Berita mengenai kehilangan Tun Dr Siti Hasmah hari ini mengundang pilu seluruh rakyat Malaysia. Terbaharu, jenazah Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali akan dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, hari ini, 28 September 2026.
Baca juga: Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali Meninggal Dunia Pada Usia 100 Tahun Pagi Ini
JENAZAH TUN DR SITI HASMAH DIKEBUMIKAN DI PUSARA NEGARA

Jenazah Allahyarhamah akan disemadikan bersebelahan pusara Allahyarhamah Tun Endon Mahmood, yang merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Keputusan berhubung lokasi pengebumian itu dibuat oleh pihak keluarga dan telah dimaklumkan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Dalam pada itu, kerajaan turut memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Allahyarhamah sebagai penghormatan terhadap jasa dan sumbangan beliau kepada negara.
Siaran TV Dan Radio Disesuaikan Sebagai Tanda Penghormatan

Foto: BERNAMA
Menurut Fahmi Fadzil, semua stesen televisyen dan radio turut diarahkan untuk menyesuaikan rencana serta rancangan masing-masing sepanjang hari ini sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarhamah.
Beliau berkata, pengubahsuaian program berkenaan dibuat bagi memberi ruang kepada seluruh negara mengenang jasa dan sumbangan Tun Dr Siti Hasmah.
Fahmi turut berkongsi kenangan peribadinya bersama Allahyarhamah ketika beliau masih berusia 12 tahun dan bersekolah rendah.
Katanya, ketika itu beliau pernah terlibat dalam satu pementasan teater bersama rakan-rakan sekolah yang turut disaksikan oleh Allahyarhamah.
Kenangan tersebut kembali diingati Allahyarhamah selepas seorang bekas guru yang juga wartawan menulis mengenainya beberapa tahun lalu.
Bukan Sekadar Isteri Bekas Perdana Menteri

Pemergian Tun Dr Siti Hasmah bukan sahaja meninggalkan kesan kepada keluarga, malah turut dirasai rakyat Malaysia yang mengenali perjalanan hidup serta sumbangan beliau selama ini.
Allahyarhamah dilahirkan pada 12 Julai 1926 dan merupakan antara wanita Melayu terawal yang menceburi bidang perubatan. Beliau menamatkan pengajian perubatan pada 1955 sebelum meneruskan khidmat dalam sektor kesihatan awam.
Sepanjang kerjayanya, Allahyarhamah banyak memberikan tumpuan kepada kesihatan ibu dan anak, selain aktif dalam pelbagai usaha berkaitan kesihatan, kebajikan wanita dan masyarakat.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Pegawai Perubatan Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak Kedah pada 1965 dan Pegawai Kesihatan Negeri Kedah pada 1974.
Dalam kehidupan peribadi pula, Allahyarhamah mendirikan rumah tangga bersama Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1956 dan mereka dikurniakan tujuh cahaya mata.
Allahyarhamah kemudian melalui perjalanan panjang sebagai isteri kepada Perdana Menteri ketika Tun Dr Mahathir memegang jawatan itu pada 1981 hingga 2003, sebelum kembali menjalani peranan sama ketika suaminya menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018 hingga 2020.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan menempatkan beliau dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
Al-Fatihah.
Sumber: Berita RTM
