Perasaan risau seorang ibu bapa sukar digambarkan apabila melihat anak pulang ke rumah dalam keadaan cedera. Itulah situasi yang dialami pelakon Ako Mustapha selepas mendapati anaknya dipercayai menjadi mangsa buli di sekolah sehingga mengalami kesan lebam dan kesakitan.
Kes tersebut melibatkan dakwaan serangan oleh beberapa murid di sebuah sekolah di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, dan kini sedang disiasat pihak berkuasa selepas laporan rasmi dibuat.
AKO MUSTAPHA DAKWA ANAK JADI MANGSA BULI 5 MURID

Gambar Instagram Ako Mustapha
Kejadian disedari selepas anak pulang dari sekolah
Menurut Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha menerusi hantaran dimuat naik di Threads, kejadian hanya disedari selepas anak lelakinya yang berusia 10 tahun itu pulang dari sekolah dan selesai mandi.
Ako berkata, anaknya mula menceritakan kejadian sebenar yang berlaku di sekolah pada hari tersebut.
“Selepas pulang dari sekolah, Mika mandi. Kemudian Mika memberitahu bahawa dia dibuli di sekolah.
“Ketika saya mengeringkan badannya, saya perasan pada bahagian perutnya terdapat kesan tapak kasut dan juga kesan tumbukan.
“Saya terus menyoal Mika, dan dia menceritakan satu per satu kejadian berkenaan,” tulisnya.
Bukti dikumpul dan anak dirujuk ke hospital
Susulan kejadian itu, Ako memaklumkan dia tidak berdiam diri dan terus mengumpulkan bukti termasuk gambar serta rakaman video untuk tindakan lanjut.
“Saya sudah mengambil semua gambar dan video sebagai bukti. Gambar dan video kesan pada perut Mika sudah saya hantar kepada guru kelasnya. Dalam rakaman itu jelas kelihatan kesan tapak kasut serta tumbukan,” tulisnya.
Anaknya kemudian dibawa ke klinik kesihatan sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengadu sakit pada bahagian perut dan dada.
“Selepas pemeriksaan di klinik kesihatan, doktor memberikan surat rujukan untuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Mika mengadu sakit pada bahagian perut dan dada. Isteri saya juga sudah mengambil gambar dan video kesan akibat dibuli,” tulisnya.
Ako turut memaklumkan bahawa pihak sekolah sudah mengambil maklum mengenai insiden berkenaan dan sedang menjalankan siasatan.
“Guru kelas juga sudah dimaklumkan dan akan menjalankan siasatan untuk mengambil tindakan selanjutnya.
“Alhamdulillah, guru kelas Mika memberikan kerjasama. Kami juga akan membuat laporan polis,” tulisnya.
Ako turut berkongsi gambar keadaan anaknya di hospital menerusi media sosial.

Tangkap layar dari Instagram story Ako Mustapha tentang keadaan anaknya di hospital.
Polis sahkan terima laporan, JPWPKL ambil tindakan
Dalam perkembangan terbaharu, pihak polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan siasatan kini sedang dijalankan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata kes itu masih dalam siasatan pihaknya.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) turut memaklumkan bahawa tindakan awal telah diambil termasuk menghubungi ibu bapa dan penjaga murid yang terlibat dan menjalankan siasatan dalaman.
Selain, penglibatan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), serta melaporkan kes kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut JPWPKL, murid yang terlibat juga telah dirujuk untuk sesi bimbingan dan kaunseling, selain tindakan tegas akan diambil mengikut garis panduan sedia ada.
“JPWPKL memandang serius dan kesal terhadap kejadian salah laku buli membabitkan murid di sebuah sekolah sebagaimana yang tular di media sosial. baru-baru ini.
“JPWPKL menegaskan bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap semua pihak yang terlibat selaras dengan peraturan dan garis panduan yang berkuat kuasa.
“Kami juga akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama ibu bapa yang terlibat,” menurut kenyataan JPWPKL, semalam.
Dalam masa sama, orang ramai turut diingatkan agar tidak menyebarkan sebarang kandungan yang boleh mendedahkan identiti murid, khususnya yang melibatkan kanak-kanak bawah umur bagi melindungi kebajikan dan hak mereka.
Sumber: Harian Metro (1), (2), (3)
FT Image: Instagram Ako Mustapha
