Euforia Bola 2026
Percutian

Raja Penyu Buat ‘Comeback’, Kali Ini 81 Biji Telur Jadi Buah Tangan Di Pesisir Pantai Rantau Abang!

raja penyu

Pesisir pantai Rantau Abang, Terengganu kembali menerima kunjungan istimewa apabila seekor hidupan laut yang mesra digelar Raja Penyu oleh penduduk tempatan mendarat pada awal pagi Ahad.

Lebih mengujakan, penyu gergasi berkenaan meninggalkan sebanyak 81 biji telur di pesisir pantai itu, sekali gus memberi harapan baharu terhadap usaha pemuliharaan spesies penyu di kawasan berkenaan.

Baca juga: Gergasi 2.1 Meter Dipercayai Kembali Ke Pantai Terengganu, 44 Biji Telur Penyu Belimbing Diselamatkan!

KEMUNCULAN ‘RAJA PENYU’ DI RANTAU ABANG: 81 BIJI TELUR DITEMUI PADA SUBUH AHAD

raja penyu

Gambar: Jabatan Perikanan Negeri Terengganu

Mendarat selang 13 hari, kesan rangkakan cecah 2.20 meter

Menurut Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, pendaratan tersebut berlaku sekitar jam 4.45 pagi, 13 September 2026.

Pendaratan terbaru itu berlaku hanya 13 hari selepas penemuan terdahulu pada 1 September lalu di perairan Marang.

Berdasarkan rekod dan pemerhatian fizikal, ibu penyu tersebut dipercayai merupakan penyu Belimbing yang sama seperti yang pernah mendarat sebelum ini.

Saiznya juga bukan calang-calang apabila kesan rangkakan yang ditinggalkan di pesisir pantai dianggarkan mencapai 2.20 meter.

Penemuan 81 biji telur itu direkodkan bersama kakitangan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu, Mohd Saipulmizam Hamzah, serta dua pemajak kawasan iaitu Mohd Salleh dari Rantau Abang dan Mohd Amirudin Maznan dari Jambu Bongkok.

Kesemua telur yang ditemui kemudiannya dipindahkan dengan selamat ke tapak penetasan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Rantau Abang.

Langkah itu penting bagi memastikan telur berkenaan mendapat perlindungan sepanjang proses pengeraman sebelum anak-anak penyu berpeluang menetas dan kembali ke laut.

Baca juga: Pernah Jadi Saksi Kemerdekaan, Kini 6 Lokasi Bersejarah Ini Berwajah Baharu, Moden & Wajib Dilawati Sekeluarga!

Ada harapan Rantau Abang kembali jadi syurga penyu

raja penyu

Gambar: Jabatan Perikanan Negeri Terengganu

Kemunculan semula penyu Belimbing di Rantau Abang bukan sekadar penemuan biasa buat penggiat konservasi.

Kawasan itu suatu ketika dahulu terkenal sebagai antara lokasi penting persinggahan penyu gergasi dunia, sebelum jumlah pendaratan spesies berkenaan mengalami perubahan dari semasa ke semasa.

Justeru, kehadiran penyu gergasi bersama 81 telur kali ini dilihat sebagai perkembangan positif dalam usaha memulihkan ekosistem maritim serta memastikan spesies berkenaan terus dilindungi.

“Pendaratan ini memberikan petanda positif terhadap usaha pemulihan ekosistem maritim serta memulihara populasi spesies penyu gergasi yang pernah menjadi kebanggaan dan warisan konservasi di Rantau Abang,” kata Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

Baca juga: Daripada Duduk Rumah Je Cuti Sekolah, Apa Kata Bawa Seisi Keluarga Ke 10 Air Terjun Cantik Ini!

Ringkasan perincian penemuan:

  • Masa Mendarat: 4:45 pagi (Ahad, 13 September 2026)
  • Hasil Sarang: 81 biji telur (saiz purata saiz 5 cm)
  • Identiti Ibu Penyu: Dipercayai penyu Belimbing sama yang pernah mendarat pada 1 September 2026 di perairan Marang.
  • Kesan rangkakkan : 2.20 m

Buat masa ini, 81 telur berkenaan berada di tapak penetasan untuk melalui proses seterusnya.

Semoga satu demi satu anak penyu yang bakal menetas nanti dapat meneruskan perjalanan ke laut dan menjadi sebahagian daripada usaha menghidupkan kembali nama Rantau Abang sebagai lokasi penting buat penyu gergasi.

Sumber: Facebook Jabatan Perikanan Negeri Terengganu

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×