Punca strok sering dikaitkan dengan faktor seperti merokok, tekanan darah tinggi dan gaya hidup tidak sihat. Namun, ramai tidak sedar bahawa ada satu tabiat harian yang dianggap biasa sebenarnya boleh menjadi penyumbang utama kepada risiko strok, walaupun dalam kalangan individu muda.
Perkongsian oleh seorang individu dikenali sebagai Faizeen, membuka mata ramai tentang satu tabiat harian yang sering dipandang remeh.
Baca juga: Ramai Ingat Pelik… Rupanya Tidur Tanpa Seluar Dalam Ini Lebih Selesa & Ada Manfaat Untuk Wanita!
PUNCA STROK SERANG LELAKI USIA 29 TAHUN, RUPANYA….

Freepik
Menurut perkongsian tersebut, seorang lelaki berusia 29 tahun diserang strok secara tiba-tiba walaupun tidak merokok, tidak mengambil alkohol dan kerap ke gim tiga kali seminggu.
Segalanya bermula apabila dia terjaga pada tengah malam dengan keadaan tangan kanan tidak dapat digerakkan, muka kebas dan pertuturan menjadi tidak jelas.
Rupa-rupanya, satu tabiat yang diamalkan setiap hari menjadi punca utama adalah kurang tidur. Difahamkan, dia hanya tidur sekitar 4 hingga 5 jam setiap malam kerana bekerja sehingga lewat pagi dan bangun awal keesokan harinya.
Keadaan ini berlarutan bertahun-tahun, ditambah pula dengan pengambilan minuman tenaga dan kopi secara berlebihan. Kurang tidur bukan sekadar membuatkan badan letih, malah memberi kesan serius kepada sistem dalam tubuh.
Apabila waktu tidur tidak mencukupi, paras hormon stres (kortisol) akan meningkat. Ini seterusnya menyebabkan keradangan dalam badan, merosakkan salur darah, meningkatkan tekanan darah dan akhirnya boleh mencetuskan pembekuan darah.
Lebih membimbangkan, pakar jantung turut menyatakan bahawa tidur kurang daripada enam jam boleh meningkatkan risiko strok sehingga dua kali ganda.
Dalam kes ini, lelaki tersebut juga mempunyai tekanan darah sekitar 140/95 tanpa disedari kerana tidak pernah membuat pemeriksaan kesihatan.
Ini menunjukkan bahawa ramai dalam kalangan kita mungkin berisiko tanpa mengetahui keadaan sebenar kesihatan diri.
Selain kurang tidur, terdapat beberapa faktor lain yang boleh menyumbang kepada strok dalam kalangan orang muda, antaranya pengambilan minuman tenaga, tekanan darah tinggi yang tidak dikawal, gaya hidup sedentari, penggunaan pil perancang bagi wanita serta sejarah keluarga.

Kenali Tanda Amaran Strok (F.A.S.T.)
Orang ramai juga diingatkan supaya peka dengan tanda-tanda awal strok yang boleh dikenal pasti melalui kaedah F.A.S.T.:
Face – muka menjadi senget
Arm – tangan terasa lemah atau tidak boleh diangkat
Speech – pertuturan menjadi pelat atau sukar bercakap
Time – segera hubungi bantuan kecemasan
Jika terdapat walaupun satu tanda, segera hubungi talian kecemasan 999 kerana tempoh 4.5 jam pertama adalah sangat kritikal untuk rawatan.
Bagi mengurangkan risiko strok, beberapa langkah pencegahan boleh diamalkan seperti memastikan tidur mencukupi sekurang-kurangnya tujuh jam sehari, melakukan pemeriksaan tekanan darah secara berkala, mengurangkan pengambilan minuman berkafein berlebihan serta membuat ujian kesihatan seperti pemeriksaan kolesterol dan darah.
Dalam perkongsian tersebut, lelaki berkenaan dilaporkan berjaya pulih selepas menjalani rawatan dan rehabilitasi selama enam bulan. Kini, dia lebih menjaga kesihatan dengan memastikan waktu tidur mencukupi dan memantau tekanan darah secara konsisten.
Kisah ini menjadi peringatan bahawa tubuh badan sentiasa memberi ‘isyarat’ apabila ada sesuatu yang tidak kena. Rasa letih berpanjangan, rambut gugur atau ketidakselesaan selepas makan mungkin kelihatan remeh, namun tidak wajar diabaikan.
Kesihatan bukan hanya bergantung kepada senaman atau diet semata-mata, tetapi juga rutin harian seperti tidur yang cukup. Jangan tunggu sehingga terlambat.
Baca juga: Hari Sukan Tapi Kostum Acara Sekolah Tema Makanan Manis & ‘Fast Food’? Cikgu..Jangan Normalisasikan!
Sumber: Threads Nurul Faizeen
