Kepakaran penyelam Malaysia sekali lagi menjadi perhatian apabila seorang pakar penyelam gua tempatan dipanggil menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) berisiko tinggi di Laos bagi membantu mangsa yang terperangkap dalam sebuah gua separa tenggelam.
Lebih membanggakan, kepakaran rakyat Malaysia itu dipilih untuk berganding bahu bersama pasukan penyelamat antarabangsa dari beberapa negara termasuk Thailand, Indonesia, Perancis, Jepun dan Australia di dalam misi mencabar tersebut.
PENYELAM MALAYSIA HARUNGI MISI SAR PALING MENCABAR DI LAOS

Penyelam gua dari Malaysia Lee Kian Lie ditemubual BERNAMA sebaik tiba di KLIA Terminal 2, awal pagi Selasa.
Pakar Malaysia dipanggil bantu misi antarabangsa
Menurut laporan media, pakar penyelam gua dari Malaysia, Lee Kian Lie mengakui tidak pernah menyangka panggilan membantu operasi di Laos menjadi misi menyelamat pertama dan paling sukar pernah dilaluinya sepanjang hampir 13 tahun pengalaman dalam bidang itu.
Lee yang juga anggota Persatuan Bomba Sukarela Penyelamat Gua Malaysia berkata dia perlu melalui laluan sempit, berlumpur serta kawasan dengan oksigen yang sangat terhad sepanjang operasi berlangsung.
“Tempat (gua) sempit, oksigen memang kurang, selain mudah ditenggelami air. Bermaksud sesiapa yang masuk akan (berisiko) terperangkap.
“Anda (pasukan SAR) kena bersedia kemungkinan terperangkap, kami biasa masuk (gua) dengan bawa sedikit makanan dan baju (untuk menyelamat),” katanya ketika berkongsi pengalaman operasi berkenaan kepada Bernama sebaik tiba di tanah air awal pagi kelmarin.
Anak kelahiran Tawau, Sabah berusia 48 tahun itu berkata, operasi SAR berlangsung secara berterusan selama 24 jam dengan semua anggota komited mencari mangsa yang terperangkap.
Malah, sebaik tiba di Laos pada 28 Mei lalu, beliau terus dibawa ke lokasi kejadian tanpa sempat berehat.
“Saya tak (sempat) tidur … sampai sini (dari KLIA), terus naik helikopter masuk ke tapak (lokasi kejadian).
“Kita tidur di bawah (kawasan gua), tidak jauh dari tapak itu. (SAR) tak menentu bila saja peralatan okey, ahli okey dan bersedia … kita masuk (dalam gua),” katanya sambil menambah beliau berada di Laos selama 10 hari untuk SAR berkenaan.
Operasi penuh risiko, seorang mangsa perlu diselam keluar
Menurut Lee, detik paling melegakan adalah apabila pasukan penyelamat berjaya menemukan lima penduduk tempatan yang dilaporkan hilang di dalam gua tersebut.
Namun, cabaran sebenar bermula apabila mereka perlu menentukan kaedah paling selamat untuk membawa mangsa keluar.
Difahamkan, seorang mangsa terpaksa diselamatkan menerusi kaedah selaman dalam laluan yang sangat sempit kerana tidak biasa menyelam, manakala empat lagi berjaya keluar sendiri selepas paras air menurun.
“Selaman itu amat berbahaya kerana ruang terlalu kecil dan mangsa tidak biasa menyelam.
“(Jarak dari pintu gua) adalah antara 250 hingga 300 untuk chamber (ruang) pertama dan sehingga ke chamber lima di mana kita temukan mangsa,” katanya sambil menambah beliau sedikit terkilan dua lagi mangsa tidak berjaya ditemukan.
Baca juga: “Alhamdulillah…” Ibu Simpan RM10 Sebulan Sejak Kecil, 10 Beradik Akhirnya Dapat Tunai Haji Bersama
Anggota penyelamat dapat penghargaan dari penduduk kampung
Bagi Lee, pengalaman menyertai operasi rentas sempadan itu membuktikan kepakaran rakyat Malaysia dalam bidang penyelaman gua teknikal mampu berdiri sama hebat dengan pasukan antarabangsa lain.
Sebagai tanda penghargaan, penduduk kampung di kawasan terbabit turut mengadakan upacara khas dengan mengikat gelang benang pada tangan anggota penyelamat sebagai simbolik ucapan terima kasih.
“Semua penduduk berterima kasih kepada pasukan penyelamat, dan mereka setiap seorang ikat satu benang,” katanya yang masih memakai gelang berkenaan.
Pada 6 Jun, media melaporkan pasukan penyelamat secara rasmi menamatkan SAR bagi mengesan dua lagi penduduk tempatan yang masih hilang dalam sebuah gua separa tenggelam di wilayah Xaysomboun, tengah Laos.
Insiden itu bermula pada 20 Mei, apabila tujuh penduduk kampung dilaporkan terperangkap dalam gua akibat banjir kilat ketika keluar memburu kelawar dan mencari emas di kawasan bekas lombong pada 20 Mei lalu.
Operasi SAR rentas sempadan berjaya menyelamatkan lima mangsa. Dengan seorang dikeluarkan pada 29 Mei, manakala empat lagi dibawa keluar keesokan hari selepas paras air berjaya diturunkan.
Sumber: Harian Metro

