Euforia Bola 2026
Sihat

“Kenapa Bersin Sebut Hashim Bukan Manap?”- Rupanya Bila Mata Terpejam, Ini Yang Berlaku Pada Badan Kita

mata terpejam

“Haaashimmmmmm!” Kalau anda pernah perasan bunyi bersin sendiri atau orang sekeliling seolah-olah kedengaran macam menyebut nama seseorang, jangan pelik. Dan ada pula yang bersin sambil mata terpejam secara automatik.

Persoalannya, kenapa bunyi bersin boleh kedengaran berbeza-beza dan mengapa mata pula hampir sentiasa tertutup?

Baca juga: 8 Trend Barang Kesihatan Pernah Viral & Orang ‘Wow’ Suatu Ketika Dahulu, Pakar Pesan Jangan Terus Percaya!

SEBAB BERSIN BUNYI HASHIM DAN MATA TERPEJAM

mata terpejam

Gambar: PHM

Menerusi satu hantaran di Facebook, Public Health Malaysia (PHM) tampil menjelaskan perkara tersebut selepas seorang wanita bertanya secara berseloroh sama ada normal jika bersin tidak menyebut “Hashim”, tetapi berbunyi seperti “Manap”.

Jawapan PHM cukup ringkas. “Hashim atau Manap, itu terpulang.”

Namun di sebalik pertanyaan tersebut, terdapat penjelasan sains tentang apa yang sebenarnya berlaku kepada tubuh ketika kita bersin.

Baca juga: “Ejakulasi 21 Kali Sebulan?”- Bujang Tak Senang Duduk, Doktor Dedah Kurang Risiko Kanser Prostat & Sperma Berkualiti!

Kenapa mata automatik terpejam bila bersin?

Menurut PHM, bersin merupakan satu refleks besar yang diselaraskan oleh otak.

Apabila habuk, lendir, alergen atau bahan lain mengganggu bahagian dalam hidung, saraf trigeminal akan menghantar isyarat kecemasan kepada batang otak.

Otak kemudian menyelaraskan beberapa tindakan dalam masa yang sangat singkat:

  1. Kita menarik nafas.
  2. Otot dada dan abdomen mengecut.
  3. Tekanan udara meningkat.
  4. Udara dihembus keluar dengan kuat melalui hidung dan mulut.

Pada masa yang sama, otot kelopak mata turut menerima arahan untuk mengecut. Sebab itulah mata biasanya tertutup ketika bersin.

Menariknya, PHM menjelaskan bahawa keadaan itu bukan berlaku kerana badan cuba mengelakkan mata daripada “terkeluar”.

Mata sebenarnya dipegang kukuh di dalam rongga mata oleh otot, saraf dan tisu. Tekanan ketika bersin pula bukan tertumpu di belakang bola mata.

Malah, ada individu yang boleh bersin dengan mata terbuka. Cuma bagi kebanyakan orang, refleks menutup mata berlaku terlalu pantas untuk dikawal.

Baca juga: “Nanti Jenazah Tak Sempurna?”- 5 Mitos Derma Organ Yang Buat Ramai Berfikir Dua Kali Nak Jadi Penderma

Jadi kenapa bunyi bersin boleh macam “hashim”?

mata terpejam

Gambar hiasan: Magnific (dijana semula dengan Gemini AI)

Berbalik kepada persoalan “Hashim” atau “Manap”, bunyi bersin sememangnya boleh kedengaran berbeza antara seorang dengan seorang yang lain.

Ini kerana bersin melibatkan aliran udara yang kuat melalui hidung dan mulut, selain dipengaruhi oleh cara seseorang membuka atau menutup mulut ketika bersin.

Jadi, ada yang menghasilkan bunyi bersin yang pendek, ada yang lebih kuat dan ada pula yang kedengaran seperti mempunyai beberapa suku kata. Sebab itu tidak mustahil bunyi bersin seseorang kedengaran seolah-olah menyebut seperti dinyatakan atau apa-apa bunyi lain.

Yang lebih penting, PHM mengingatkan bahawa perhatian kita sepatutnya bukan hanya kepada bunyi bersin. Titisan yang terhasil ketika bersin boleh tersebar kepada orang di sekeliling.

Jadi, tutup hidung dan mulut menggunakan tisu atau bahagian dalam siku ketika bersin. Jika menggunakan tisu, buang selepas digunakan dan basuh tangan.

Elakkan bersin terus ke tapak tangan kerana tangan boleh menjadi medium penyebaran kuman.

Sumber: Facebook Public Health Malaysia

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×