Siapa sangka bermula sekadar minat mencuba resipi di dapur, seorang pelajar tingkatan dua kini sudah berani jual quesillo dan menerima tempahan kecil-kecilan. Usaha itu bukan sahaja membuka pengalaman berniaga, malah membantunya mengumpul wang sendiri.
Menerusi satu perkongsian seorang ibu di Threads, diaa berkongsi kisah anak lelakinya yang mula menunjukkan minat mendalam dalam menghasilkan dessert selepas menonton video resipi terkenal.
ANAK LELAKI USIA TINGKATAN 2 JUAL QUESILLO

Semuanya bermula selepas anaknya, Rizq Amirul, mencuba membuat puding yang diinspirasikan daripada resipi pempengaruh masakan terkenal, Khairul Aming.
Pada awalnya, si ibu menyangka anaknya hanya mahu bereksperimen dan mencuba sesuatu yang baharu di dapur. Namun, keadaan mula menimbulkan tanda tanya apabila anaknya kerap mengajak ke kedai bahan bakeri untuk membeli pelbagai keperluan memasak.
“Sekejap-sekejap ajak ibu pergi kedai baking. Nak beli whipping cream. Lepas tu esok nak beli cream cheese pula. Lusa nak beli bekas pula,” tulisnya berseloroh.
Disebabkan anaknya masih berada di tingkatan dua, si ibu mengakui dia terpaksa memperlahankan sedikit aktiviti perniagaan tersebut kerana bimbang terlalu banyak masa dihabiskan di dapur sehingga menjejaskan pelajaran.
Walaupun begitu, dia tetap bersyukur kerana pengalaman berniaga itu memberi banyak pendedahan positif kepada anaknya. Menurutnya, antara perkara yang paling membanggakan adalah apabila anaknya berjaya mengumpul wang hasil usaha sendiri.
Bukan sahaja melalui jualan puding, malah anaknya juga mengamalkan sikap berjimat cermat dengan menyediakan bekal makanan sendiri ke sekolah supaya wang belanja harian dapat disimpan.

“Hasil jual puding ditambah dengan duit belanja yang tak digunakan sebab selalu masak bekal sendiri pergi sekolah, jumlah terkumpul mencecah RM890,” katanya.
Wang tersebut dikumpulkan bagi mencapai impian membeli telefon bimbit yang diidamkan. Walaupun jumlah itu masih belum mencukupi, si ibu memilih untuk menambah baki selebihnya sebagai tanda sokongan terhadap usaha anaknya.
Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian ramai yang memuji sikap rajin dan berdikari remaja itu dalam mencari pengalaman berniaga pada usia muda.
Dalam masa sama, ramai turut mendoakan agar Rizq Amirul terus berjaya bukan sahaja dalam bidang perniagaan kecil-kecilan, malah cemerlang dalam pelajaran dan masa depan.
Sumber: Threads qs2baker
