Seorang bayi 16 bulan meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa penderaan oleh nenek tirinya yang menjaganya sejak dilahirkan. Kejadian itu berlaku di sebuah rumah Taman Sri Saujana, Kota Tinggi, pada 31 Julai lalu.
Bayi perempuan berkenaan merupakan anak tidak sah taraf dipercayai ditinggalkan di bawah jagaan nenek tirinya oleh ibunya, seorang remaja berusia 18 tahun yang masih melanjutkan pengajian di kolej.
Baca juga: Alamak! Masakan Berketul Bila Guna Santan Beku? Rupanya Boleh Jadi Cantik Semula Dengan Cara 7 Ini
BAYI 16 BULAN MAUT, DIPERCAYAI NENEK PIJAK & PUKUL

Siasatan polis mendapati mangsa dipercayai didera dengan cara dipijak serta dipukul menggunakan tangan dan kaki.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, polis pada awalnya menerima laporan daripada wanita berusia 39 tahun itu kira-kira jam 9.30 pagi pada 31 Julai.
Menurutnya, wanita berkenaan mendakwa menemui bayi itu dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika sedang tidur di rumahnya.
Katanya, wanita berkenaan kemudian cuba mengejutkan mangsa, namun bayi itu tidak memberikan sebarang tindak balas.
“Petugas kesihatan yang dipanggil cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada bayi itu, namun dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 10.30 pagi hari yang sama.
“Pada peringkat awal, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mengabaikan mangsa sehingga meninggal dunia,” jelasnya.
Bagaimanapun, hasil bedah siasat kemudian mendedahkan keadaan sebenar yang membawa kepada kematian bayi tersebut.
Ab Rahaman berkata, pemeriksaan forensik yang dijalankan Pakar Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang (HPG) pada 2 Ogos lalu mendapati bayi berkenaan mengalami kecederaan serius pada bahagian perut dan dada.
“Punca kematian disahkan berpunca daripada trauma di bahagian perut dan dada akibat objek tumpul. Pemeriksaan turut menemukan beberapa kesan luka dan lebam pada tubuh mangsa yang dipercayai berpunca daripada penganiayaan,” katanya.
Kes diklasifikasikan semula kes bunuh

Susulan penemuan itu, kes berkenaan kemudiannya diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis turut menahan tiga individu termasuk nenek tiri, datuk serta ibu mangsa bagi membantu siasatan. Menurut Ab Rahaman, ketiga-tiga mereka direman sejak 2 Ogos lalu dan tempoh reman akan berakhir esok.
Kertas siasatan lengkap juga telah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor untuk tindakan lanjut.
Polis mendapat arahan untuk menuduh nenek tiri mangsa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh di Mahkamah Majistret Kota Tinggi.
Datuk dan ibu mangsa pula dibebaskan dengan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah untuk dijadikan saksi pendakwaan.
Sumber: Berita Harian
