Euforia Bola 2026
Didik

Selangor Ikut Dasar Baharu KPM, Kemasukan Murid Tahun Satu Seawal Usia 6 Tahun Bermula 2027

tahun satu

Kerajaan Negeri Selangor akan mengikut dasar Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung penetapan kemasukan murid Tahun Satu seawal usia enam tahun ke sekolah di bawah kerajaan negeri bermula sesi persekolahan 2027.

Langkah ini dilihat sebagai usaha penyelarasan dasar pendidikan antara peringkat persekutuan dan negeri, khususnya melibatkan institusi di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Baca lagi: Cara Nilai Tahap Kesediaan Si Kecil Nak Masuk Darjah 1 Di Usia 6 Tahun, Semak Ikut Checklist Ini!

TAHUN SATU SEAWAL ENAM TAHUN, KERAJAAN SELANGOR IKUT DASAR KPM

tahun satu

Foto: Harian Metro

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, beberapa persediaan awal telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan dasar tersebut.

Antaranya termasuk aspek kapasiti kelas, tenaga pengajar serta infrastruktur sekolah.

Kerajaan negeri melalui JAIS sedang mengoptimumkan penggunaan bilik darjah dengan kapasiti sehingga 45 murid bagi setiap kelas.

Selain itu, penyelarasan data murid turut dilakukan bagi mengenal pasti kawasan berpenduduk padat serta keperluan semasa sekolah.

Langkah lain yang turut dirancang termasuk:

  • Pengenalpastian keperluan tambahan guru
  • Penambahan serta pelaksanaan sistem tiga sesi persekolahan mengikut kesesuaian
  • Pembinaan infrastruktur tambahan seperti bilik darjah baharu

Jangkaan peningkatan permohonan dan kekurangan guru

Menurut Amirudin, kerajaan negeri menjangkakan hampir 80,000 permohonan kemasukan murid Tahun Satu bagi sesi 2027.

Namun begitu, terdapat unjuran kekurangan sekitar 880 orang guru yang perlu ditangani.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan memperkukuh strategi pengambilan guru baharu berdasarkan kemampuan kewangan semasa.

Kerajaan Negeri juga menunggu perincian lanjut daripada pihak JAIS untuk dimasukkan dalam perancangan Belanjawan 2027.

Ketika ini, kita masih menunggu maklumat lengkap keperluan tambahan daripada JAIS bagi tujuan pengoperasian 2027,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.

Tahap keselamatan dan penambahbaikan sekolah JAIS

tahun satu

Foto: Utusan Malaysia

Dari aspek prasarana, kerajaan negeri memaklumkan bahawa keseluruhan bangunan sekolah di bawah JAIS berada dalam keadaan selamat dan sesuai untuk digunakan.

Pemantauan berkala juga terus dilaksanakan bagi memastikan tahap keselamatan dan keselesaan murid sentiasa terjamin.

Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM4 juta kepada sekolah agama JAIS dalam usaha menambah keperluan asas seperti meja, kerusi serta alat bantuan mengajar.

“Ini bagi memastikan pendidikan di sekolah JAIS mencapai standard yang ditetapkan serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif,” jelas beliau.

Pelaksanaan kemasukan murid Tahun Satu seawal usia enam tahun di Selangor menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong dasar pendidikan nasional.

Namun, ia turut menuntut persediaan rapi dari aspek guru, infrastruktur dan pengurusan kelas bagi memastikan sistem pendidikan kekal berkualiti menjelang tahun 2027.

Baca juga: Hampir 50,000 Murid 6 Tahun Daftar Sesi Kemasukan Tahun Satu 2027, Johor Antara Negeri Tertinggi

Sumber: Berita Harian 

FT Images: Utusan Malaysia dan Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×