Euforia Bola 2026
Percutian

Pasport Malaysia Makin ‘Power’! Naik Ke Tangga Kedua Dunia, Ini Senarai Penuh Top 20

pasport Malaysia

Berita membanggakan buat rakyat Malaysia apabila pasport Malaysia kini berada di kedudukan kedua paling berkuasa di dunia menerusi The Passport Index Global Ranking 2026, meningkat satu anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

Pencapaian ini meletakkan Malaysia sebaris dengan Singapura dalam ranking berkenaan, sekali gus menunjukkan tahap akses perjalanan antarabangsa yang dimiliki pemegang pasport negara ini.

Baca juga: Tak Sengaja Terbasuh Pasport Di Luar Negara, Wanita Kongsi Dokumen Perlu Bawa Ke Kedutaan Supaya ‘Lepas’ Balik!

PASPORT MALAYSIA NAIK KE TANGGA 2 DUNIA, AKSES 175 DESTINASI

pasport Malaysia

Gambar Facebook JIM.

Menerusi hantaran di Facebook, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan kedudukan tersebut mencerminkan kekuatan dan penerimaan pasport Malaysia di peringkat antarabangsa.

Berdasarkan penarafan The Passport Index Global Ranking 2026, pemegang pasport Malaysia mempunyai akses ke 175 destinasi di seluruh dunia.

Daripada jumlah itu, sebanyak 129 destinasi membenarkan kemasukan tanpa visa, manakala 46 destinasi menawarkan kemudahan visa semasa ketibaan. Dalam masa sama, 23 destinasi memerlukan pemegang pasport Malaysia mendapatkan visa.

JIM turut berkongsi pencapaian berkenaan menerusi hantaran media sosial yang menyatakan, “Pasport Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila berada di kedudukan ke-2 dunia dalam The Passport Index Global Ranking 2026, meningkat daripada kedudukan ke-3 pada tahun 2025.”

Pencapaian ini menyaksikan Malaysia berkongsi kedudukan kedua bersama Singapura, manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) menduduki tangga pertama. Sepanyol pula berada di kedudukan ketiga dalam ranking tersebut.

Apa maksud pasport berada di kedudukan kedua dunia?

Kedudukan pasport dalam The Passport Index ditentukan menerusi Global Mobility Score, iaitu ukuran yang mengambil kira akses perjalanan antarabangsa berdasarkan kemudahan kemasukan ke destinasi tertentu.

Antara kategori yang diambil kira termasuk kemasukan tanpa visa, visa semasa ketibaan serta kemudahan perjalanan lain yang ditetapkan dalam indeks berkenaan.

Bagi pemegang pasport Malaysia, akses ke 175 destinasi memberikan lebih banyak pilihan perjalanan tanpa perlu mendapatkan visa terlebih dahulu bagi destinasi yang menawarkan kemudahan tersebut.

Bagaimanapun, kemudahan kemasukan tetap tertakluk kepada syarat imigresen dan peraturan semasa negara yang dikunjungi.

Baca juga: [VIDEO] Ramai Kagum, Individu Kongsi Kecantikan Setiap Helaian Pasport Malaysia Bawah UV!

SENARAI TOP 20 PASPORT PALING BERKUASA DUNIA 2026

pasport Malaysia

Gambar portal The Passport Index Global Ranking 2026.

Berdasarkan The Passport Index Global Ranking 2026, terdapat beberapa negara yang berkongsi kedudukan sama dalam senarai pasport paling berkuasa dunia. Berikut ialah 20 kedudukan teratas, termasuk Malaysia yang berada di tangga kedua bersama Singapura.

  1. Emiriah Arab Bersatu (UAE)
  2. Singapura & Malaysia
  3. Sepanyol
  4. Belgium, Luxembourg, Perancis, Denmark, Jerman, Sweden, Belanda, Finland, Itali, Switzerland, Greece, Portugal, Austria, Norway, Ireland & Jepun
  5. Malta, Poland, Hungary, Croatia, Latvia & South Korea
  6. Romania, Slovenia, Czech Republic, Slovakia, Bulgaria & Estonia
  7. Cyprus, Lithuania & United Kingdom
  8. Canada, Liechtenstein & New Zealand
  9. Iceland & Australia
  10. United States of America
  11. Monaco
  12. Hong Kong
  13. Brazil
  14. Argentina
  15. Chile
  16. Andorra
  17. San Marino
  18. Brunei & Barbados
  19. Bahamas
  20. Uruguay, Mexico & Vatican City

KEDUDUKAN PASPORT NEGARA ASIA TENGGARA LAIN

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Brunei turut berada dalam kelompok 20 teratas apabila menduduki kedudukan ke-18 dunia. Kedudukan negara Asia Tenggara lain adalah seperti berikut:

  • Brunei – Ke-18
  • Timor-Leste – Ke-45
  • Thailand – Ke-52
  • Indonesia – Ke-55
  • Filipina – Ke-64
  • Vietnam – Ke-71
  • Kemboja – Ke-73
  • Laos – Ke-78
  • Myanmar – Ke-85

Pencapaian pasport Malaysia ini sekali gus menambah satu lagi perkembangan positif dalam aspek mobiliti antarabangsa negara, dengan pemegang pasport Malaysia menikmati akses perjalanan ke pelbagai destinasi di seluruh dunia.

Sumber: Facebook Jabatan Imigresen Malaysia / The Passport Index Global Ranking 2026

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×