Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mencipta satu lagi sejarah apabila menerima pengiktirafan sebagai pasangan pertama bekas ketua kerajaan dan pasangan yang kedua-duanya merupakan centenarian yang masih hidup di Asia.
Pengiktirafan tersebut diberikan menerusi Asia Records dan menjadi antara tiga rekod rasmi yang diterima pasangan berkenaan dalam satu majlis yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, pada Selasa.
Baca juga: Bayi 16 Bulan Meninggal Dunia Disyaki Didera Nenek Tiri, Polis Dedah PUNCA Kematian
TUN DR MAHATHIR TERIMA ANUGERAH PASANGAN BEKAS PERDANA MENTERI TERTUA

Pada majlis berkenaan, Tun Dr Mahathir, 101, turut menerima pengiktirafan daripada ASEAN Records sebagai Bekas Perdana Menteri Tertua Yang Masih Hidup.
Sementara itu, Tun Dr Siti Hasmah, 100, diiktiraf sebagai Pasangan Kepada Bekas Perdana Menteri Tertua Yang Masih Hidup.
Pengiktirafan ketiga pula diberikan kepada mereka berdua menerusi Asia Records sebagai Bekas Ketua Kerajaan dan Pasangan Pertama yang kedua-duanya menjadi Centenarian Yang Masih Hidup.
Pencapaian tersebut melengkapkan satu tempoh yang cukup bermakna buat pasangan itu, khususnya selepas usia gabungan mereka mencecah 201 tahun pada 12 Julai lalu.
Selain itu, Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah turut meraikan ulang tahun perkahwinan ke-70 pada 5 Ogos lalu selepas mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956.
Bulan Julai juga menyaksikan kedua-duanya mencapai usia istimewa apabila Tun Dr Mahathir menyambut ulang tahun kelahiran ke-101 pada 10 Julai, sebelum Tun Dr Siti Hasmah genap berusia 100 tahun dua hari kemudian.
Bertemu ketika menjadi pelajar perubatan

Perjalanan kisah cinta pasangan itu bermula pada 1947 ketika mereka bertemu sebagai pelajar perubatan di King Edward VII College of Medicine.
Sembilan tahun kemudian, mereka mendirikan rumah tangga dan dikurniakan tujuh cahaya mata.
Sepanjang kehidupan bersama, pasangan itu melalui pelbagai fasa termasuk perjalanan panjang dalam kerjaya masing-masing serta memberikan khidmat kepada negara.
Pengiktirafan terbaharu ini turut melalui proses pengesahan oleh pasukan pengadil yang mendapati tiada pencapaian sama yang direkodkan secara terbuka di rantau ASEAN dan pasaran utama Asia.
Sijil bagi ketiga-tiga rekod tersebut disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Penasihat, Tan Sri Datuk Danny Ooi, yang turut ditemani Ketua Pengadil ASEAN Records dan Asia Records, Gillian Ooi serta Eldrick Koh.
