Percutian di pantai biasanya menjadi masa untuk anak-anak berlari dan bermain di atas pasir, tetapi pengunjung Pantai Geting, Tumpat, Kelantan perlu lebih berhati-hati selepas ratusan mata kail ditemukan bersepah di sepanjang pesisir pantai berkenaan.
Lebih membimbangkan, peralatan memancing itu dipercayai ditinggalkan kaki pancing yang sering berkunjung ke kawasan tersebut sejak April lalu.
Baca juga: Nombor 1 Di Asia & Keempat Dunia! KLIA Jadi ‘Port’ Penerbangan Paling Terhubung Asia 2026
RATUSAN MATA KAIL BERSEPAH DI PANTAI GETING

Gambar hiasan: Gemini AI
Keadaan itu dikatakan semakin ketara ketika Pantai Geting menjadi tumpuan pemancing yang memburu ikan gelama.
Malah, kebimbangan pengunjung bukan sekadar andaian apabila seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan mengalami kecederaan selepas terpijak mata kail di pantai berkenaan pada 4 Ogos lalu.
Setiap kali rondaan, mesti APM akan kutip
Anggota Penyelamat Pantai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tumpat, Raja Andik Muhammad Irwan berkata, kira-kira 50 pemancing biasanya bertumpu di Pantai Geting pada malam Jumaat.
Menurutnya, mata kail yang ditinggalkan sering ditemukan ketika anggota APM melakukan rondaan pada keesokan harinya.
“Biasanya malam Jumaat, kira-kira 50 pemancing bertumpu di pantai ini.
“Keesokannya, setiap kali meronda di pesisir pantai ini, kami menemukan mata kail yang ditinggalkan pemancing.
“Kejadian kanak-kanak perempuan terpijak mata kail pada 4 Ogos lalu membuktikan ancaman itu bukan lagi sekadar kebimbangan pengunjung,” katanya.
Anggota APM turut mengutip mata kail yang ditemukan sepanjang pesisir pantai ketika rondaan bagi mengurangkan risiko ia terpijak oleh pengunjung.
Baca juga: Raja Penyu Buat ‘Comeback’, Kali Ini 81 Biji Telur Jadi Buah Tangan Di Pesisir Pantai Rantau Abang!
Mata kail tersangkut pada selipar anak

Gambar Rohana Ismail (Utusan): Raja Andik Muhammad Irwan menunjukkan mata kail yang ditemukan di pesisir Pantai Geting, Tumpat, Kelantan.
Bagi Nor Asyikin Mat Nor, 37, pengalaman berada di Pantai Geting pula membuatkannya lebih sedar tentang bahaya yang mungkin tersembunyi di sebalik pasir.
Dia terkejut apabila mendapati mata kail yang sudah berkarat tersangkut pada selipar anaknya ketika berada di pantai tersebut. Nasib baik mata kail itu tidak menusuk tapak kaki anaknya.
“Sangat bahaya kepada pengunjung, terutama kanak-kanak.
“Lagipun, anak-anak kecil ini suka berlari tanpa memakai selipar di atas pasir pantai. Kalau terpijak mata kail, boleh cedera kaki,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Mohd. Akmal Abdullah, 30, pula datang ke Pantai Geting untuk berkelah sebelum menyedari terdapat mata kail yang berselerakan di kawasan pesisir.
Menurutnya, peralatan berkenaan sukar dilihat kerana ada yang terlindung di dalam pasir.
“Mata kail itu tersembunyi dalam pasir. Perlu berhati-hati ketika berjalan di pesisir pantai ini,” katanya.
Keadaan tersebut menjadi peringatan kepada pengunjung supaya lebih peka ketika berjalan di kawasan berpasir, khususnya jika membawa anak kecil yang gemar bermain atau berlari tanpa kasut.
Dalam masa sama, pemancing juga perlu memastikan semua mata kail dan peralatan yang digunakan dikutip semula sebelum meninggalkan kawasan pantai bagi mengelakkan ia menjadi perangkap kepada pengunjung lain.
Sumber: Utusan
FT Image: Utusan
