Euforia Bola 2026
Percutian

Daripada Duduk Rumah Je Cuti Sekolah, Apa Kata Bawa Seisi Keluarga Ke 10 Air Terjun Cantik Ini!

Kalau dah bosan dengan aktiviti hujung minggu yang sama, apa kata ajak satu keluarga keluar hirup udara segar? Banyak air terjun cantik di Malaysia yang boleh dijadikan destinasi family day trip, sama ada untuk berkelah, mandi-manda atau sekadar duduk santai menikmati kehijauan alam.

Baca juga: Pernah Jadi Saksi Kemerdekaan, Kini 6 Lokasi Bersejarah Ini Berwajah Baharu, Moden & Wajib Dilawati Sekeluarga!

10 AIR TERJUN CANTIK DI MALAYSIA

Tak perlu pun tunggu cuti panjang untuk bercuti. Ada lokasi yang mudah diakses dengan kemudahan asas seperti tandas, parkir dan pondok rehat, manakala sesetengahnya memerlukan sedikit trekking sebelum sampai ke kawasan air terjun.

Jadi, sebelum rancang perjalanan, jom tengok 10 lokasi yang boleh dimasukkan dalam senarai percutian keluarga.

1. Air Terjun Sekayu, Terengganu

Terletak di Hulu Terengganu, Air Terjun Sekayu merupakan antara lokasi rekreasi alam yang sesuai dimasukkan dalam perancangan bersama keluarga.

Hutan Lipur Sekayu berada kira-kira 16 kilometer dari Kuala Berang dan 56 kilometer dari Kuala Terengganu. Lokasinya juga boleh dicapai melalui persimpangan Ajil di Lebuhraya Pantai Timur.

2. Air Terjun Jeram Toi, Negeri Sembilan

air terjun

Kalau nak destinasi yang lebih mesra keluarga, Jeram Toi boleh dipertimbangkan.

Taman Eko Rimba Jeram Toi terletak dalam Hutan Simpan Berembun, kira-kira 12 kilometer dari Kuala Klawang dan 28 kilometer dari Seremban. Portal Pelancongan Negeri Sembilan menyatakan lokasi ini sesuai dikunjungi seisi keluarga tanpa mengira usia.

Air terjunnya pula mempunyai beberapa tingkat dan kawasan sekitarnya turut menyediakan tapak perkhemahan.

3. Air Terjun Lata Kinjang, Perak

Terletak di Tapah, Perak, Lata Kinjang menawarkan suasana hijau yang cukup menarik untuk sehari bersama keluarga.

Taman Eko-Rimba Lata Kinjang mempunyai kemudahan seperti parkir, tandas, pondok rehat, pusat maklumat, gerai dan surau. Antara aktiviti yang tersedia termasuk berkelah, meranduk, trekking dan menikmati air terjun.

Lokasinya sekitar 15 kilometer dari bandar Tapah dan 45 kilometer dari Ipoh.

4. Air Terjun Kolam Puteri, Gunung Ledang, Johor

air terjun kolam puteri gunung ledang

Buat yang berada di Johor, kawasan Gunung Ledang juga boleh menjadi pilihan untuk aktiviti keluarga.

Air Terjun Kolam Puteri merupakan antara lokasi yang boleh dikunjungi di Gunung Ledang. Tourism Johor menyatakan pengunjung perlu mendaki sekitar 300 meter untuk sampai ke kawasan air terjun berkenaan.

Kawasan pintu masuk Gunung Ledang juga sesuai untuk aktiviti lebih santai seperti berkelah dan berkhemah bersama keluarga atau kumpulan.

5. Air Terjun Mahua, Sabah

Nak rasa suasana air terjun di tengah kehijauan Sabah? Air Terjun Mahua di Tambunan boleh dimasukkan dalam bucket list.

Menurut Sabah Parks, air terjun ini setinggi kira-kira 17 meter dan jatuh ke dalam kolam sedalam sekitar 1.3 meter. Kawasan berkenaan turut mempunyai tempat berteduh dan kemudahan berkelah yang popular dalam kalangan pengunjung tempatan.

6. Air Terjun Kipungit, Sabah

Kalau bercadang ke Poring Hot Spring, boleh juga singgah ke Air Terjun Kipungit.

Sabah Parks menyatakan Kipungit merupakan air terjun paling hampir dengan Poring Hot Spring & Nature Reserve, dengan jarak berjalan kaki kira-kira satu kilometer atau sekitar 15 minit.

Menariknya, lokasi ini turut dinyatakan sesuai untuk aktiviti picnic secara berkumpulan dan bersama keluarga.

7. Air Terjun Sungai Chiling, Selangor

air terjun sungai chiling

Gambar: Chee Hong

Kalau tinggal di sekitar Lembah Klang, Air Terjun Sungai Chiling di Hulu Selangor mungkin antara pilihan yang menarik.

Lokasi ini terkenal dengan air terjun setinggi kira-kira 80 meter dan mempunyai lagun yang tenang. Namun, perjalanan ke kawasan air terjun melibatkan jungle trekking serta beberapa lintasan sungai.

Sebab itu, ia lebih sesuai untuk keluarga yang membawa anak lebih besar atau ahli keluarga yang selesa dengan aktiviti lasak.

8. Air Terjun Sungai Pisang, Selangor

Satu lagi lokasi yang boleh dimasukkan dalam senarai ialah Air Terjun Sungai Pisang di kawasan Gombak.

Lokasinya berada dalam kawasan Taman Warisan Negeri Selangor dan sekitar 25 kilometer dari Kuala Lumpur. Perjalanan ke air terjun melibatkan beberapa lintasan sungai, jadi pengunjung perlu bersedia untuk aktiviti berjalan kaki dan meredah air.

9. Air Terjun Lata Tok Dor, Terengganu

Kalau mahukan lokasi yang lebih santai, Air Terjun Lata Tok Dor di Kampung Tok Dor, Hulu Terengganu boleh dipertimbangkan.

Portal K-Tourism menyifatkan kawasan ini sebagai lokasi yang tenang dan sesuai untuk berehat atau healing bersama keluarga dan rakan.

Pengunjung boleh membawa kenderaan persendirian sehingga kawasan parkir berhampiran sebelum berjalan kaki melalui denai yang disediakan menuju ke tebing air terjun.

10. Air Terjun Lata Iskandar, Perak

air terjun Lata Iskandar

Dalam perjalanan menuju Cameron Highlands dari Tapah, Lata Iskandar antara lokasi yang mudah dikenali kerana kedudukannya berhampiran laluan utama.

Kawasan ini menawarkan pemandangan air terjun bertingkat dan kolam di bahagian bawah. Kedudukannya yang mudah dilihat dari jalan menjadikannya pilihan popular untuk persinggahan ketika road trip.

Sumber: Majlis Daerah Hulu Terengganu / Pelancongan Negeri Sembilan / Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia / Tourism Johor / Sabah Parks (1) (2) / Visit Selangor (1) (2) / K-Tourism / Lata Iskandar

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×