mana-mana sekolah yang sudah pun mempunyai CCTV dan CCTV itu tidak berfungsi atau rosak, sila maklumkan kepada kita untuk kita sama-sama tambah baik dan ambil tindakan supaya ia berfungsi untuk merakam serta merekodkan kejadian di sekolah,” katanya.
Menurutnya, KPM sebelum ini sudah melaksanakan beberapa fasa pemasangan CCTV di institusi pendidikan.
Fasa pertama melibatkan peruntukan RM3 juta dan selesai pada November 2025, manakala fasa kedua bernilai RM5 juta membabitkan 333 sekolah berasrama dan selesai pada September 2026.
Bagi fasa ketiga yang akan dilaksanakan tahun depan, sebanyak RM15 juta diperuntukkan untuk pemasangan CCTV di 1,000 sekolah.
“Ramai meminta KPM memasang lebih banyak CCTV di sekolah, seolah-olah kemudahan ini belum pernah dilaksanakan. Seperti yang saya nyatakan, ia akan terus diperluas pada tahun hadapan.
“KPM juga sudah mengarahkan pemeriksaan dan pembaikan serta penggantian unit yang rosak,” katanya.
Bagaimanapun, Fadhlina menjelaskan pemasangan CCTV semata-mata bukan penyelesaian menyeluruh kepada isu keselamatan di sekolah.
Menurutnya, aspek lain seperti kawalan keluar masuk, rondaan keselamatan, pematuhan prosedur operasi standard (SOP), disiplin dan kesedaran warga sekolah turut memainkan peranan penting.
Beliau turut mengalu-alukan sekiranya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti atau pihak korporat mahu membantu menambah baik kemudahan keselamatan di sekolah, tertakluk kepada keperluan keselamatan yang ditetapkan.
“Ini tidak bermaksud tanggungjawab dipindahkan kepada orang lain. Kerajaan akan terus melaksanakan tanggungjawabnya tetapi jika ada pihak yang mahu bersama-sama membantu meningkatkan keselamatan anak-anak, kita amat alu-alukan,” katanya.
KPM teliti keselamatan dan kebajikan warga sekolah

Foto Danish Roseni (NSTP): Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan Parit Haji Arshad, Batu Pahat ketika pengebumian jenazah Irene Sofiya.
Fadhlina memaklumkan, pasukan sokongan psikososial KPM juga sudah digerakkan bagi membantu keluarga mangsa, rakan, murid dan warga sekolah yang terkesan.
“Pegawai psikologi dan kaunselor akan terus bersama mereka mengikut keperluan. Kita perlu faham bahawa kesan kejadian tidak berakhir apabila perhatian media berakhir.
“Ada anak-anak dan warga sekolah memerlukan masa dan sokongan untuk kembali menjalani rutin mereka,” katanya.
Pada masa sama, aspek pengurusan syarikat keselamatan di sekolah berkenaan turut sedang disemak, termasuk rekod rondaan dan pelaksanaan tugas pada hari kejadian.
KPM memaklumkan syarikat keselamatan mempunyai tanggungjawab kontrak berkaitan kawalan keluar masuk, rondaan serta pematuhan SOP dan jadual yang ditetapkan.
Sekiranya terdapat pelanggaran syarat kontrak, tindakan seperti notis ketidakpatuhan, tindakan kewangan atau penamatan kontrak boleh diambil mengikut terma yang ditetapkan.
Irena Sofiya pelajar cemerlang
Dalam perkembangan sama, pihak sekolah memaklumkan Irene merupakan seorang pelajar cemerlang dan tidak mempunyai masalah disiplin. Dia juga dikenali sebagai murid yang disenangi guru serta rakan-rakan.
“Kehilangan ini tentunya sangat dirasai, bukan sahaja oleh keluarga tetapi seluruh warga sekolah yang mengenali beliau,” katanya.
Irene juga merupakan anak tunggal dan sebelum ini kehilangan ibunya akibat kanser hati ketika berusia sembilan tahun.
Kes tersebut masih dalam siasatan PDRM dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat kesimpulan sendiri atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi menghormati keluarga serta proses siasatan yang sedang berjalan.
Sumber: Berita Harian / Harian Metro
FT Image: Sinar Harian
