Dalam sistem pendidikan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berperanan sebagai jambatan penting antara pihak sekolah dan ibu bapa dalam menyokong perkembangan pelajar. Namun, apabila isu kutipan atau tunggakan bayaran yuran PIBG dikaitkan dengan tindakan yang memberi kesan kepada pelajar, ia mula menimbulkan perdebatan tentang sempadan antara peraturan dan nilai kemanusiaan.
Perkara tersebut turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang menekankan kepentingan nilai ihsan dan pertimbangan akal dalam membuat keputusan agar tidak menjejaskan masa depan mereka.
Baca juga: KPM Buka Pengambilan Tingkatan Enam Tahfiz 2026/2027, Adik-Adik Lepasan SPM Boleh Mohon Sekarang!
TEGURAN DR ASYRAF WAJDI TERHADAP ISU YURAN PIBG PELAJAR CEMERLANG

Gambar BERNAMA.
Ihsan perlu jadi asas dalam keputusan pendidikan
Menurut Dr Asyraf Wajdi, tindakan menahan sijil atau ganjaran kecemerlangan pelajar semata-mata kerana tunggakan bayaran bukanlah pendekatan yang wajar dalam ekosistem pendidikan.
Katanya, walaupun pengurusan kewangan sekolah dan PIBG penting untuk kelangsungan aktiviti pelajar, keputusan yang melibatkan pelajar cemerlang perlu dilihat dengan lebih menyeluruh dan berperikemanusiaan.
“Tidak perlulah sampai duit dan sijil kecemerlangan ditahan kerana tunggakan yuran PIBG. Hidup ini kena ada nilai IHSAN dan KEMUNASABAHAN PERTIMBANGAN AKAL (common sense), barulah semua hidup dalam berkat dan sejahtera,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan bahawa dalam prinsip muamalah Islam, sesuatu sumbangan atau bayaran bergantung kepada bentuk aqad yang dipersetujui.
Jika ia berbentuk sumbangan sukarela (unilateral), maka ia tidak boleh dipaksakan sebagai kewajipan mutlak. Namun jika ia merupakan perjanjian dua hala (bilateral) yang dipersetujui bersama, maka ia boleh dianggap sebagai tanggungjawab yang perlu dipenuhi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa walaupun ada hak untuk menuntut bayaran, aspek ihsan masih perlu diutamakan dalam membuat pertimbangan terutama melibatkan pelajar.
Baca juga: 19 MRSM Terus Unggul, Ini ‘Ranking’ Penuh MRSM & SBP Terbaik Bagi SPM 2025!

Gambar hiasan: Gemini AI
Terdahulu, tular di media sosial kisah seorang pelajar lelaki yang memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun didakwa tidak menerima sijil rasmi dan ganjaran kecemerlangan bernilai RM250 akibat tunggakan yuran PIBG sejak beberapa tahun.
Difahamkan, tunggakan tersebut berlaku sejak pelajar berkenaan berada di Tingkatan Satu dan keluarganya bukan daripada golongan berkemampuan.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang rata-ratanya berpandangan bahawa pencapaian akademik pelajar wajar diraikan tanpa mengira latar belakang kewangan keluarga.
Sumber: Facebook Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
FT Image: BERNAMA / Gemini AI
