Gelagat kuda Cacu, haiwan kesayangan Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencuri perhatian ramai apabila haiwan itu dilihat seolah-olah cemburu ketika KDPB Sultan Pahang bergambar bersama Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Padang Polo, Pekan baru-baru ini.
Momen spontan itu bukan sahaja mengundang senyuman, malah menyebabkan KDPB Sultan Pahang hampir terjatuh ketika cuba memujuk kuda kesayangannya.
GELAGAT KUDA CACU YANG MERAJUK TARIK PERHATIAN RAMAI

Gambar: Facebook Kesultanan Pahang
Menerusi perkongsian di Facebook Kesultanan Pahang, Cacu merupakan seekor kuda betina berusia 10 tahun yang cukup rapat dengan KDPB Sultan Pahang.
Menurut perkongsian itu, KDPB Tengku Ampuan Pahang terpaksa “mengalah” apabila Cacu dilihat memalingkan muka sebaik sahaja jurugambar mula merakam gambar baginda berdua.
Reaksi Cacu yang seakan-akan merajuk dipercayai berlaku kerana haiwan itu tidak mahu berkongsi perhatian KDPB Sultan Pahang dengan orang lain.
Keakraban antara KDPB Sultan Pahang dan Cacu jelas terserlah apabila baginda segera memujuk kuda kesayangannya yang tiba-tiba berpaling.
Dalam usaha menenangkan Cacu, KDPB Sultan Pahang hampir terjatuh dan terpaksa memegang erat tali di leher kuda berkenaan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Gambar: Facebook Kesultanan Pahang
Momen mencuit hati buat orang ramai tersenyum
Situasi itu menghiburkan mereka yang berada di Padang Polo berkenaan, apabila melihat gelagat manja Cacu terhadap KDPB Sultan Pahang.
Ramai menyifatkan reaksi kuda itu cukup unik kerana seolah-olah menunjukkan rasa cemburu apabila melihat KDPB Sultan Pahang bergambar bersama KDPB Tengku Ampuan Pahang.
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi positif dalam kalangan warga maya yang terhibur melihat hubungan akrab antara KDPB Sultan Pahang dengan kuda kesayangannya.
Malah, ramai berpendapat gelagat Cacu membuktikan haiwan juga mampu membina ikatan yang kuat dengan penjaganya sehingga menunjukkan reaksi yang kelihatan seperti rasa cemburu apabila perhatian diberikan kepada orang lain.
Sumber: Facebook Kesultanan Pahang
FT Image: Facebook Kesultanan Pahang
