Seorang pengusaha kantin di sebuah sekolah berasrama di Jasin mengalami kerugian RM749 selepas wang hasil jualan dipercayai diambil seorang pelajar lelaki Tingkatan 2.
Kejadian itu terbongkar kira-kira jam 9.30 malam apabila pekerja kantin menyedari bungkusan berisi wang jualan yang disimpan berhampiran peti duit sudah tiada.
Baca juga: Dah Ambil Wuduk Tapi Anak Pula ‘Bocor’, Perlu Ke Ulang Wuduk Selepas Cuci Najis Si Kecil?
PENGUSAHA KANTIN RUGI RM749, PELAJAR TINGKATAN 2 LARIKAN WANG

Wang berkenaan merupakan hasil jualan makanan bagi sesi petang antara jam 2 hingga 5 petang. Pengusaha kantin, Nur Liyana Abdul Khalid, 30, berkata pemeriksaan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang pelajar lelaki berpakaian kurta kelabu, berseluar hitam dan berkopiah masuk ke kawasan kaunter sebelum mengambil wang tersebut.
“Selepas berjaya mengesan pelajar itu dia memaklumkan hanya mengambil RM5, namun selepas ditanya beberapa kali, dia mengaku mengambil RM749 seperti dalam rakaman CCTV.
“Pekerja saya kemudian meminta pelajar berkenaan memulangkan semula wang berkenaan namun hanya ada RM718 manakala RM31 lagi didakwa sudah digunakan untuk membayar hutang kepada rakan,” jelasnya.
Menurutnya, pekerja yang berada di lokasi ketika kejadian kemudian membuat laporan polis berhubung insiden itu untuk tindakan lanjut.
Nur Liyana berkata, dia sudah mengusahakan kantin sekolah berkenaan sejak 2024 dan pernah berdepan beberapa kejadian kehilangan wang hasil jualan sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, tiada tindakan diambil sebelum ini kerana pihaknya tidak mempunyai bukti kukuh berhubung kehilangan berkenaan.
Kejadian terbaharu itu menyebabkan dia mengambil keputusan untuk membuat laporan kerana tidak mahu perkara sama berulang dan berpandangan perbuatan berkenaan tidak sepatutnya berlaku dalam kawasan sekolah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan dan siasatan masih dijalankan.
Baca juga: Susulan Kes Tik*m Bandar Utama: Remaja 15 Tahun Mengaku Suka Mangsa, Ikut Ke Tandas
Sumber: Berita Harian
