Pesanan supaya belajar bersungguh-sungguh dan mengejar cita-cita menjadi doktor masih terngiang-ngiang buat Euodia Then Suling, 15, anak jururawat Perkhidmatan Doktor Udara (FDS), mendiang Debra Moset.
Mendiang Debra antara lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter BO-105 di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada 8 September lalu.
ANAK JURURAWAT NAHAS FDS TEKAD CAPAI CITA-CITA

Gambar Mohd Roji Kawi: Euodia Then Suling (memegang gambar), bapanya, John Then Hua Ken serta adiknya, Eugene Then Kuling, ketika menyambut ketibaan keranda membawa mendiang Debra di Kampung Semadang, Padawan, semalam.
Kerajaan Sarawak tanggung pengajian Euodia sehingga bergelar doktor
Bagi Euodia, kehilangan ibunya bukan bermakna impian untuk menjadi doktor turut berakhir. Sebaliknya, kata-kata mendiang menjadi pembakar semangat untuk dia meneruskan cita-cita yang pernah mereka impikan bersama.
Pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penrissen No.1 itu kali terakhir bertemu ibunya pada 3 September lalu di Kampung Semadang, beberapa hari sebelum nahas berlaku.
Menurut Euodia, kerjaya ibunya sebagai jururawat turut membuatkan dia tertarik untuk memilih bidang perubatan.
“Saya pernah beritahu ibu yang saya sangat minat nak jadi doktor dan dia pesan saya mesti belajar sungguh-sungguh yang capai cita-cita itu,” katanya ketika ditemui ketika menyambut ketibaan mendiang ibunya di kediaman keluarganya di Kampung Semadang, Padawan, semalam.
Lebih menyentuh hati, Euodia turut menyimpan satu janji buat mendiang Debra selepas kehilangan insan yang paling disayanginya itu.
Dalam luahan terakhir buat ibunya, dia menulis: “Saya janji, 10 tahun akan datang kakak bawa gelaran Dr Euodia demi mommy.”
Mendiang Debra sebelum ini dikatakan pernah berjanji mahu menemani Euodia sehingga anaknya berjaya menjadi doktor. Mereka juga pernah membayangkan untuk bekerja di tempat yang sama suatu hari nanti.
Namun, impian itu tidak sempat dilihat sendiri oleh Debra.
Kini, Kerajaan Sarawak tampil membantu Euodia meneruskan perjalanan tersebut apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan kos pendidikannya akan ditanggung sehingga dia berjaya bergelar doktor.
Bantuan pendidikan sama turut diberikan kepada anak-anak mangsa lain yang terlibat dalam nahas FDS berkenaan.
Mesej untuk ibu tak sempat dibaca
Selain pesanan tentang pelajaran, Euodia masih mengingati komunikasi terakhirnya dengan ibunya pada hari nahas, 8 September lalu.
Sekitar jam 2.30 petang, dia menghantar mesej menerusi WhatsApp kepada mendiang, namun mesej itu tidak sempat dibaca.
Dia kemudian menghantar satu lagi mesej kira-kira jam 3.40 petang. Kali ini, mesej tersebut hanya menunjukkan satu tanda.
“Dalam mesej itu saya tanya ibu sama ada dia balik atau tidak pada hari jadi saya bulan depan.
“Tetapi mesej saya tidak dibalas kerana, rupa-rupanya ketika itu mereka sudah terhempas,” katanya.
Ketika berita nahas mula diketahui, Euodia mengaku masih berharap ibunya terselamat.
“Saya mengharapkan ibu masih hidup sebab ada orang mendakwa (di media sosial) dia sempat melompat keluar,” katanya.
Lambaian terakhir sebelum berpisah

Gambar PHM
Adiknya, Eugene Then Kuling, 12, pula sempat menemani mendiang Debra ke lapangan terbang pada 3 September sebelum ibunya berlepas kembali ke Miri.
Walaupun tidak menerima pesanan khusus, Eugene masih mengingati satu perkara sebelum mereka berpisah.
“Seingat saya, tidak ada apa-apa pesan. Ibu cuma ada melambai saya sebelum memasuki ruang pelepasan (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching),” katanya.
Mendiang Debra akan disemadikan di Tanah Perkuburan St Patrick, Kampung Semadang, Padawan, hari ini.
Nahas helikopter BO-105 yang menjalankan operasi FDS itu meragut lima nyawa termasuk juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; penolong pegawai perubatan Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan melecur parah susulan nahas.
Bagi keluarga yang ditinggalkan, bantuan kewangan mungkin tidak mampu menggantikan insan tersayang. Namun, pembiayaan pendidikan yang disediakan Kerajaan Sarawak sekurang-kurangnya membuka ruang untuk anak-anak mangsa meneruskan kehidupan tanpa impian mereka terhenti kerana tragedi.
Dan buat Euodia, perjalanan itu kini membawa satu janji yang cukup besar — untuk suatu hari nanti bergelar Dr Euodia, seperti yang pernah diimpikan bersama mendiang ibunya.
Sumber: Harian Metro / Facebook Public Health Malaysia
