Seorang bayi empat bulan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri ketika berada di sebuah taska di Bandar Al Muktafi Billah Shah, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat berkata, bayi perempuan itu disahkan meninggal dunia di Hospital Dungun kira-kira jam 12.45 tengah hari.
Baca juga: “Tak Sempat Sampai Hospital Dah Terkeluar…”- Ibu Bersalin Dalam Kereta, Nenek Sambut Kelahiran Cucu
BAYI EMPAT BULAN MENINGGAL DUNIA

Menurutnya, polis menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 3.41 petang. Awalnya bayi berkenaan dihantar ibunya ke taska terbabit kira-kira jam 8 pagi dalam keadaan sihat.
“Dalam jam 10 pagi, pihak taska mendapati bayi terbabit tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Durian Mas dan dirujuk ke Hospital Dungun,” jelasnya.
Nik Ab Halim berkata, bayi berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Setibanya di hospital, pegawai perubatan menjalankan pemeriksaan dan memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa.
“Bagaimanapun, bayi terbabit disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.45 tengah hari. Pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa tidak menemukan kecederaan fizikal dan bedah siasat akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.
Kes disiasat Seksyen 31(1)(A)

Dalam pada itu, beliau berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Siasatan akan dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat unsur kecuaian atau pengabaian sepanjang bayi berkenaan berada di bawah jagaan pihak taska.
“Kita akan siasat sama ada wujud unsur kecuaian atau pengabaian ketika mangsa berada di bawah jagaan pihak taska.
“Dua pengasuh yang bertugas ketika kejadian sudah dikenal pasti dan akan diambil keterangan bagi membantu siasatan,” tambahnya.
Polis turut akan merakam keterangan ibu bapa mangsa dan saksi berkaitan selain mendapatkan laporan daripada pihak perubatan bagi membantu siasatan lanjut.
Punca sebenar kematian bayi berkenaan masih belum dapat dipastikan dan akan ditentukan menerusi proses bedah siasat.
Baca juga: May*t Bayi Perempuan Ditemui Di Kawasan Kebun, Rupanya Masih Hidup Ketika Dilahirkan!
Sumber: Berita Harian
