Buat pasangan TTC, tiada yang lebih membahagiakan selain mendengar tangisan pertama seorang anak selepas bertahun-tahun menanti.
Perasaan itulah yang kini dirasai Noorul Izzah Marzuki apabila penantian selama 19 tahun untuk bergelar ibu akhirnya dimakbulkan Allah SWT, sekali gus menjadikan ulang tahun perkahwinannya yang ke-20 lebih bermakna.
PASANGAN TTC 20 TAHUN SAMBUT ANNIVERSARY DENGAN CAHAYA MATA

Menerusi perkongsian tersebut, Noorul meluahkan rasa syukur atas segala perjalanan hidup yang telah dilalui bersama suami sepanjang dua dekad melayari bahtera rumah tangga, termasuk saat-saat sukar yang akhirnya digantikan dengan kebahagiaan yang tidak ternilai.
“Alhamdulillah, dah 20 tahun perkahwinan. Syukur atas setiap perjalanan, suka dan duka. Kini bertiga, rezeki paling indah dari-Nya. Alhamdulillah MashaAllah Tabaarakallah,” tulisnya.
Pasangan itu kini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Sheikh Muhammad Marzuq yang kini berusia tujuh bulan, selepas hampir dua dekad menanti kehadiran zuriat dalam rumah tangga mereka.
Menurutnya, ketika berada di Padang Arafah pada tahun 2024, dia dan suami memanjatkan doa dengan penuh pengharapan agar dikurniakan zuriat setelah sekian lama menanti.
“Arafah 2024, kami berdiri dengan air mata, doa dan seluruh pengharapan yang hampir hilang. Di bumi suci itu, kami minta satu perkara yang paling lama kami tunggu: Ya Allah, kurniakan kami zuriat,” kongsinya.
Setahun kemudian, doa yang dipohon itu mula menunjukkan tanda-tanda kemakbulan apabila Noorul disahkan hamil.

“Arafah 2025, setelah 19 tahun pengharapan, doa itu hidup dalam rahim. Kecil, tapi cukup buatkan kami syukur setiap hari,” tulisnya lagi.
“Dan Arafah 2026, dia sudah ada di depan mata. Dipeluk, dicium, didukung. Sebuah jawapan daripada Allah yang datang tepat pada waktu-Nya. Sungguh indah aturan-Nya. Alhamdulillah,” luahnya.
Perkongsian itu turut disertakan dengan koleksi gambar ulang tahun perkahwinan mereka dari tahun pertama sehingga tahun ke-20, memperlihatkan perjalanan hidup pasangan tersebut yang sentiasa berdua sebelum akhirnya bertiga selepas kehadiran cahaya mata yang dinanti-nantikan.
Di ruangan komen, ramai netizen meluahkan rasa sebak dan terharu membaca kisah pasangan itu. Tidak kurang juga yang menjadikan perjalanan hidup Noorul dan suami sebagai inspirasi untuk terus berdoa dan tidak berputus asa dengan rahmat Allah.
Ramai turut menitipkan ucapan tahniah sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-20 serta mendoakan agar keluarga kecil itu terus dilimpahi kebahagiaan, kasih sayang dan keberkatan hingga ke syurga.
Sumber: Threads Noorul Izzah Marzuki
