Euforia Bola 2026
Kerjaya

49% Pekerja Malaysia Puas Dengan Gaji, Fedtri Yahya Titip Pesanan “Ada Yang Bergaji Besar, Tapi Jiwa Tak Pernah Tenang”

pekerja di malaysia

Ramai pekerja di Malaysia menganggap gaji yang diterima adalah adil, namun tidak sampai separuh benar-benar berasa puas hati dengan pendapatan mereka.

Laporan Salary Pulse 2026 terbaharu oleh Jobstreet by SEEK, mendapati bahawa walaupun 81 peratus pekerja merasakan mereka menerima gaji yang adil bagi jawatan semasa, hanya 49 peratus menyatakan mereka berpuas hati dengan gaji yang diterima.

Baca juga: Ramai Tak Sedar! Bergaji RM3,255 Sebulan Mungkin Buat Anda Dah ‘Terkeluar’ Daripada Kategori B40

49% PEKERJA DI MALAYSIA PUAS HATI DENGAN GAJI MEREKA

pekerja di malaysia

Gambar hiasan.

Dapatan ini menunjukkan jurang yang semakin ketara antara persepsi mengenai keadilan gaji dan rasa benar-benar dihargai.

Berdasarkan maklum balas daripada 1,010 pekerja Malaysia berusia antara 18 hingga 64 tahun, laporan itu mengupas persepsi pekerja terhadap gaji, kenaikan gaji serta perbincangan berkaitan imbuhan.

Ia turut memberikan panduan praktikal kepada majikan untuk meningkatkan penglibatan, motivasi dan kadar pengekalan pekerja menerusi strategi imbuhan yang lebih berkesan.

Penemuan itu mencerminkan perubahan lebih meluas dalam cara pekerja mentakrifkan nilai di tempat kerja.

Bagi kebanyakan pekerja, gaji bukan lagi sekadar gambaran nilai mereka di pasaran, sebaliknya menjadi ukuran sama ada mereka berasa diiktiraf, disokong dan mempunyai peluang untuk berkembang dalam kerjaya.

Walaupun gaji yang kompetitif masih penting, pekerja kini semakin mengharapkan imbuhan yang mengiktiraf sumbangan individu, menyokong perkembangan kerjaya dan mencerminkan nilai yang mereka bawa kepada organisasi.

Bagi majikan, ini bermakna perbincangan mengenai gaji kini menjadi sama penting dengan keputusan mengenai kadar gaji itu sendiri.

Kajian itu menunjukkan pekerja menilai gaji mereka melalui perspektif yang lebih luas, bukan sekadar perbandingan dengan kadar pasaran.

Dalam kalangan pekerja yang menganggap gaji mereka ‘berpatutan’, kurang daripada separuh (41 peratus) benar-benar berpuas hati dengan pendapatan mereka.

Sebaliknya, pekerja kini turut mengambil kira faktor seperti beban kerja, penghargaan yang diterima, peluang perkembangan kerjaya serta sama ada pendapatan mereka mampu menyokong gaya hidup yang diimpikan.

Penemuan itu menunjukkan kepuasan terhadap gaji hari ini banyak dipengaruhi oleh rasa dihargai, selain menerima gaji yang adil.

“Kajian kami menunjukkan pekerja membezakan antara menerima gaji yang adil dengan benar-benar berasa dihargai,” kata Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia, Nicholas Lam.

“Gaji yang kompetitif akan sentiasa penting, namun ia bukan lagi satu-satunya ukuran. Pekerja kini mahukan gaji yang mengiktiraf sumbangan mereka, mencerminkan peluang untuk berkembang dan memberikan keyakinan bahawa mereka sedang maju dalam kerjaya. Bagi majikan, imbuhan kini bukan sekadar soal angka, tetapi juga komunikasi, pengiktirafan dan kepercayaan,” katanya lagi.

Baca juga: Ramai Syukur Bil Hospital KKM Serendah RM1 & RM5, Rupanya Ada 5 Perkara Penting Yang Perlu Diambil Tahu

Jurang antara gaji yang adil dan kepuasan terhadap gaji membawa implikasi penting kepada majikan.

PEKERJA YANG PUAS HATI LEBIH BERMOTIVASI

Pekerja yang berpuas hati dengan gaji mereka hampir tiga kali ganda lebih cenderung berasa bermotivasi serta sanggup memberikan usaha melebihi jangkaan di tempat kerja.

Sebaliknya, pekerja yang tidak berpuas hati adalah 2.5 kali ganda lebih berkemungkinan sedang mempertimbangkan untuk mencari pekerjaan baharu.

Penemuan ini mengukuhkan hakikat bahawa walaupun imbuhan hanyalah satu daripada pelbagai aspek pengalaman bekerja, rasa diberi ganjaran yang setimpal kekal menjadi antara pemacu utama kepada penglibatan dan pengekalan pekerja.

“Perbincangan mengenai gaji tidak sepatutnya dilihat sebagai urusan pentadbiran tahunan semata-mata. Ia adalah peluang untuk membina kepercayaan, menyelaraskan jangkaan dan menunjukkan kepada pekerja bagaimana sumbangan mereka diiktiraf,” kata Lam.

Walaupun pekerja di Malaysia sanggup membuat beberapa kompromi demi memperoleh gaji lebih tinggi, mereka tetap meletakkan batasan yang jelas berkaitan budaya dan nilai di tempat kerja.

Hampir satu daripada lima responden (19 peratus) sanggup menerima jawatan yang lebih rendah sebagai pertukaran kepada kenaikan gaji sebanyak 10 peratus, manakala 21 peratus bersedia untuk terus berada dalam keadaan bersedia dihubungi di luar waktu bekerja.

Namun begitu, hanya tiga peratus sanggup bekerja di syarikat yang mempunyai budaya kerja toksik bagi kenaikan gaji yang sama, manakala hanya lapan peratus bersedia menyertai organisasi yang nilai dan prinsipnya tidak sehaluan dengan pegangan mereka.

Fedtri Yahya Beri Nasihat “Jangan Ukur Kejayaan Dengan Gaji Semata-Mata”

pekerja di malaysia

Tangkap layar persoalan seorang warga maya di Threads yang dikongsikan semula oleh Fedtri Yahya di hantarannya.

Dalam masa sama, personaliti televisyen Fedtri Yahya turut berkongsi pandangan yang mendapat perhatian ramai di Threads selepas menjawab persoalan seorang pengguna mengenai pelajar cemerlang yang akhirnya bekerja biasa-biasa atau menganggur.

“Mungkin masalahnya apabila kita terlalu cepat mentakrifkan “berjaya” hanya melalui gaji, jawatan atau status kerja. Sedangkan hidup ini sebenarnya jauh lebih luas daripada itu.

“Ada yang bergaji sederhana tetapi hidupnya tenang, keluarganya bahagia, adabnya terpelihara, kesihatannya baik dan memberi manfaat kepada ramai orang. Ada juga yang bergaji besar tetapi dibayar dengan tekanan, kesunyian dan kehilangan makna hidup.

“Kejayaan bukan satu garis penamat yang sama untuk semua orang,” tulis Fedtri Yahya di Threads.

Tambah Fedtri lagi,

“Gaji dan pangkat hanyalah sebahagian daripada rezeki, bukan keseluruhan nilai seorang manusia. Setiap orang pastinya ada corak hidup yang ingin diwarnai dan tak perlu terikat dengan pandangan dan penilaian manusia lain.”

Sumber: Berita HarianThreads @fedtriyahya

FT Image: Gemini AI & Fedtri Yahya

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×