Keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar dalam satu kes rogol berkumpulan membabitkan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ketika kejadian, kembali menjadi perhatian ramai selepas hukuman bon berkelakuan baik terhadap seorang remaja lelaki dikekalkan, walaupun pihak pendakwaan memohon hukuman lebih berat.
REMAJA CEMERLANG SPM KES ROGOL BERKUMPULAN, KEKAL HUKUMAN BON BERKELAKUAN BAIK

Gambar arkib NSTP: Kompleks Mahkamah Alor Setar.
Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee menolak permohonan pendakwaan yang memohon hukuman lebih berat termasuk perintah khidmat masyarakat terhadap remaja terbabit, yang berusia 14 tahun ketika kejadian berlaku lima tahun lalu di sebuah hotel bajet.
Remaja itu yang kini berusia 19 tahun, sebelum ini dikenakan hukuman bon berkelakuan baik tanpa jaminan selama dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Baca juga: Gara-Gara Berebut Telefon Bimbit, Remaja Didakwa Tekup Muka Adik Tiri 7 Tahun Sampai Maut
Mahkamah ambil kira faktor pemulihan
Dalam penghakiman bertarikh 30 Mei lalu, Mohammad Johan menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira peranan lebih pasif pesalah juvana terbabit selain faktor pemulihan yang menjadi keutamaan di bawah undang-undang melibatkan kanak-kanak.
Menurut beliau, remaja itu tidak melakukan penembusan fizikal atau sebarang hubungan intim terhadap mangsa, selain merupakan pesalah kali pertama dan mengaku bersalah, sekali gus mengelakkan mangsa daripada melalui trauma perbicaraan panjang.
“Mahkamah juga mendapati laporan pegawai akhlak menunjukkan pesalah juvana itu berkelakuan baik di sekolah dan mendapat keputusan SPM yang cemerlang, justeru hukuman berbentuk pemulihan adalah lebih wajar.
“Akta Kanak-Kanak 2001 adalah undang-undang khusus yang mengutamakan pemulihan dan kepentingan terbaik pesalah kanak-kanak berbanding pendekatan hukuman berbentuk pembalasan semata-mata.
“Mahkamah turut merekodkan bahawa pihak pendakwaan sendiri mengakui ketika perbicaraan rayuan bahawa mereka mungkin tidak akan merayu jika tertuduh juvana itu dikenakan perintah khidmat masyarakat.
“Ini membuktikan bahawa hukuman bon yang diberikan oleh hakim bicara adalah tidak bersalahan dengan undang-undang,” katanya.
Baca juga: Tular Keluarga Anak Cerebral Palsy Disuruh Turun Pesawat, AirAsia Mohon Maaf & Perkenal SOP Baharu
Mohammad Johan berkata, bantahan utama pendakwaan pada asasnya bukanlah mengenai kegagalan menegakkan keadilan, sebaliknya hanya berkaitan ketidaksetujuan terhadap tahap kelonggaran hukuman dan jenis perintah pemulihan bukan pemenjaraan yang dipilih oleh hakim bicara.
Beliau berkata, apabila perbahasan hanya berkisar antara pemilihan bon berkelakuan baik atau perintah khidmat masyarakat bagi pesalah juvana, mahkamah tidak akan sewenang-wenangnya menggantikan pandangannya sendiri dengan budi bicara yang dilaksanakan secara sah oleh mahkamah perbicaraan.
Katanya, hukuman yang dijatuhkan masih berada dalam lingkungan dibenarkan di bawah Seksyen 91(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 dan tidak menjejaskan atau menggugat keadilan mahkamah.

Gambar hiasan.
Rayuan pesalah dewasa ditolak
Dalam masa sama, mahkamah turut menolak rayuan berasingan yang difailkan seorang pesalah dewasa, Syukrizan Ahmad, yang berusia 20 tahun ketika kejadian, sekali gus mengekalkan sabitan serta hukuman asal iaitu 13 tahun penjara.
Hakim itu berkata, walaupun pihak pembelaan berhujah bahawa tertuduh hanya berada di dalam bilik telah meliwat tetapi tidak merogol mangsa secara fizikal, alasan berkenaan tidak boleh diterima di sisi undang-undang.
Menurut beliau, berdasarkan Seksyen 375B Kanun Keseksaan, keberadaan tertuduh di lokasi kejadian selain menempah bilik dan membiarkan jenayah itu berlaku sudah mencukupi untuk membuktikan niat bersama bagi sabitan rogol berkumpulan.
“Mahkamah turut mendapati pembelaan tertuduh hanya satu penafian kosong,” katanya.
Seorang lagi tertuduh yang sebelum ini disabitkan kesalahan serta dijatuhi hukuman penjara 13 tahun, bagaimanapun tidak mengemukakan rayuan.
Sumber: Harian Metro
FT Image: Gemini AI
