Pemilihan tema majlis hari lahir kini semakin kreatif dan pelbagai, namun terdapat juga konsep tertentu yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat apabila dikaitkan dengan unsur yang didakwa bertentangan dengan nilai agama.
Baru-baru ini tular di media sosial sambutan hari lahir yang menggunakan tema berunsurkan bunian, hantu dan karakter menyeramkan.
Baca juga: Sesat Dalam Hutan Tetap TAK BOLEH Makan Babi, Bukan Semudah Itu & Ada Benda Lain – UAI
BUNIAN TEMA MAJLIS HARI LAHIR, MUFTI KELANTAN BIDAS

Mengulas isu tersebut, Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad berpandangan bahawa sambutan kelahiran atau hari jadi anak seharusnya menjadi medium untuk menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas nikmat yang dikurniakan.
Menurut beliau, setiap kelahiran merupakan anugerah daripada Allah SWT yang perlu diraikan dengan cara yang selari dengan tuntutan syariat.
Katanya, konsep mensyukuri nikmat bukan sekadar meraikan sesuatu kegembiraan, sebaliknya melibatkan cara seseorang meletakkan nikmat yang diberikan Allah pada tempat yang sewajarnya.
Beliau menjelaskan bahawa manusia berasal daripada ciptaan Allah SWT dan segala nikmat yang diperoleh perlu disambut dengan pendekatan yang tidak bercanggah dengan ajaran agama.
Tambahnya, sekiranya seseorang ingin mengadakan sambutan sempena kelahiran atau ulang tahun anak, terdapat banyak kaedah yang dianjurkan Islam seperti majlis kesyukuran, doa selamat, jamuan makan, solat hajat atau amalan lain yang bertepatan dengan syariat.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penggunaan tema yang mempunyai unsur pengagungan terhadap hantu atau perkara yang bertentangan dengan nilai agama tidak wajar dijadikan sebahagian daripada sambutan.
Menurutnya, situasi tersebut boleh dianggap sebagai tidak meletakkan nikmat kurniaan Tuhan pada tempat yang sepatutnya.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan Islam tidak melarang penggunaan konsep atau tema tertentu dalam sesebuah majlis selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip agama.
“Tema sambutan tidak menjadi masalah sekiranya ia tidak melibatkan unsur yang bertentangan dengan kehendak syarak,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa unsur pemujaan, pengagungan atau simbolik yang dikaitkan dengan perkara bercanggah dengan agama tidak sepatutnya dijadikan bahan hiburan atau identiti sesebuah majlis.
Terdahulu, media sosial hangat memperkatakan mengenai sebuah sambutan hari lahir kanak-kanak yang didakwa menggunakan tema bunian, lengkap dengan tetamu yang tampil memakai kostum menyerupai makhluk seperti pocong dan karakter mistik lain sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan warganet.
Baca juga: Ramai Tertanya Kenapa Ikat Dagu Mayat Dalam Islam, Ada Hukum Disebaliknya Atau Sekadar Suka-Suka?
Sumber: Sinar Harian
