Euforia Bola 2026
Sihat

Garu Tapak Kaki Sampai Mengelupas & Bersisik? Jangan Anggap Sekadar Kering, Mungkin Tanda Kulat Kaki!

kulat kaki

Kalau tapak kaki terasa gatal, kulit mula mengelupas dan ada serpihan halus berterabur di dalam stoking atau di lantai, jangan cepat anggap ia cuma kulit kering. Menurut Public Health Malaysia (PHM), keadaan ini mungkin petanda kulat kaki atau tinea pedis yang juga dikenali sebagai athlete’s foot.

Pada peringkat awal, rasa gatal mungkin hanya sedikit. Namun lama-kelamaan kulit boleh menjadi bersisik, merekah dan menyebabkan ketidakselesaan ketika berjalan atau memakai kasut.

Baca juga: Jangan Ambil Mudah! Bayi Alami ‘Selesema Maut’ Selepas Diberi Ubat, PHM Minta Ibu Bapa Rujuk Doktor Dahulu

TAPAK KAKI ADA MASALAH KULAT KAKI

kulat kaki

Gambar hiasan: Gemini AI

PERBEZAAN KULIT KERING DENGAN KULAT KAKI

PHM menjelaskan, jika rasa gatal berlaku terutama di celah jari kaki atau pada tapak kaki, kemungkinan besar ia berkaitan dengan jangkitan kulat.

Antara tanda yang perlu diberi perhatian:

  • kulit mengelupas,
  • bersisik atau berkerak,
  • rekahan halus pada kulit,
  • rasa pedih atau gatal yang berulang,
  • dan serpihan kulit yang mudah tertanggal

Pertama: Bersihkan dan keringkan kaki

Sebelum menggunakan sebarang ubat, kaki perlu dibersihkan dengan betul.

  1. Basuh kaki menggunakan air dan sabun lembut.
  2. Keringkan dengan teliti terutama di celah-celah jari.
  3. Gunakan tuala berasingan dan elakkan berkongsi dengan orang lain.

PHM menegaskan kelembapan yang terperangkap di celah jari boleh menjadi tempat kulat mudah membiak.

Kedua: Pilih satu ubat antikulat 

Ubat antikulat yang biasa digunakan ialah:

  1. Terbinafine 1% – Sapukan nipis pada kawasan yang dijangkiti dan sedikit pada kulit di sekelilingnya. Banyak produk digunakan sekali atau dua kali sehari selama kira-kira satu minggu
  2. Clotrimazole 1% – Biasanya disapu dua hingga tiga kali sehari selama dua hingga empat minggu.
  3. Miconazole 2% – Biasanya disapu dua kali sehari selama dua hingga empat minggu.

Jangan campurkan beberapa krim antikulat serentak tanpa nasihat doktor atau ahli farmasi.

kulat kaki

Gambar hiasan: Gemini AI

Ketiga: Cara menyapu yang betul

  1. Sapu krim selepas kaki dibersihkan dan dikeringkan.
  2. Jangan sapu pada kawasan gatal sahaja.
  3. Sapu juga sedikit melepasi bahagian kulit yang bersisik kerana kulat mungkin sudah berada di sekeliling kawasan tersebut.
  4. Basuh tangan selepas menyapu untuk mengelakkan jangkitan merebak ke bahagian badan lain.

Keempat: Jangan berhenti bila gatal dah kurang

  • Ramai berhenti menggunakan ubat sebaik sahaja rasa gatal berkurang selepas beberapa hari
  • Rasa lega tidak bermaksud kulat sudah hilang sepenuhnya
  • Jika rawatan dihentikan terlalu awal, jangkitan boleh datang semula dan menjadi lebih sukar dirawat

Kelima: Rawat kasut dan stoking juga

Selain kulit, kasut dan stoking juga boleh menjadi tempat kulat berkumpul.

  1. Tukar stoking setiap hari.
  2. Jemur kasut sebelum dipakai semula.
  3. Elakkan memakai kasut yang sama setiap hari.
  4. Gunakan serbuk atau semburan antikulat jika disarankan pada label produk.

Baca juga: 3 Hari Tahan Sakit Tengkuk Tak Lega, Lelaki Kongsi Petua Tuam Garam Panas Yang Ramai Kata Berkesan!

BILA PERLU JUMPA DOKTOR?

Dapatkan pemeriksaan jika:

  1. Kulit menjadi merah, panas atau bengkak.
  2. Terdapat nanah atau rasa sakit
  3. Jangkitan merebak ke kuku
  4. Tiada perubahan selepas menggunakan ubat dengan betul.
  5. Masalah kerap berulang.

PHM turut mengingatkan bahawa bukan semua tapak kaki yang kering dan gatal disebabkan oleh kulat. Ekzema, psoriasis dan alahan terhadap kasut juga boleh menunjukkan simptom yang hampir sama.

Jika krim antikulat tidak membantu, jangan terus menukar-nukar krim sendiri. Dapatkan pemeriksaan doktor untuk mengenal pasti punca sebenar.

Sumber: Public Health Malaysia (PHM)

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×