Isu sebuah pesawat AirAsia yang menjadi perhatian ramai selepas sebuah keluarga diarahkan turun sebelum berlepas akhirnya menerima perkembangan baharu apabila syarikat penerbangan itu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Lebih daripada itu, AirAsia turut mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih inklusif bagi membantu penumpang berkeperluan khas susulan insiden melibatkan sebuah keluarga yang tidak dibenarkan meneruskan penerbangan ketika cuti Aidiladha lalu.
KES TULAR KELUARGA DIMINTA TURUN PESAWAT AIRASIA, SYARIKAT MOHON MAAF

Pada 29 Mei lalu, media melaporkan luahan kecewa seorang ibu selepas keluarganya diarahkan turun dari pesawat, susulan isu penggunaan kerusi khas pesawat untuk anak perempuannya yang menghidap cerebral palsy kuadriplegik.
Difahamkan, langkah tersebut dibuat selepas semakan menyeluruh dijalankan terhadap kes penerbangan AK1776 dari Singapura ke Kuching pada 26 Mei lalu.
AirAsia mohon maaf, perkenal SOP baharu
Ketua Pegawai Keselamatan dan Kualiti AirAsia X (Kumpulan AirAsia), Kapten Saravanan Subramaniam berkata pihak pengurusan memohon maaf kepada keluarga terbabit atas kesulitan yang berlaku.
“Walaupun keputusan dibuat selaras dengan keperluan keselamatan dan prosedur operasi yang berkuat kuasa pada masa itu, ia tidak pernah menjadi niat kami untuk menghalang mana-mana tetamu daripada melakukan perjalanan.
“Insiden ini membuka peluang untuk kami meningkatkan proses bagi menyokong tetamu (penumpang) yang mempunyai keperluan khusus dengan lebih baik,” katanya yang turut memaklumkan SOP dipertingkatkan itu kini telah dikemukakan kepada pihak berkuasa untuk kelulusan.
Menurut beliau lagi, SOP yang dipertingkatkan itu telah dikemukakan kepada pihak berkuasa untuk proses kelulusan.
Keluarga syukur, anggap kemenangan besar
Sementara itu, ibu kepada kanak-kanak terbabit, Syarifah Ella Wan Wahab meluahkan rasa syukur selepas menerima permohonan maaf rasmi daripada AirAsia.
Menerusi hantaran di media sosial, Syarifah Ella mengesahkan menerima bayaran balik penuh selain tawaran penerbangan percuma sebagai tanda ihsan daripada syarikat penerbangan berkenaan.
“Saya amat menghargai kesediaan yang ditunjukkan untuk mendengar dan mengambil langkah membina. Aksesibiliti dan keterangkuman bukanlah keistimewaan khas, ia adalah hak asasi,” katanya.
Menurut Syarifah Ella, perubahan polisi tersebut memberi pengiktirafan bahawa individu kurang upaya memerlukan sistem sokongan sewajarnya tanpa terikat dengan had umur atau berat badan semata-mata.
“Jika perjalanan kami menyumbang ke arah memastikan kanak-kanak kurang upaya lain dapat menaiki penerbangan dengan maruah, ia telah memenuhi tujuan yang jauh lebih besar,” katanya yang berharap SOP baharu itu dipaparkan di laman sesawang AirAsia kelak.
Perubahan terbesar yang diumumkan ialah penerimaan penggunaan Alat Penahan Kanak-Kanak (CRD) yang diluluskan untuk individu berumur enam bulan ke atas termasuk penumpang berkeperluan khas, tertakluk kepada arahan pengilang.
Sebelum ini, dasar tersebut hanya digunakan untuk kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga tiga tahun dengan berat maksimum 18 kilogram.

Keluarga ada anak Cerebral Palsy gembira apabila AirAsia kini menerima penggunaan Alat Penahan Kanak-Kanak (CRD) yang diluluskan untuk individu berumur enam bulan ke atas, termasuk penumpang keperluan khas, tertakluk kepada arahan pengilang.
Tular selepas keluarga diarahkan turun dari pesawat
Sebelum ini, kisah keluarga berkenaan mendapat perhatian ramai selepas luahan Syarifah Ella tular di media sosial apabila dia mendakwa diarahkan keluar dari pesawat bersama anak perempuannya, Zara yang menghidap Cerebral Palsy.
Insiden itu dikatakan berpunca daripada isu teknikal berkaitan kebenaran penggunaan kerusi khas yang dibawa bagi membantu keadaan fizikal anaknya sepanjang penerbangan.
Susulan kejadian tersebut, ramai warga maya berharap SOP baharu yang diumumkan itu dapat membantu lebih ramai penumpang berkeperluan khas menikmati perjalanan udara dengan lebih selesa dan bermaruah.
Sumber: Berita Harian / Syarifah Ella Wan Wahab (1) (2)
FT Image: Media sosial Syarifah Ella Wan Wahab
